Menu
in ,

Sony Padamkan Tanda “Hujung Tahun 2020” Dari Laman Web Rasmi PS5 Untuk Malaysia

Sebilangan besar peminat tegar PlayStation di Malaysia, sudah mula hilang sabar dengan Sony. Sehingga kini, walaupun kurang sebulan daripada pelancaran PS5 di beberapa negara terpilih, Sony masih belum mendedahkan tarikh pelancaran dan harga untuk pasaran Malaysia.

Terkini, perkara lebih membimbangkan sudah timbul apabila Sony sudah mula memadamkan tanda waktu pelancaran “Holiday 2020” (hujung tahun 2020) dari laman web rasmi PS5 untuk beberapa negara Asia Tenggara termasuk Malaysia.

Pemadaman ini ditemui oleh MP1ST, yang mana mereka membandingkan laman web rasmi PS5 untuk Indonesia beberapa hari lalu dengan laman sama yang terkini.

Laman web rasmi PS5 untuk Indonesia beberapa hari lalu (atas) dengan laman sama yang terkini (bawah).

Laman web rasmi PS5 untuk Malaysia, Filipina, Thailand dan Vietnam juga tidak lagi kelihatan tanda “Holiday 2020” di laman utamanya.

Satu-satunya negara Asia Tenggara yang kini mendapat layanan yang bagus daripada Sony ialah Singapura. Laman web rasmi PS5 untuk negara seberang tambak itu menyediakan butiran tentang gelombang kedua pra-tempah yang bermula pada 16 Oktober. Sony turut menyenaraikan beberapa kedai tempatan yang menyediakan pra-tempah PS5.

Apakah kebisuan Sony yang menganaktirikan para peminat di Malaysia ini menandakan mereka akan menangguh pelancaran PS5 di Malaysia, kemungkinan sehingga tahun hadapan? Kami cuba untuk mendapatkan komen daripada pihak Sony.

Written by Faiz Tobeng

Abang Youtuber ini berpersonaliti jiwang di luar dan berjiwa pahlawan di online gaming. Casual gamers yang juga peminat tegar Battlefield series & PES.

Leave a Reply

Exit mobile version