Setiap daripada kita pasti ada kisah yang mengikat kita dengan video game. Sama ada ia kenangan manis mahupun pahit, semestinya ada sesuatu yang boleh diceritakan tentang bagaimana video game telah mengubah hidup kita.

Dan sebuah kisah terbaru ini pasti akan membuat kita semua terasa sebak, lebih-lebih kepada para peminat siri game The Witcher.

Seorang gamer telah meletakkan sekeping papan tanda di hadapan kedutaan Poland di Washington DC, Amerika Syarikat, yang tertulis “Terima kasih Poland untuk The Witcher”. Mengapa beliau menghadiahkan penghargaan sebegitu? Kerana The Witcher 3 telah menemani beliau sepanjang pertarungannya untuk sembuh daripada penyakit kanser. Katanya:

“Saya baru-baru ini telah sembuh daripada kanser, dan Witcher 3 telah banyak membantu sepanjang rawatan kemoterapi, pembedahan, lain-lain, dan saya tinggal beberapa blok dari kedutaan, jadi saya membuat keputusan untuk memberikan sedikit penghargaan.”

Kisah ini diceritakan beliau sendiri di Reddit, dan ramai telah memberikan kata-kata semangat dan ucapan tahniah kepada beliau. Korang boleh bacanya di pautan ini.

Penghargaan ini turut mendapat perhatian, dan dimuatnaik di laman Twitter rasmi kedutaan Poland di Amerika Syarikat.

Sekiranya korang tidak tahu, siri game The Witcher dibangunkan oleh CD Projekt Red, sebuah studio pembangun dari Poland yang dahulunya sebuah studio yang kecil sahaja, sehinggalah mereka mencipta nama melalui The Witcher 3 sehingga mewujudkan satu fenomena global.

Siri game ini diadaptasi dari novel The Witcher tulisan Andrzej Sapkowski, penulis terkenal yang juga berasal dari Poland. Makanya, jenama The Witcher ini merupakan ikon kepada negara Poland.

Malah, The Witcher juga akan diadaptasi ke siri TV pula, yang mana ia akan ditayangkan di Netflix pada akhir tahun ini.

JomBaca: Saksikan Trailer Acah Pertama Siri TV The Witcher Untuk Netflix, Kelihatan Cukup Baik!

Video game The Witcher 3: Wild Hunt boleh dimainkan kini di PC, PS4 dan Xbox One, serta bakal keluar ke Nintendo Switch pula pada 15 Oktober ini.

JomBaca: Pengalaman Habiskan The Witcher 3 Dari Kacamata Seorang Yang Tak Suka Main Game RPG

JomKomen!