Sony Menukar Senarai Game Percuma PlayStation Plus, PES 2019 Diganti Dengan Detroit: Become Human

Sony pada minggu lalu telah membuat satu kejutan, apabila buat pertama kalinya memberikan game bola sepak, iaitu PES 2019, sebagai salah satu game dalam penawaran game percuma PlayStation Plus untuk bulan Julai 2019.

Dan terbaru, Sony membuat satu lagi kejutan, dan kali ini kejutannya lebih besar. Seingat kami, buat pertama kalinya, Sony menukar senarai game percuma setelah ia diumumkan sebelumnya. Menukar pada saat akhir, PES 2019 telah dibuang dari senarai tersebut, dan diganti dengan Detroit: Become Human.

Penukaran ini telah membahagikan para pelanggan kepada dua kem — iaitu satu yang menyambut baik, dan satu lagi pihak yang cukup marah dengan keputusan saat akhir Sony ini.

Mereka yang menyambut baik mengatakan yang sebuah game bola sepak sememangnya tidak sesuai untuk ditawarkan dalam game percuma PS Plus kerana ia hanya mampu “hidup” beberapa bulan sahaja, sebelum game terbaru di dikeluarkan — dalam kes ini, PES 2020 akan dikeluarkan pada September.

Manakala, mereka yang menantikan PES 2019 nampaknya telah kecewa kerana mereka sudah idam-idamkan game tersebut, namun akhirnya telah ditarik balik.

Lebih menimbulkan persoalan apabila Sony tidak menyatakan apakah sebab yang membuatkan mereka menukarnya.

Walau bagaimanapun, PES 2019 ditukar dengan sebuah game yang cukup baik. Detroit: Become Human merupakan antara game terbaik yang penulis mainkan pada tahun lalu. Malah, Sony berikan Deluxe Edition, bermakna dalam Detroit: Become Human itu nanti turut didatangkan dengan sebuah lagi game Quantic Dream, iaitu Heavy Rain.

JomBaca: Detroit: Become Human: Boleh Beli or Boleh Blah!?

Maksudnya, ada tiga game yang diberikan dalam Julai 2019, iaitu Aegis Defenders, Detroit: Become Human dan Heavy Rain (tapi Heavy Rain juga pernah diberikan dalam PS Plus April 2018, ya memang pening!).

Mahu tidak mahu, korang layan ajelah penawaran game-game ini. Rungut banyak-banyak pun bukan boleh buat apa-apa. Jom gaming!

JomKomen!