Presiden Sony PlayStation Terangkan Mengapa Logo PS4 Dan PS5 Tidak Jauh Beza

Sony sememangnya tidak mahu terikut-ikut dengan strategi yang digunakan oleh Microsoft.

Ramai pastinya sudah mengetahui bagaimana Microsoft akan memudahkan para pemain untuk bermain di konsol generasi yang mereka ingini. Bukan sahaja game-game Xbox One akan boleh dimainkan terus ke Xbox Series X melalui fungsi Smart Delivery, malah game-game eksklusif pihak pertama baharu yang bakal tiba untuk Xbox Series X juga akan boleh dimainkan di generasi sebelumnya, Xbox One.

Ini merupakan satu langkah yang tidak mahu diikuti oleh Sony. Perkara ini didedahkan oleh Prediden dan CEO Sony Interactive Entertainment, Jim Ryan ketika bercakap kepada GamesIndustry.biz.

Ryan telah mengesahkan bahawa mereka tidak berminat untuk menghasilkan game-game PS5 yang boleh dimainkan atau “compatible” untuk PS4. Ya, mereka akan mewajibkan game-game baharu PS4 untuk mampu dimainkan di PS5, tetapi tidak berminat untuk melakukan sebaliknya.

“Kami sentiasa katakan bahawa kami yakin dengan setiap generasi,” kata beliau. “Kami yakin apabila kamu telah melalui segala jalan kepayahan untuk membangunkan konsol generasi seterusnya, ia perlu memasukkan fungsi dan kelebihan yang tiada dalam generasi sebelumnya.”

“Pada pandangan kami, kita perlu membikin game yang mampu mendapatkan semaksima yang boleh melalui fungsi tersebut, sama ada ianya adalah controller DualSense, sama ada ianya audio 3D, sama ada ianya bermacam cara yang SSD boleh digunakan… kami memikirkan yang sudah tiba masanya untuk memberikan komuniti PlayStation sesuatu yang baharu, sesuatu yang berbeza, yang hanya boleh dinikmati di PS5.”

Walau bagaimanapun, Ryan tetap menegaskan bahawa Sony tidak akan meninggalkan lebih daripada 100 juta pemain PS4 dalam masa terdekat ini. “Kami sentiasa merasakan yang kami memegang tanggungjawab untuk berkhidmat kepada komuniti [PS4] untuk beberapa tahun akan datang selepas pelancaran PS5, ia mewakili peluang bisnes yang besar.”

Beliau memberikan contoh bahawa dalam kira-kira 100 juta pemain PS4, mungkin 15 hingga 25 juta sahaja yang akan berpindah ke PS5 dalam beberapa tahun pertama. Bilangan pemain PS4 yang masih tinggal di generasi sebelumnya ini masih lagi merupakan jumlah yang terlalu besar untuk dibiarkan begitu sahaja.

Dalam temubual ini juga Ryan menegaskan yang PS5 akan tetap dilancarkan pada hujung tahun ini, dan ia akan dilancarkan dalam skala besar secara global.

JomKomen!