in ,

Sony Dilaporkan Sedang Membangunkan Remake Game Pertama The Last of Us Untuk PS5

Bloomberg telah mengeluarkan satu artikel yang cukup panas. Penulis kontroversinya, Jason Schreier telah membuka pekung Sony yang dikatakan terlalu ‘obsesi terhadap blokbuster’.

Laporan ini mengatakan yang pernah terdapat satu pasukan pembangunan yang ditugaskan di Sony Visual Arts Services Group bagi membangunkan remake (bukan remaster) game pertama The Last of Us untuk PS5. Walau bagaimanapun, Sony tidak memberikan sumber yang cukup terhadap pembangunan remake ini — dikatakan orang atasan Sony tidak begitu yakin dengan projek ini.

Sejak itu, delegasi utama untuk projek remake ini telah dipindahkan semula kepada Naughty Dog, yang mana projek ini dikatakan masih lagi berjalan di bawah studio tersebut.

Apa yang ditekankan dalam artikel Bloomberg ini adalah bukan semata-mata mengenai remake The Last of Us itu, tetapi lebih kepada bagaimana Sony mengendalikan projek-projek mereka. Syarikat itu dikatakan tidak memberikan sokongan yang sama rata kepada studio-studio kecil berbanding sumber-sumber yang diberikan kepada studio-studio yang lebih besar dan stabil seperti Naughty Dog dan Insomniac Games.

Ketika projek remake itu masih berada di tangan Sony Visual Arts Services Group, pembangunannya telah tergendala seketika, mengalihkan pekerja-pekerja di sana untuk membantu Naughty Dog menyiapkan The Last of Us Part II. Kemudian, apabila sekuel itu sudah dilancarkan secara global, ia menarik pula pekerja-pekerja Naughty Dog untuk membantu Sony Visual Arts Services Group menyambung projek remake tersebut.

Rata-rata peminat memberikan reaksi cukup negatif terhadap laporan ini. Mereka mengecam tindakan Sony yang terus-menerus memerah game survival zombi itu. The Last of Us pertama kali dilancarkan pada 2013, mendapat remaster untuk PS4 pada 2014, mendapat kemaskini PS4 Pro pada 2016, dan mendapat kemaskini kecil untuk PS5 kira-kira enam bulan lalu.

Dan kini, sekiranya laporan ini benar, Sony ingin remake pula The Last of Us.

Ada juga peminat yang mempersoalkan mengapa Sony tidak membangunkan remake untuk beberapa francais lain yang sudah ‘mati’, antaranya Sly Cooper, Resistance, Jak & Daxter, SOCOM, Gravity Rush dan Twisted Metal.

Semasa laporan Bloomberg ini diterbitkan, projek remake The Last of Us dikhabarkan masih lagi berjalan di bawah kendalian Naughty Dog sendiri.

Sama-sama kita nantikan apa-apa respon daripada Sony terhadap dakwaan ini.

Written by Faiz Tobeng

Abang ini berpersonaliti jiwang di luar dan berjiwa pahlawan di online gaming. Casual gamers yang juga peminat tegar Battlefield series & PES (tapi sekarang dah berpaling tadah ke FIFA).

Comments

JomKomen!

Loading…

0

Rockstar Disahkan Sertai E3 2021 – Game Apa Mereka Akan Umumkan? GTA 6, Red Dead Remaster?

Epic Games Store Rugi RM748 Juta Dan RM1.1 Billion Pada 2019 Dan 2020