Setelah sekian banyak khabar angin yang berlegar sebelum ini, pihak Sony akhirnya mengumumkan fungsi menukar nama ID PlayStation Network (PSN) yang bakal dibawakan mereka tidak lama lagi.
Walaupun ia merupakan berita yang ramai nanti-nantikan, fungsi ini tetap mempunyai beberapa syarat yang mungkin tidak ramai yang jangkakan sebenarnya.
Fungsi ini akan masuk ke fasa beta terlebih dahulu, yang mana ia akan dibawa ke dalam PlayStation Preview Program dalam masa terdekat. Kata Sony, fungsi ini akan dilancarkan kepada semua pemain PS4 pada awal tahun 2019.
Dalam fasa beta itu nanti, pemain boleh mencuba menukarkan ID sebanyak mana yang mereka mahukan. Namun, apabila ia dilancarkan sepenuhnya nanti, ada sedikit kelainan.
Pertukaran ID pertama akan dibenarkan secara percuma kepada semua pemain, kemudian, pertukaran lagi selepas itu akan dikenakan bayaran sebanyak USD9.99. Untuk pemain yang melanggan PlayStation Plus, bayaran yang dikenakan pula ialah USD4.99. Tiada lagi sebarang pengumuman berapakah caj yang akan dikenakan untuk pasaran Malaysia.
Menurut Sony lagi, apabila pemain menukarkan online ID, korang akan diberikan opsyen sama ada untuk memaparkan ID korang sebelum ini ataupun tidak, demi menyenangkan rakan-rakan mengenali korang. Apabila korang memutuskan sama ada untuk memaparkan ID lama korang ataupun tidak, korang dah tak boleh ubahkannya selepas itu.
Apa yang lebih mengejutkan tentang pengumuman ini, tidak semua game yang pernah dilancarkan ke PS4 akan menyokong fungsi penukaran ID ini. Semua game yang telah dilancarkan selepas 1 April 2018 akan menyokong fungsi ini, manakala untuk game yang keluar sebelum itu, bukan semua game akan diperbaharui dengan sokongan ini. Senarai game yang dilancarkan sebelum tarikh tersebut yang akan mendapat sokongan ini akan didedahkan di PlayStation.com untuk rujukan sebelum para pemain membuat pertukaran.
Sony sudah cakap awal-awal bahawa bukan semua game dan aplikasi di PS4, PS3 dan PS Vita akan dijamin dengan kehadiran sokongan fungsi terbaru ini, dan mereka menegaskan yang pemain mungkin boleh menghadapi beberapa isu dan kesilapan dalam sesetengah game.
Namun, apa yang melegakan ialah sekiranya korang tidak berpuas hati dengan masalah yang timbul, korang boleh kembali menggunakan semula ID asal secara percuma.
Jadi, amacam korang? Masih mahu menukar nama ID PSN korang, walaupun Sony tidak menampilkan fungsi pertukaran yang “lengkap”?
Comments
Loading…