in

Sony Dilaporkan Mendanai Projek Silent Hill Baru, Dibangunkan Oleh Kojima Productions

Sejak beberapa lalu, penerbit game yang paling banyak disebutkan dalam media dan Internet tentunya adalah Konami.

Selain disebut-sebut kerana pelancaran eFootball 2022 yang memalukan, Konami dilaporkan kini sedang menghidupkan semula francais-francais besar mereka yang setelah sekian lama menyepi.

Laporan ini pertama kali dilaporkan oleh VGC, di mana ia mengatakan bahawa Konami kini sedang membangunkan banyak game baharu dari francais Metal Gear, Castlevania dan Silent Hill.

VGC menyatakan, menurut sumber penerbitan yang mereka tidak boleh dedahkan namanya, penstrukturan semula syarikat yang penuh kontroversi itu pada awal tahun ini membuatkan Konami kini fokus untuk membawa semula jenama game mereka ke ruang gaming premium.

Sebuah Castlevania baharu dikatakan sedang ‘diilhamkan semula’, dibikin oleh studio dalaman Konami di Jepun, dengan sokongan beberapa studio luar.

Untuk francais Metal Gear Solid pula, VGC melaporkan bahawa sebuah projek remake yang berlatarkan Metal Gear Solid 3: Snake Eater kini sedang diusahakan oleh studio luar, iaitu Virtuos, sebuah studio yang berpangkalan di Singapura.

Virtuos sebelum ini telah mengusahakan banyak port untuk Nintendo Switch seperti Dark Souls Remastered, The Outer Worlds dan The BioShock Collection, serta sama-sama membantu membangunkan game-game AAA lain seperti Battlefield 1, Uncharted 4 dan Horizon Zero Dawn.

Dalam masa sama, beberapa game asal Metal Gear Solid juga dikhabarkan sedang dalam perancangan dikeluarkan versi remastered untuk konsol-konsol moden.

Eurogamer juga telah mengesahkan laporan ini dengan menyatakan mereka juga ada menerima sumber yang mengatakan Konami sudah sekian lama memikirkan idea untuk versi baharu Metal Gear Solid 3: Snake Eater.

Lebih menarik, Gematsu pula melaporkan bahawa mereka ada mendengar yang sebuah Silent Hill baharu kini dalam pembangunan, dibangunkan oleh Kojima Productions, dan didanai oleh Sony Interactive Entertainment.

Tentunya laporan ini masih lagi dalam status khabar angin selagi ia belum disahkan secara rasmi. Namun, melalui beberapa laman web gaming gergasi yang melaporkan perkara yang sama, kemungkinan laporan-laporan ini sahih adalah tinggi.

Written by Faiz Tobeng

Abang ini berpersonaliti jiwang di luar dan berjiwa pahlawan di online gaming. Casual gamers yang juga peminat tegar Battlefield series & PES (tapi sekarang dah berpaling tadah ke FIFA).

Comments

JomKomen!

Loading…

0

Konami Mohon Maaf Atas Pelancaran Teruk eFootball 2022, Janji Tambah Kualiti, Kandungan

Battle Royale Mobile, Final Fantasy VII: The First Soldier Akan Dilancarkan Pada November