in ,

Sony Malaysia Ambil Tindakan Terhadap Pra-Tempah PS5, Gamers Hideout Mohon Maaf, Janji Tukar Tawaran

Beberapa hari lalu, dunia gaming tempatan telah dikejutkan dengan pra-tempah PS5 di Gamers Hideout yang penuh kontroversi, dan ia telah membangkitkan kemarahan komuniti PlayStation tempatan.

Malam tadi, kenyataan yang dikeluarkan oleh Sony Malaysia kepada seorang pemain di Facebook Messenger telah tular. Dalam kenyataan ini, Sony Malaysia telah mengesahkan yang pihak mereka telah menerima banyak rungutan daripada pelanggan tentang pengalaman pra-tempah PS5 di Gamers Hideout.

Mereka turut mendedahkan yang tindakan sewajarnya akan diambil kepada penjual-penjual yang mengambil kesempatan terhadap pra-tempah PS5.

“Kepuasan pelanggan adalah keutamaan kami dan kami ingin berterima kasih kerana mengetengahkan perkara ini kepada kami,” kata Sony Malaysia. “Sekali lagi kami ingin memohon maaf untuk segala kesulitan yang terjadi kepada anda dalam perkara ini.”

Dan nampaknya, tindakan yang dikatakan akan diambil ini telahpun diambil oleh Sony Malaysia. Gamers Hideout telahpun mengeluarkan kenyataan mereka di Facebook, menandakan yang Sony Malaysia telah mengambil sesuatu tindakan terhadap kedai tersebut.

Gamers Hideout memulakan kenyataan dengan mengucapkan rasa kesal terhadap tawaran bundle PS5 yang tidak disenangi ramai itu. Mereka memohon maaf dan berjanji akan mengambil tindakan segera bagi membetulkan kegusaran ini.

Kepada pembeli yang telah melakukan pra-tempah tersebut, pihak GH akan menghubungi para pembeli untuk menyesuaikan pembelian dengan sesuatu yang mereka selesa.

GH turut berkata sesuatu kepada komuniti gaming, media dan rakan-rakan kongsi mereka.

“Kami mendengar kalian dengan jelas, kami hargai maklumbalas dan kritikan kalian yang benar. Mulai sekarang, kami akan memberikan usaha terbaik untuk menambahbaik,” kata GH.

GH sememangnya cukup tersohor atas kontroversi-kontroversi yang pernah mereka timbulkan. Selain tawaran pra-tempah PS5 yang mewajibkan pembeli mendapatkannya sekali dengan bundle, mereka sebelum ini mengatakan kos penghantaran yang terlalu mahal “adalah kesilapan teknikal“.

April lalu, Gamers Hideout dilaporkan meminta pekerjanya cuti tanpa gaji semasa PKP.

Selain itu, kalau korang masih ingat, kira-kira empat tahun lalu, salah seorang pekerja GH pernah menuduh pelanggannya mencuri sehingga membangkitkan kemarahan luar biasa komuniti gaming tempatan. Dan seperti skrip yang sama, GH telah memohon maaf.

Written by Faiz Tobeng

Abang Youtuber ini berpersonaliti jiwang di luar dan berjiwa pahlawan di online gaming. Casual gamers yang juga peminat tegar Battlefield series & PES.

Comments

JomKomen!

Loading…

0
Harga Dan Tarikh Pelancaran Xbox Series X Diumumkan, Boleh Bayar Ansuran Secara Bulanan

Bos Xbox Kata Peratusan Konsol Semakin Mengecil Dalam Keseluruhan Ruang Gaming

Microsoft Ambil-Alih Bethesda Dengan Nilai RM31b - Elder Scrolls, Doom Dan Lain-Lain Kini Milik Microsoft

Microsoft Tak Mahu Tarik Game-Game Bethesda Dari PlayStation Atau Nintendo