Soalan pertama yang terlintas di fikiran korang tentunya adalah:
Apa perasaan saya masa main game Sonic Frontiers? Jawapannya ringkasnya adalah terasa macam main game Shadow of Colossus dengan ada vibe dari Dragon Ball Z.
Sonic Frontiers merupakan sebuah game platform action-adventure yang dibangunkan oleh Sonic Team dan diterbitkan oleh Sega untuk platform PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One, Xbox Series X/S, PC dan Nintendo Switch.
Timbul Banyak Persoalan
Plot Sonic Frontiers bermula apabila Sonic, Tails dan Amy yang sedang terbang di kawasan pulau Starfall disedut ke dalam portal. Portal tersebut menghantar mereka ke dunia digital yang dikenali sebagai Cyber Space.
Amy dan Tails tidak berjaya melarikan diri dari dunia Cyber Space. Namun, Sonic berjaya keluar dari Cyber Space dan mendarat di pulau Starfall. Di atas pulau itu, Sonic akan membongkar rahsia mengenai tamadun yang telah lama musnah dan bagaimana tamadun itu menguasai Chaos Emeralds.
Dalam masa yang sama menyelamatkan Amy dan Tails untuk memisahkan dunia digital dan dunia sebenar.
Pada awal permainan, saya pada mulanya tidak suka suara Sonic dalam game ini kerana sudah terbiasa dengan suara Sonic yang bersemangat dan ceria dalam game-game lepas. Tapi dalam Sonic Frontiers kali ini, suara Sonic boleh dikatakan lebih matang dan tenang namun masih mengekalkan kelakukan ‘pantasnya’ dalam beberapa babak.
Selepas menyelami jalan ceritanya dengan lebih mendalam. Saya setuju dengan pemilihan suara Sonic ini. Kerana ton jalan ceritanya lebih serius dan ada naik turun sedihnya.
Bagi saya jalan ceritanya menarik dan menimbulkan banyak persoalan sebaik sahaja pemain mendarat di atas pulau Starfall. Sepanjang permainan, pemain akan membongkar tamadun yang dikenali sebagai The Ancients. Dan kenapa pulau itu dipenuhi dengan raksasa ‘Titans’.
Ada Menarik, Ada Kurang
Pemain akan mengawal Sonic dan bebas untuk bergerak ke mana-mana dalam kawasan open-zone. Setelah pemain selesai dengan story di open-zone itu, pemain akan bergerak ke kawasan open-zone baharu yang mempunyai pelbagai jenis landskap.
Kawasan open-zone ini menyediakan pelbagai jenis landasan dan platform lompatan di mana Sonic boleh melakukan pelbagai jenis stunts dan dalam masa yang sama mengekalkan kelajuannya.
Selain main quests, terdapat juga side quests yang disampaikan dalam bentuk exposition dari karakter lain. Walaupun sekejap saja side quests, bagi saya ia bagus kerana dapat mengekalkan momentum antara gameplay dan penceritaan. Mini games juga disediakan untuk pemain mengumpul Chaos Emeralds, Memory Tokens, rings dan lain-lain.
Dari segi pergerakan, selain larian biasa Sonic juga boleh boost untuk tingkatkan lagi kelajuan berlarinya. Sonic boleh double jump malah boleh juga lancarkan dirinya ke hadapan apabila berada di udara. Serta boleh wall run semasa memanjat dinding.
Pertukaran pergerakan Sonic dari berlari, lompat di atas landasan, tukar ke landasan lain dan lompat di udara juga lancar dan laju.
Pasal combat pula, Sonic akan lock-on ke arah musuh terdekat diikuti dengan musuh seterusnya. Terdapat beberapa jenis combo yang boleh dilakukan oleh pemain. Dan combo ini berantai ke arah musuh-musuh lain.
Combo seperti serangan hentakan dari udara ke darat, tumbukan dan tendangan bertubi-tubi dan banyak lagi. Malah sistem parry juga diperkenalkan dalam Sonic Frontiers.
Ini kerana setiap musuh mempunyai paten serangan yang berlainan dan mereka lemah terhadap salah satu dari combo-combo tersebut.
Combo-combo serangan boleh di-unlock menggunakan points yang pemain kumpul semasa bermain dalam skill tree.
Sonic juga boleh kembali dalam dunia Cyber Space. Di sini Sonic akan dibawa ke map stages yang peminat Sonic mungkin pernah ingat dalam game-game Sonic dulu. Pemain boleh lengkapkan stages ini dengan secepat mungkin dan dalam masa yang sama dapat reward kunci. Kunci ini penting bagi pemain untuk progress ke main story.
Terdapat juga mini game fishing jika korang berminat. Tapi bagi saya ini mini game yang saya kurang gemar kerana saya bermain game Sonic untuk berlari pantas.
Ada dua isu yang saya mahu cakapkan iaitu pertama, masalah pergerakan kamera semasa boss fight. Sonic akan berhadapan dengan boss-boss gergasi. Walaupun dari segi visual ia nampak cantik, namun pergerakan kameranya membantutkan pengalaman bermain saya.
Kameranya yang bergerak tidak tentu arah terutamanya semasa Sonic cuba panjat ke atas badan boss membuatkan mata saya agak pening melihatnya.
Kedua, gameplay Sonic Frontiers kadangkala boleh jadi repetitive apabila pemain hanya fokus menggumpulkan rings dan unlock kawasan baru serta mencari memory tokens.
Nasib baiklah combatnya sedikit sebanyak tidak membosankan.
Grafik Biasa-Biasa
Saya boleh katakan grafik dalam Sonic Frontiers adalah biasa sahaja. Tiadalah yang bombastic namun masih ada cantiknya di beberapa bahagian. Malah, animasi semasa cutscenes juga nampak biasa saja.
Tapi disebabkan ceritanya yang menarik, visual yang disampaikan sedikit sebanyak menutup kelemahan yang ada pada grafik Sonic Frontiers.
Namun ada isu lain yang timbul, frame rate drop yang kadangkala berlaku semasa permainan dan gangguan perubahan warna sedikit sebanyak mencacatkan permainan.
Muzik Best
Best. Itu saja yang saya boleh katakan untuk muzik dalam Sonic Frontiers. Dari rentak tenang, rentak dance music sehinggalah ke rentak rock. Pelbagai jenis kombinasi genre muzik dimasukkan ke dalam game ini.
Saya masih tak dapat lupakan lagu bertajuk Undefeatable dan Find Your Flame. Membuatkan Sonic nampak lebih edgy dan lebih cool.
Keputusan – BOLEH BELI or BOLEH BLAH!?
Walaupun Sonic Frontiers tidak membawakan wow factor atau pembaharuan ke dalam game Sonic. Namun, jika korang peminat tegar Sonic, korang mungkin akan suka game ni kerana ada beberapa penambahan baik daripada game-game lepas. Pastinya BOLEH BELI untuk korang.
Walau bagaimanapun, bagi korang yang nakkan sesuatu yang baharu dalam game Sonic, korang mungkin akan kecewa. Pastinya BOLEH BLAH untuk korang.
+ Plot yang menarik dan misteri
+ Koleksi muzik mantap
+ Pergerakan dan combat gameplay Sonic yang lancar dan laju
– Grafik biasa
– Pergerakan kamera yang tidak tentu arah semasa boss fight
– Frame rate drop dan gangguan perubahan warna
Comments
Loading…