in ,

Sony Umum 3 Tahap Baru PlayStation Plus – Essential, Extra, Deluxe – Harga Dari RM29 Sehingga RM50 Sebulan

Sony akhirnya telah mengumumkan perubahan besar yang dilaporkan banyak sumber sejak beberapa bulan yang lalu, dan nampaknya kebanyakan khabar angin tersebut adalah sahih.

PlayStation Plus bakal diperkenalkan dengan tiga tahap baharu yang boleh dipilih pemain, diberi nama Essential, Extra dan Deluxe.

Seperti laporan sebelum ini, tahap pertama adalah Essential, langganan yang menawarkan manfaat yang sama seperti apa yang sedang ditawarkan PlayStation Plus sekarang — akses kepada online multiplayer, dua game percuma bulanan (selalunya lebih), diskaun eksklusif di PlayStation Store, dan cloud storage untuk saved game.

Malah harga yang dikenakan juga adalah sama. PlayStation Plus Essential akan berharga RM29 sebulan, RM69 untuk tiga bulan dan RM159 untuk setahun.

Tahap kedua pula adalah Extra. Tahap ini akan menawarkan kesemua manfaat dalam Essential, serta ditambah dengan katalog sehingga lebih 400 game PS4 dan PS5 yang boleh dimuat-turun, termasuk game-game dari PlayStation Studios dan game-game dari penerbit pihak ketiga.

PlayStation Plus Extra berharga RM44 sebulan, RM114 untuk tiga bulan dan RM269 setahun.

Untuk tahap ketiga, Sony akan mengintegrasikan PlayStation Now, iaitu servis cloud streaming, ke dalam tahap ini, dikenali sebagai PlayStation Plus Premium.

Walau bagaimanapun, bagi negara-negara yang tidak dilancarkan PlayStation Now, seperti Malaysia, PlayStation Plus Deluxe akan diperkenalkan dengan harga yang lebih murah daripada Premium.

Deluxe akan menawarkan segala manfaat Essential dan Extra, serta ditambah dengan katalog daripada game-game klasik PS1, PS2 dan PSP– semuanya dalam bentuk muat-turun (tiada cloud streaming). Tiada game PS3 ditawarkan kerana buat masa ini, game-game PS3 hanya boleh dimainkan di konsol PS4 dan PS5 melalui cloud streaming.

Selain itu, Deluxe juga akan menawarkan beberapa sesi percubaan untuk game-game baharu sebelum pemain memutuskan untuk membelinya.

PlayStation Plus Deluxe berharga RM50 sebulan, RM130 untuk tiga bulan dan RM309 setahun.

Setakat ini, antara game AAA terbitan Sony yang akan ditawarkan dalam Extra dan Deluxe adalah Death Stranding, God of War, Marvel’s Spider-Man, Marvel’s Spider-Man: Miles Morales, Mortal Kombat 11, dan Returnal.

Menurut Sony, mereka akan berkerjasama secara rapat dengan banyak studio, sama ada dari PlayStation Studios sendiri dan penerbit pihak ketiga, untuk membawa masuk lebih banyak game ke dalam Extra dan Deluxe.

Disebabkan ini merupakan perubahan yang cukup besar kepada langganan PlayStation Plus, Sony akan melancarkan tiga tahap baharu ini secara berperingkat, bermula dengan pasaran Asia pada Jun, kemudian diikuti dengan rantau-rantau lain.

Tentunya banyak persoalan berkaitan langganan baharu ini yang belum terjawab seperti bagaimana untuk menaiktaraf langganan bagi mereka yang sudah melanggan PlayStation Plus sebelum ini. Kata Sony, mereka akan berkongsikan lebih lanjut mengenainya dalam masa terdekat.

Written by Faiz Tobeng

Abang ini berpersonaliti jiwang di luar dan berjiwa pahlawan di online gaming. Casual gamers yang juga peminat tegar Battlefield series & PES (tapi sekarang dah berpaling tadah ke FIFA).

Comments

Leave a Reply

JomKomen!

Loading…

0

Akhirnya Microsoft Umum Game Pass Untuk Pasaran Malaysia, Mulakan Previu Hanya RM0.50 [Kemaskini]

Tiada Game Masuk Ke PS Plus Pada Hari Pertama Pelancaran, Tapi Apa Saja Boleh Berubah, Kata CEO PlayStation