Apakah perkara terakhir korang akan lakukan apabila tahu yang tidak lama lagi penglihatan mata korang akan hilang?
Seorang gamer, u/ryddyt telah menaikkan satu post di r/reddeadredemption, menceritakan tentang dirinya yang mampu membuat kita semua menitiskan air mata.
Beliau bakal kehilangan penglihatannya tidak lama lagi, disebabkan satu penyakit mata yang semakin merosot yang dihadapinya. Dan beliau telah memutuskan untuk bermain, dan baru sahaja menamatkan, Red Dead Redemption 2 sebagai video game terakhir yang beliau mainkan dalam hidup, sebelum pandangannya menggelap buat selamanya.
Dalam post di Reddit itu, beliau berkongsikan bagaimana sepanjang hidupnya beliau bermain bermacam jenis game — pelbagai genre di pelbagai platform — sehinggalah kepada game terakhirnya, Red Dead Redemption 2 yang disifatkannya sebagai antara game terbaik sepanjang zaman.
“Video game telah menjadi sebahagian daripada hidup saya sejak berumur 6 tahun dan ayah saya pernah bawa pulang Nintendo 64 dan kami sekeluarga luangkan masa sepanjang malam bermain Super Mario 64. Saya ada Xbox, Xbox 360, PS4, dan Xbox One dan ia merupakan satu perjalanan yang mengagumkan yang telah membawa saya ke dunia Halo, Gears of War, The Last Of Us, Grand Theft Auto, Bioshock, Portal, Elder Srolls, Fallout, dan banyak lagi.”
“Saya sangat sayangkan video game dan akan sentiasa sayangkannya, ia amat bermakna kepada saya sehinggakan saya terpaksa mengakhiri perjalanan gaming saya dengan memainkan antara game terbaik sepanjang zaman [Red Dead Redemption 2].”
“Terima kasih Rockstar, kalian telah ciptakan satu game yang hebat dan ia akan sentiasa mendapat tempat yang istimewa dalam hati saya.”
Beliau mengatakan yang beliau akan menikmati dan menjelajah dalam game itu untuk beberapa minggu lagi sebelum menjual Xbox miliknya itu dan “berpindah kepada sesuatu yang baru dan mengujakan”. Begitulah kuatnya semangat yang ditonjolkan gamer ini — di sebalik bakal kehilangan satu nikmat yang cukup berharga, beliau masih boleh mengatakan yang kehilangan penglihatan adalah “sesuatu yang mengujakan”.
Melalui semakan kami terhadap profile Reddit beliau, beliau cukup aktif dalam mengadukan masalah yang dihadapi sebagai seseorang yang mempunyai masalah penglihatan di subreddit-subreddit yang lain. Antaranya seperti bagaimana sukarnya untuk mendapat karier yang beliau idamkan serta beberapa diskriminasi yang terpaksa ditempuhi dari kalangan masyarakat.
Lebih menyayat hati apabila ada satu post yang beliau naikkan di r/SuicideWatch pada tahun lalu, beliau seolah-olah sudah putus asa untuk meneruskan kehidupan lagi, merasa penat dengan layanan yang beliau sering terima.
Pembacaan di bawah mengandungi spoiler besar untuk penamat Red Dead Redemption 2. Jangan teruskan kalau korang masih belum habis mainkan game ini.
Bagi korang sudah habiskan Red Dead Redemption 2, pasti merasakan perkongsikan yang dibuat oleh u/ryddyt ini begitu menyakitkan. Menamatkan RDR2, di mana Arthur Morgan mati dalam keadaan yang penuh meruntun jiwa, mati disebabkan penyakit tuberculosis. Mengetahui pula yang ia adalah game terakhir yang beliau mainkan dalam hidup– oh sukar untuk digambarkan betapa sayunya hati ini.
Penamat kisah dalam RDR2 sememangnya sesuatu yang benar-benar bermakna. Dalam review JomGaming, penulis mengatakan yang RDR2 menyajikan satu kisah yang memberikan kesan paling mendalam dalam mana-mana game yang pernah penulis mainkan.
Begitulah kehidupan. Kita semua harus jadikan kisah u/ryddyt ini sebagai satu perjalanan hidup yang harus kita nikmati. Setiap nikmat yang masih mampu kita genggam mesti dihargai dengan penuh rasa kesyukuran — sebelum ia dikembalikan semula kepada Tuhan.
Gaming itu indah, gaming itu kehidupan.