Sony telah mengeluarkan satu kenyataan yang mengumumkan bahawa konsol gaming terkini mereka, PlayStation 5 kini telah terjual sebanyak 10 juta unit di seluruh dunia.
Angka ini diambil dari waktu pelancarannya pada 12 November 2020 hingga 18 Julai 2021 — sekaligus menjadikan PS5 sebagai konsol PlayStation paling pantas dalam sejarah mencecah jualan 10 juta unit, yang mana rekod itu sebelum ini dipegang oleh PS4.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Presiden dan CEO Sony Interactive Entertainment, Jim Ryan telah menzahirkan rasa penghargaannya kepada komuniti peminat PlayStation, para pembangun game serta rakan kongsi penerbitan kerana bersama-sama mencapai kejayaan ini.
Walaupun berjaya mencapai rekod jualan paling pantas itu, beliau merasakan usaha lebih keras perlu digerakkan bagi memenuhi permintaan para pemain yang sangat tinggi. Ryan menegaskan meskipun seluruh dunia dan industri gaming masih menghadapi cabaran getir kesan daripada wabak pandemik ini, keutamaan mereka masih lagi untuk meningkat stok PS5 di pasaran.
Beliau mengakhiri kenyataannya itu dengan mengingatkan para pemain tentang bermacam game yang bakal dilancarkan ke PS5 kelak, seperti sekuel God of War, Gran Turismo 7, Horizon Forbidden West, Battlefield 2042, Deathloop, Far Cry 6 , dan Kena: Bridge of Spirits.
Comments
Loading…