Apex Legends tersangatlah popular pada waktu ini, sehinggakan judul game yang kedengaran hampir sama dengannya terkena tempiasnya.

Apex Construct merupakan sebuah game shooter dalam pandangan VR, keluaran Fast Travel Games yang dilancarkan pada Mac 2018. Game ini boleh dibeli dengan harga RM51 di Steam. Selain di Steam, Apex Construct juga dilancarkan ke PlayStation VR.

Apa yang melucukan pada ketika ini ialah ramai gamers di Steam, terutamanya pemain di China, terkeliru antara Apex Legends dengan Apex Construct. Hal ini didedahkan sendiri oleh pengurus komunikasi Fast Travel Games di Reddit, yang mana laman Apex Construct di Steam telah mendapat peningkatan pelawat lebih daripada 4,000% sejak Apex Legends dilancarkan.

Malah, jumlah jualan Apex Construct berjaya diperoleh lebih tinggi dalam masa tujuh hari lepas berbanding keseluruhan jualan mereka sepanjang 2018. Ia sangat lucu apabila gamers sanggup membeli sebuah game, yang sepatutnya mereka boleh mainkan Apex Legends secara percuma (menganggap bahawa kebanyakan pembeli sebenarnya mahu bermain Apex Legends, bukan Apex Construct).

Apatah lagi apabila Apex Legends merupakan sebuah game eksklusif (untuk PC) yang hanya boleh didapatkan dari Origin, bukan di Steam.

Walau bagaimanapun, di sebalik kisah lucu ini, ada kisah duka juga yang terjadi kepada game ini. Mereka menerima banyak reviu negatif daripada para pembeli di laman Steam, terutamanya dari China, yang “tertipu” dengan game ini yang mereka sangkakan Apex Legends.

Jadi, peringatan kepada gamers PC di luar sana, kalau nak mainkan Apex Legends, game battle royale percuma keluaran Respwan Entertainment, boleh dapatkannya di Origin. Manakala, kalau nak main game shooter VR keluaran Fast Travel Games, boleh belinya di Steam.

JomKomen!