in , ,

Sony Dedahkan UI/Menu Utama PS5 – 10 Ciri Baru Yang Korang Perlu Tahu

Setelah lama para peminat menanti, dan menjelang kurang sebulan sebelum pelancaran PS5, Sony akhirnya telah memperlihatkan user interface (UI) untuk konsol generasi seterusnya mereka itu.

Sememangnya PS5 akan memberikan pelbagai pengalaman baharu kepada para pemain dengan bermacam fungsi dan ciri yang sangat menarik dan memudahkan. Ini kami kumpulkan 10 ciri menarik yang didedahkan dalam video di bawah.

1. Control Center

Control Center merupakan satu menu yang dapat diakses dengan hanya menekan sekali sahaja butang PS di DualSense. Sony mengatakan yang Control Center merupakan satu paparan yang akan membantu pemain dalam banyak perkara.

Di sini, kita boleh dapatkan berita-berita baharu yang diumumkan oleh pembangun game yang kita miliki melalui akaun media sosial rasmi mereka. Di sini juga kita boleh akses klip video dan screenshot yang telah kita ambil sebelum ini melalui butang Create di DualSense.

2. Activities

Activities boleh dikatakan seumpama satu hab yang memberitahu perkembangan terkini tentang game yang sedang kita mainkan. Ia akan memaparkan apakah objektif-objektif yang telah atau sedang kita capai — berapa peratus sudah lengkap, apakah bahan yang diperlukan, anggaran berapa minit untuk sesuatu objektif itu dapat dicapai, dan lain-lain.

Malah, apabila kita lihat ada objektif yang belum tercapai, kita boleh pilih dan terus melompat ke level tersebut (bergantung kepada setiap game).

3. Game Help

Selalunya, apabila kita tersekat di satu bahagian dalam game, dan sudah perah otak habis-habisan tapi masih buntu, kita mungkin akan Google atau Youtube bahagian tersebut untuk dapatkan bantuan. Namun, kadang-kala, lain yang kita cari, lain yang kita temui, sehingga kita sendiri ternampak spoiler.

PS5 akan memperkenalkan satu ciri baharu yang akan mengatasi masalah ini. Sesetengah Activity (objektif dalam game) akan menyediakan Game Help. Satu video pendek bersaiz kecil akan dipaparkan, memberikan bantuan kepada pemain untuk menyelesaikan objektif yang sedang tersekat itu. Pembangun akan menyediakn video tersebut, dan tentunya ia tidak akan memaparkan sebarang spoiler.

4. Mikrofon

Dalam video kali ini, Sony telah mengesahkan bahawa controller DualSense mempunyai mikrofon terbina. Bermakna, setiap kali pemain masuk ke dalam Party Chat, kita akan terus boleh berbual dengan rakan, tanpa perlu meraba mencari earphone atau headset.

Lebih menarik, DualSense turut mempunyai keupayaan untuk membisukan (mute) mikrofon terus dari controller. Lebih mudah dan lebih cepat.

5. Share Screen

Ini mungkin ciri paling menarik bagi penulis secara peribadi. Seperti tertera di namanya, Share Screen membenarkan seorang pemain berkongsikan paparan skrin dari game yang sedang dia mainkan kepada pemain lain, asalkan kedua-dua pemain yang terlibat berada dalam Party yang sama.

Ini mungkin kedengaran seperti fungsi Share Play yang sudah ada di PS4. Namun, apa yang membezakannya ialah kita boleh menonton paparan skrin rakan itu sambil kita juga sedang bermain game lain. Misalnya, korang sedang bermain FIFA, dan sambil bermain FIFA itu, dia boleh menonton paparan skrin (saiz kecil di skrin) yang dikongsikan oleh rakan korang yang sedang bermain Call of Duty.

6. Lompat Game

Ini merupakan satu ciri konsol generasi seterusnya yang sudah sering dibincangkan, sama ada PS5 mahupun Xbox Series.

Dalam video ini, Sony memperlihatkan buat kali pertama bagaimana pemain mampu bertukar-tukar dari satu game ke game lain dengan begitu cepat — terima kasih kepada penggunaan SSD yang sangat pantas oleh PS5.

7. Create

Sony turut memperlihatkan fungsi merakamkan klip video dan screenshot melalui butang Create yang ada di DualSense. Tiada apa yang mengejutkan kerana kebanyakan fungsi sudah ada di PS4, seperti PS5 akan sentiasa merekodkan gameplay kita, terpulang kepada kita untuk menyimpannya (save) pada bila-bila masa.

Namun apa yang berbeza dengan PS4 ialah PS5 akan merakam kedua-dua klip video dan screenshot dalam resolusi 4K.

8. PlayStation Store

Sony Akhirnya Dedahkan UI PS5 - 10 Ciri Baru Yang Korang Perlu Tahu

Satu perubahan besar yang ditampilkan dalam menu utama PS5 ialah PlayStation Store diintegrasikan terus ke dalam sistem PS5 — tidak seperti PS4 yang perlu membuka satu aplikasi berasingan untuk melihat PS Store. Bermakna, apabila pemain scroll terus ke tab paling kiri di menu utama PS5, ia akan terus memaparkan PS Store tanpa sebarang loading lagi.

Di sini, pemain dibenarkan untuk melihat semua game PS5 dan game PS4 yang menyokong backward compatibility.

9. Sunting Gambar

Sebelum memuat-naik screenshot ke akaun media sosial, ada fungsi untuk kita menyunting gambar tersebut. Sony walau bagaimanapun tidak memperlihatkannya secara lanjut dalam video ini, yang mana mereka hanya mengumumkan sahaja tentang fungsi penyuntingan gambar itu.

Kami menjangkakan yang fungsi suntingan itu adalah yang ringkas seperti pilihan beberapa filter berwarna, crop gambar dan sebagainya.

10. Mengesan Suara

Sony mengesahkan bahawa kita boleh menulis di skrin dengan hanya menggunakan fungsi pengesanan suara. Disebabkan DualSense mempunyai mikrofon terbina, kita boleh cakap sahaja apa yang ingin ditaip, tanpa perlu untuk menaip satu per satu huruf seperti biasa.

Kata Sony, beberapa bahasa akan menyokong fungsi pengesanan suara ini, tetapi belum mendedahkan lagi apakah senarai bahasa itu.

Sony Dedahkan UI/Menu Utama PS5 - 10 Ciri Baru Yang Korang Perlu Tahu

Jadi, fungsi dan ciri di PS5 manakah yang korang paling teruja dalam video pendedahan kali ini? Kongsikannya di ruangan komen.

PS5 akan dilancarkan pada 12 November ini.

Written by Faiz Tobeng

Abang Youtuber ini berpersonaliti jiwang di luar dan berjiwa pahlawan di online gaming. Casual gamers yang juga peminat tegar Battlefield series & PES.

Comments

JomKomen!

Loading…

0
Kotak Game PS5 Pertama Sudah Mula Dicetak, Ini Rupa Bentuknya

Kotak Game PS5 Pertama Sudah Mula Dicetak, Ini Rupa Bentuknya

Sony Umumkan PlayStation Studios, Jenama Baru Untuk Game-Game Eksklusif Menjelang PS5

SIE Worldwide Studios Malaysia Sedang Membuka Jawatan Kosong Sebagai Pembangun Game