in ,

Sony Belum Sahkan Yang God of War: Ragnarok Adalah Judul Rasmi Sekuel Itu

Beberapa hari lalu, Sony ada membentangkan laporannya kepada para pelabur, yang mana ia boleh diakses oleh orang awam.

Banyak berita baharu yang didedahkan dalam laporan tersebut, antaranya kehadiran Uncharted 4 ke platform PC tidak lama lagi.

Selain itu, ada satu berita tergempar mengenai sekuel God of War (2018) ditampilkan dalam laporan berbentuk PDF itu. Sony ada menyenaraikan beberapa game PS5 yang telah dan bakal dilancarkan — salah satu daripadanya adalah meletakkan logo God of War: Ragnarok.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kepada IGN, pihak Sony telah mengesahkan yang mereka tersilap letak logo God of War: Ragnarok di dalam laporan tersebut, yang mana ia sebenarnya adalah logo yang dicipta oleh seorang peminat sahaja (fan-made).

Umum berspekulasi bahawa pekerja grafik yang menyiapkan laporan itu tentunya telah mencari logo sekuel God of War di Google sahaja dan menemui logo yang dicipta peminat itu. Andaian.

Sony telahpun mengemaskini PDF tersebut dan menggantikan logo ‘God of War: Ragnarok’ itu kepada logo God of War yang lebih generik. Berikut ialah perbandingan antara sebelum dan selepas kemaskini PDF itu:

Logo God of War: Ragnarok dalam PDF asal sebelum dikemaskini.
Logo God of War yang lebih generik dalam PDF yang telah dikemaskini.

Kekacauan ini turut mendapat reaksi dari pengarah game pertama dan sekuelnya, Cory Barlog yang memuatnaik GIF penuh kecewa di Twitter. Walaupun tidak menyatakan secara jelas apakah maksud GIF itu, tentunya ia berkaitan dengan laporan PDF tersebut kerana dimuatnaik ketika isu tersebut sedang hangat dipertakatakan.

Terdapat dua kemungkinan daripada tindakan Sony menukar logo God of War: Ragnarok kepada logo God of War yang lebih generik dalam laporan PDF ini. Pertama, God of War: Ragnarok mungkin adalah judul rasmi sekuel itu, namun logo yang digunakan itu bukanlah logo rasmi, sebaliknya hanya rekaan peminat. Kedua, judul rasmi sekuel itu sememangnya belum diumumkan dan kemungkinan besar tiada ‘Ragnarok’ pun dalam judulnya.

Sekiranya kita amati semula teaser pertama sekuel God of War itu, Sony dan Santa Monica sememangnya tidak menyatakan ‘God of War: Ragnarok’ adalah judulnya. Sebaliknya, hanya terdapat tulisan “Ragnarok Is Coming” di akhir video tersebut.

Apa-apa pun, sama-samalah kita nantikan sebarang pengumuman rasmi mengenai sekuel yang amat dinantikan ramai ini.

Written by Faiz Tobeng

Abang ini berpersonaliti jiwang di luar dan berjiwa pahlawan di online gaming. Casual gamers yang juga peminat tegar Battlefield series & PES (tapi sekarang dah berpaling tadah ke FIFA).

Comments

JomKomen!

Loading…

0

Gameplay Horizon Forbidden West Pecahkan Rekod Jumlah Penonton Acara State of Play

Peminat Bengang EA Iklankan FIFA Points Dalam Majalah Kanak-Kanak Kerana Perkaitannya Dengan Judi

Mode Ultimate Team Menyumbang RM6.7 Billion Tahun Lalu, 29% Pendapatan Keseluruhan EA