Salah satu berita tergempar pada tahun lalu ialah apabila Sony mengumumkan yang pasukan PlayStation mereka tidak akan hadir dalam E3 2019. Dalam pengumuman yang dibuat pada November 2018 itu, Sony menyatakan yang mereka sedang mencari cara yang baru dan rapat kepada komuniti pada tahun 2019.

Memberi respon kepada keputusan besar Sony ini, penganalisis industri, Michael Pachter merasakan yang ia merupakan satu tindakan yang bodoh, dan pada suatu masa akan datang, mereka akan kembali ke konvensyen gaming tahunan terbesar dunia yang diadakan di Los Angeles, Amerika Syarikat itu.

“Saya rasa mereka telah buat satu keputusan yang buruk,” kata Pachter kepada GamingBolt. “Saya rasakan mungkin dalam perbincangan dalaman, mereka yakin duit yang dibelanjakan [untuk E3] tidak berbaloi — dan mereka salah. Saya tak tahulah berapa yang dibelanjakan, tetapi sekiranya USD15 juta, mereka dapat USD15 juta publisiti daripadanya. Jadi saya rasakan yang mereka adalah bodoh untuk tidak hadir ke acara itu. Dan mereka akan kembali.”

Pachter turut memberikan komennya tentang acara bosan yang dipersembahkan oleh Sony dalam E3 2018 pada Jun lalu. Kata beliau:

“Mereka adakan walkthrough dungu yang tiada siapa faham, dan ia tidak menyeronokkan. Dan saya rasakan mereka telah membelanjakan dengan banyak untuk itu. Dan ramai daripada mereka yang tidak tahu sebenarnya mereka tidak membuat sebarang kesilapan, jadi mereka ambil bola mereka dan bawa pulang, kerana ia tidak berjaya.”

Bercakap pula tentang acara berasingan yang akan diadakan Sony kelak, Pachter yakin yang ia ada kaitan dengan konsol generasi seterusnya. Satu acara khas umpama PlayStation Experience (PSX) akan diadakan untuk memperkenalkan konsol terbaru Sony itu, dan mungkin akan berlangsung pada tahun 2020.

Pada pandangan kami, apa yang dikatakan oleh beliau tentang persembahan membosankan yang ditampilkan Sony pada E3 2018, ada benarnya. Walau bagaimanapun, untuk melabelkan Sony sebagai “bodoh” untuk tidak hadir ke E3 2019, mungkin tidak wajar. Pastinya syarikat gergasi gaming itu ada perancangan mereka tersendiri yang pastinya bakal mengejutkan ramai.

Apa pula pandangan korang?

JomKomen!