Menu
in ,

Sony Dilaporkan Mengurangkan Produksi PS5 Disebabkan Terus Kekurangan Komponen

Satu laporan baharu telah muncul, menyatakan bahawa Sony akan mengurangkan bilangan produksi konsol PlayStation 5 untuk tahun fiskal ini (berakhir pada Mac 2022).

Laporan ini hadir dari Bloomberg, yang mana saluran media itu memberitahu mereka mendapat berita ini dari sumber terdekat Sony, yang namanya tidak mahu didedahkan.

Faktor pengurangan produksi ini tentunya disebabkan Sony tidak menerima komponen yang mencukupi, satu rantaian bekalan yang masih lagi terkesan disebabkan pandemik COVID-19.

Menurut Bloomberg, Sony pada asalnya menyasarkan 16 juta unit PS5 dihasilkan sehingga Mac kelak, yang akan mampu mencapai sasarannya dalam tempoh waktu itu serta memberikan kelebihan ke hadapan untuk tempoh tahun fiskal seterusnya.

Walau bagaimanapun, kini, Sony dikhabarkan telah mengurangkan bilangan tersebut kepada kira-kira 15 juta, membuatkan sasaran mereka untuk 14.8 juta unit PS5 terjual sehingga Mac semakin sukar untuk dicapai.

Isu logistik dan kekurangan komponen terus menjadi masalah utama kepada syarikat gergasi itu, dedah CFO Sony, Hiroki Totoki dalam pembentangan kepada para pelabur bulan lalu.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, PS5 telah menjadi konsol keluaran Sony yang paling pantas mencapai jualan sebanyak 10 juta unit. Namun, sejak mencecah bilangan itu, jualan PS5 kelihatan semakin perlahan, menyebabkan jualan konsol terdahulunya, PS4 terjual lebih banyak.

Sebagai perbandingan, yang boleh dilihat dalam rajah di bawah, sejak Oktober 2020 (PS5 dilancarkan pada November 2020), PS4 telah terjual sebanyak 13.8 juta unit, manakala PS5 hanya terjual sebanyak 13.4 juta unit.

Di samping itu, Bloomberg turut melaporkan bahawa pemberian vaksin COVID-19 yang tidak sama rata di beberapa negara membangun, di mana terletaknya pangkalan utama pembekal komponen kepada Sony, membuatkan bekalan cip tidak menentu.

Para pembekal Sony menjangkakan bekalan PS5 akan terus berkurangan sepanjang tahun 2022, dan sasaran untuk mencapai jualan sebanyak 22.6 juta unit dalam tahun fiskal seterusnya (April 2022 hingga Mac 2023) adalah amat sukar.

Written by Faiz Tobeng

Abang ini berpersonaliti jiwang di luar dan berjiwa pahlawan di online gaming. Casual gamers yang juga peminat tegar Battlefield series & PES (tapi sekarang dah berpaling tadah ke FIFA).

Leave a Reply

Exit mobile version