Inilah pengumuman yang kita semua nantikan. Sony telah mengumumkan bahawa sebuah acara digital secara langsung akan diadakan pada minggu hadapan, memfokuskan hanya kepada PS5.
Secara tepatnya, acara ini akan berlangsung pada 17 September 2020 (Khamis), 4 pagi (waktu Malaysia).
Sony menyatakan yang acara kali ini akan berkongsikan lebih lanjut tentang game-game yang bakal hadir ke PS5 serta lebih daripada itu. Ia akan berlangsung selama kira-kira 40 minit.
Walaupun Sony tidak menyatakan dengan jelas bahawa mereka akan mendedahkan harga pasaran dan tarikh pelancaran PS5, pastinya semua tahu bahawa inilah detiknya. Mustahil Sony tidak mengumumkannya memandangkan hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi sebelum pelancaran konsol generasi seterusnya itu. Apatah lagi, Microsoft telahpun mendedahkan segala-galanya tentang Xbox Series X.
Lebih menarik, dalam pengumuman tentang acara digital akan datang ini, Sony turut memperlihatkan video acah pendek konsol PS5 berwarna hitam, berbeza dengan pendedahan pertamanya dahulu yang kelihatan serba putih.
Sama-samalah kita nantikan acara pada awal pagi Khamis untuk menyaksikan acara yang cukup bersejarah ini.
Comments
Loading…