Tiga siri televisyen baharu daripada tiga francais game popular PlayStation sedang dalam pembikinnan, disahkan sendiri oleh CEO Sony Pictures Entertainment, Tony Vinciquerra ketika membentangkan laporan syarikat tersebut kepada para pelabur, lapor Variety.
Tiga game yang sedang diadaptasi ke televisyen itu adalah Horizon Zero Dawn, Gran Turismo, dan God of War.
Siri tv Horizon Zero Dawn sedang dalam pembikinan oleh Netflix, manakala siri tv Gran Turismo pula masih belum mempunyai pengedarnya. Kedua-dua projek ini masih berada dalam fasa pembangunan awal.
Kalau menurut Variety, Gran Turismo sedang adaptasi ke siri tv, tetapi kalau menurut Deadline pula, dakwaan tersebut dikatakan tidak tepat kerana sumbernya mengatakan ia sedang diadaptasi ke filem.
Menurut Deadline lagi, Neill Blomkamp sedang dipertimbangkan untuk mengarah filem Gran Turismo itu. Antara filem yang pernah beliau arahkan sebelum ini adalah District 9, Elysium, Chappie dan Demonic.
Siri tv God of War pula tentunya sudahpun kita dengar sebelum ini, di mana laporan mengenainya sudahpun didedahkan pada Mac lalu. Adaptasi tersebut sedang bekerjasama dengan Amazon Prime Video.
Bagi yang tidak tahu, Sony sememangnya sedang cukup rancak dalam mengadaptasi game-game mereka ke filem dan televisyen. Selain tiga projek ini, Sony juga sedang membikin siri tv The Last of Us (HBO), siri tv Twisted Metal (Peacock) dan filem Ghost of Tsushima, selain baru-baru ini telahpun menayangkan filem Uncharted di pawagam.
Comments
Loading…