CD Projekt Red telah mengeluarkan satu kenyataan yang cukup menggemparkan.
CDPR mendedahkan yang mereka kini menjadi mangsa serangan siber, mengakibatkan sistem dalaman mereka telah berjaya digodam oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Sejumlah data telah dicuri oleh penggodam, serta telah meninggalkan nota tuntutan tebusan. Nota tersebut telah dikongsikan sendiri oleh CDPR.
Penggodam ini telah mendakwa yang mereka berjaya mendapatkan kod sumber untuk Cyberpunk 2077, The Witcher 3, Gwent dan The Witcher 3 dalam versi yang belum pernah dilancarkan sebelum ini.
Penggodam turut mengatakan yang mereka kini memiliki dokumen yang berkaitan perakaunan, pentadbiran, undang-undang, sumber manusia, hubungan pelabur dan banyak lagi.
Mereka mengugut CDPR sekiranya tiada kata sepakat dicapai, kod-kod sumber itu akan dijual atau dimuat-naik secara atas talian, serta dokumen-dokumen itu pula akan dihantar kepada beberapa pihak dalam kewartawanan gaming. Malah mereka turut menakut-nakutkan CDPR dengan mengatakan reputasi mereka akan bertambah teruk, pelabur-pelabur akan lari apabila umum mendapat tahu bagaimana syarikat itu beroperasi.
CDPR dalam kenyataan itu menegaskan yang mereka tidak akan menuruti sama sekali segala tuntutan penggodam ini. CDPR akui sedar tentang kemungkinan segala data dan dokumen akan tertiris, dan sedang berusaha untuk mengurangkan kesan buruk yang bakal ditimpa.
CDPR turut mengesahkan yang mereka sudahpun menghubungi pihak berkuasa yang berkaitan, pakar-pakar forensik teknologi maklumat (IT) dan sedang menyiasat sepenuhnya insiden ini.
Semoga segala kejadian buruk yang tidak diingini dapat dielakkan.
Comments
Loading…