in , ,

Sony Buat Pelaburan Sebanyak RM1 Billion Ke Dalam Epic Games

Sony Corporation telah bersetuju untuk menyuntik pelaburan strategik sebanyak USD250 juta (~RM1.07 billion) ke dalam Epic Games.

Menurut Game Informer, pelaburan ini bertujuan meluaskan lagi kolaborasi antara Epic Games dengan platform hiburan dan ekosistem digital Sony.

“Teknologi berkuasa tinggi milik Epic dalam bidang seperti grafik meletakkan mereka di hadapan dalam pembangunan enjin game melalui Unreal Engine dan beberapa inovasi lain,” kata pengerusi, presiden dan CEO Sony, Kenichiro Yoshida.

“Tiada contoh yang lebih baik tentang perkara ini selain pengalaman revolusi hiburan, Fortnite. Melalui pelaburan ini, kami akan menerokai pelbagai peluang untuk melanjutkan kolaborasi bersama Epic untuk menyinarkan dan membawa nilai kepada pengguna dan industri dalam skala besar, bukan sahaja dalam game, tetapi juga merentasi landskap hiburan digital yang sentiasa berkembang.”

Kata pengasas dan CEO Epic Games, Tim Sweeney pula, “bersama-sama, kita akan membina ekosistem digital yang lebih terbuka dan mudah untuk kesemua pengguna dan pencipta kandungan.”

Mungkin ada daripada kita yang hanya mengenali Epic Games melalui Fortnite. Namun, peranan syarikat tersebut dalam industri hiburan, terutamanya perfileman dan gaming, adalah cukup besar.

Epic Games merupakan pemilik kepada Epic Games Store, sebuah platform gudang game yang kini menjadi pesaing utama kepada Steam, laman gudang game yang sekian lama mendominasi industri.

Epic juga merupakan pencipta kepada Unreal Engine, sebuah enjin game yang telah membangunkan ratusan, jika tidak ribuan game yang ada di pasaran pada ketika ini. Unreal Engine juga digunakan untuk menghasilkan kesan khas dalam pembikinan siri TV The Mandalorian yang diterbitkan oleh Disney+.

Pada Mei lalu, Epic Games telah memperlihatkan gameplay pertama PS5 yang dihasilkan melalui Unreal Engine — satu demonstrasi teknikal yang cukup mengagumkan.

Apa agaknya perancangan kolaborasi antara Sony dan Epic ini nanti? Sama-sama kita nantikan.

Written by Faiz Tobeng

Abang Youtuber ini berpersonaliti jiwang di luar dan berjiwa pahlawan di online gaming. Casual gamers yang juga peminat tegar Battlefield series & PES.

Comments

JomKomen!

Loading…

0
Cooler Master Mula Masuk Ke Pasaran Kerusi Gaming - Memperkenalkan Siri Caliber Dan Ergo

Cooler Master Mula Masuk Ke Pasaran Kerusi Gaming – Memperkenalkan Siri Caliber Dan Ergo

Ubisoft Mula Mengacah Far Cry 6, Dibintangi Giancarlo Esposito

Ubisoft Mula Mengacah Far Cry 6, Dibintangi Giancarlo Esposito