Menu
in , ,

Sony PlayStation Sedang Bangunkan Sesuatu Untuk Lawan Xbox Game Pass, Kata Pengarah Asal God of War

Xbox Game Pass merupakan antara idea bernas Microsoft dalam beberapa tahun lepas, yang sehingga kini belum ada pesaing rapat terhadap servis langganan ini.

Menurut pengarah asal God of War, David Jaffe, Sony sebenarnya sedang membangunkan sesuatu untuk bertindak balas terhadap Xbox Game Pass yang semakin hari semakin menambat hati para peminat.

Ketika bercakap dalam livestream di channel Youtube-nya (via VGC), Jaffe memberitahu perkara ini telah disampaikan oleh beberapa orang dalam PlayStation kepada beliau. Sama ada Sony akan meniru secara terus model yang dilakukan oleh Microsoft atau memiliki sedikit kelainan, tidak dapat dipastikan.

Apa yang dikatakan oleh Jaffe ini sememangnya selari dengan apa yang pernah diperkatakan oleh Ketua PlayStation, Jim Ryan pada November 2020 lalu.

Ryan pada asalnya mengkritik keras servis langganan seumpama ini. Pada September 2020, Ryan berkata, “kami tidak akan mengikut langkah dengan meletakkan game-game baharu ke dalam model langganan. Game-game ini menggunakan kos jutaan dolar, lebih USD100 juta dolar sebenarnya, untuk membangunkannya. Kami tak nampak itu sebagai sesuatu yang lestari.”

Walau bagaimanapun, dua bulan selepas itu, beliau berkata pula, “sebenarnya ada berita yang bakal tiba, tapi bukan hari ini.”

Bagi yang tidak tahu, Xbox Game Pass merupakan sebuah servis langganan seumpama Netflix. Apabila melanggan, pemain akan mendapat akses kepada lebih daripada 100 game, termasuk beberapa game pihak pertama Xbox baharu pada hari pertama pelancaran.

Sama-samalah kita nantikan apakah sebenarnya perancangan Sony untuk lawan Xbox Game Pass.

Written by Faiz Tobeng

Abang ini berpersonaliti jiwang di luar dan berjiwa pahlawan di online gaming. Casual gamers yang juga peminat tegar Battlefield series & PES (tapi sekarang dah berpaling tadah ke FIFA).

Leave a Reply

Exit mobile version