Seorang kanak-kanak dari Kanada kini dalam satu misi yang paling bermakna dalam hidupnya. Beliau yang dikenali sebagai Zyl kini dalam usaha untuk mengumpul dana bagi membiayai rawatan kanser yang dihidapi oleh bapanya.

Sejak lima hari yang lalu, Zyl telah mengadakan livestream Fortnite di Twitch. Beliau mengadakan livestream selama 10 jam sehari untuk mengisi tabungnya — misinya ialah untuk kumpulkan wang sebanyak USD8,000, dan beliau kini sudahpun berjaya mengumpulkan USD13,000.

Bapanya dilaporkan menghidap kanser rektum di tahap keempat. Kanser itu telah merebak ke merata bahagian badannya dan doktor telah menyatakan yang peluang bapanya untuk selamat semakin tipis, walaupun tetap menjalani sesi kemoterapi. Pada ketika ini, bapanya lebih banyak meluangkan masa terbaring di atas katil kerana kurang mampu lagi untuk berjalan.

Di sebalik kenyataan sebegitu yang dikeluarkan oleh doktor, Zyl tetap teguh meneruskan usahanya untuk mengumpulkan dana, dan beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada komuniti Fortnite.

Katanya dalam satu livestream terbaru, melihat bapanya tersenyum menjadikan beliau sebagai kanak-kanak paling bahagia di dalam dunia. Kadang-kala bapanya muncul di hadapan kamera livestream Zyl, walaupun mengalami kesukaran untuk berjalan.

Channel Twitch beliau ialah twitch.tv/zyltv, dan korang boleh menyokong dan membantunya melalui Creator Code: Zyl-is-bad

Kisah Zyl tidak berakhir di situ sahaja. Zyl merupakan peminat setia pertandingan-pertandingan rasmi Fortnite yang dianjurkan Epic Games. Dua pemain Fortnite yang terkenal, Xxif dan Ronaldo, telah bersetuju untuk menaja penginapan dan penerbangan Zyl dan bapanya ke New York untuk menyaksikan World Cup Finals Fortnite.

Zyl sememangnya memberikan satu inspirasi kepada kita semua. Dalam apa jua keadaan, senipis mana harapan yang masih tinggal, jangan sesekali berputus asa untuk terus berusaha. Walau apa jua cara sekalipun, perjuangan harus diteruskan — hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

Sumber: Blastingnews, TalkEsports

JomKomen!