in , , , ,

Siri Obi-Wan Kenobi Mungkin Ada Hubung Kait Dengan Star Wars Jedi: Fallen Order

Ewan McGregor mungkin telah mengacah terdapat perkaitan plot antara siri televisyen Obi-Wan Kenobi dengan game Star Wars Jedi: Fallen Order.

McGregor telah mempromosikan siri akan datang Disney+ itu dengan bertemu bual dalam rancangan Jimmy Kimmel Live. Antara soalan yang diajukan adalah bagaimana beliau memberikan reaksi terhadap sebilangan besar peminat yang lebih mengetahui tentang selok belok Star Wars berbanding dirinya sendiri.

McGregor menjawab dengan memuji pengarahnya Deborah Chow kerana beliaulah yang lebih arif tentang universe Star Wars. McGregor menyebutkan tentang bagaimana penceritaan Star Wars kini bukan sahaja disajikan dalam bentuk filem, tetapi juga “rancangan tv, game komputer, komik dan novel.”

“Beliau [Chow] sangat arif tentang pelbagai media yang ada dalam universe Star Wars,” ujar McGregor.

“Dan semua jalan cerita ini harus berkait.. Kamu tidak boleh ada beberapa fakta dalam video game yang tak sepadan dengan filem,” sambung McGregor.

McGregor tidaklah secara spesifik menyebutkan tentang perkaitan siri Obi-Wan Kenobi dengan Jedi: Fallen Order, namun seperti yang kita tahu, Jedi: Fallen Order merupakan satu-satunya game story AAA yang mempunyai perkaitan yang begitu besar dalam canon Star Wars pasca pembelian Disney.

Ya, kita ada juga story dalam Battlefront II dan Star Wars: Squadron, namun ia tidaklah sepenting jalan cerita yang ada dalam Jedi: Fallen Order.

Ramai peminat Star Wars, terutamanya pemain Jedi: Fallen Order benar-benar ingin menyaksikan Cal Kestis muncul secara live-action dalam siri Kenobi ini. Kemunculan Kestis sememangnya amat logik kerana ia menggunakan timeline yang sangat hampir dalam Jedi: Fallen Order.

Apatah lagi, game seterusnya dalam francais Star Wars Jedi (belum diumumkan sama ada sekuel atau spin-off) sudahpun disahkan berada dalam pembangunan. Maka, mengaitkan game pertamanya dengan game keduanya kelak melalui perantaraaan dengan siri Kenobi pastinya akan menjadi amat menarik.

Lebih menarik, di hujung temu bual McGregor dalam Jimmy Kimmel Live itu, beliau juga sempat menceritakan sedikit apa yang sedang berlaku kepada karakternya dalam siri ini. McGregor menyebutkan tentang selepas runtuhnya Jedi Order, “semua Jedi” yang tidak dihapuskan dalam Order 66 kini sedang bersembunyi.

“Semua Jedi”? Ada Jedi lain yang sudah McGregor temui, atau berlakon sama dalam siri Kenobi? Mungkinkah Cal Kestis?

Apa-apa pun, segala spekulasi ini bakal terjawab pada 27 Mei ini apabila siri Obi-Wan Kenobi mula ditayangkan di Disney+ dengan dua episod premier sekaligus.

Written by Faiz Tobeng

Abang ini berpersonaliti jiwang di luar dan berjiwa pahlawan di online gaming. Casual gamers yang juga peminat tegar Battlefield series & PES (tapi sekarang dah berpaling tadah ke FIFA).

Comments

JomKomen!

Loading…

0

Microsoft Dilaporkan Akan Lancarkan Peranti Xbox Khas Untuk Game Streaming Sahaja

EA Sedang Bangunkan Game Mobile The Lord of the Rings: Heroes of Middle-earth, Sesi Beta Bermula Tahun Ini