Beberapa hari lalu, kita ada mendengar tentang khabar pemberhentian produksi beberapa model PS4 di Jepun. Dan ia kini telah disahkan secara rasmi oleh Sony.
Bercakap kepada GAME Watch, lapor Gematsu, Sony Interactive Entertainment Japan Asia mengesahkan bahawa mereka telah menghentikan semua produksi model PS4 Pro (siri CUH-7000) dan semua model PS4 slim (siri CUH-2000) kecuali hanya satu model sahaja.
Satu-satunya model yang masih mereka hasilkan dan jualkan di Jepun ialah PS4 slim 500GB Jet Black.
Untuk makluman, model PS4 standard (yang tebal itu) (siri CUH-1000) telah lama mereka hentikan produksinya sebelum ini.
Menurut laporan ini lagi, Sony Interactive Entertainment merancang untuk menggunakan segala sumber yang tersedia sekarang untuk menghasilkan PS5, yang mana terus ia kehabisan stok di Jepun (dan seluruh dunia). Sony juga mahu perpindahan kepada konsol generasi terkini dapat dilakukan dengan lebih cepat.
Buat masa ini, kita tidak dapat pastikan lagi sama ada pemberhentian produksi model-model PS4 ini akan turut dilakukan di rantau-rantau lagi ataupun tidak. Namun, menurut PlayStationLifeStyle, timbul juga spekulasi tentang pemberhentian produksi PS4 Pro di rantau negara-negara Barat kerana sudah ada kedai di sana menyatakan model konsol itu tiada lagi stok.
Comments
Loading…