in , , , , ,

Semua Tentang The Witcher Yang Diumumkan Di WitcherCon – Musim 2 Netflix, Filem Anime, DLC Witcher 3, Komik, Banyak Lagi

Seperti dijanjikan, melalui kerjasama antara Netflix dan CD Projekt Red, acara WitcherCon telah diadakan, membawakan bermacam pengumuman baharu merentasi siri televisyen, video game, filem anime, komik, figura dan banyak lagi.

Sekiranya korang terlepas dua sesi siaran langsung awal pagi tadi, kami akan kumpulkan segala yang didedahkan dalam artikel ini. Jom kita tengok.

Musim 2 Siri Netflix

Henry Cavill, Anya Chalotra, Freya Allan dan lain-lain bakal kembali dalam musim kedua siri Netflix, dan teaser trailer pertama telah diperlihatkan, berdurasi sekitar 2 minit.

Fokus trailer memaparkan bagaimana Geralt membawa Ciri untuk berlindung, seterusnya memulakan latihan sebagai Witcher di Kaer Morhen.

Bersama-sama dengan trailer, tarikh tayangan juga telah didedahkan, iaitu musim kedua The Witcher akan dikeluarkan pada 17 Disember 2021 di Netflix.

Bukan itu sahaja, Netflix juga telah mendedahkan tajuk untuk episod-episod yang ada dalam musim kedua ini. Musim baharu ini akan menyajikan lapan episod — tujuh daripadanya sudah didedahkan tajuknya. Tajuk episod terakhir walau bagaimanapun masih dirahsiakan, kemungkinan besar akan memberikan spoiler besar kepada penonton.

Berikut ialah tajuk untuk episod yang sudah didedahkan:

  • Episod 1 – A Grain of Truth
  • Episod 2 – Kaer Morhen
  • Episod 3 – What Is Lost
  • Episod 4 – Redanian Intelligence
  • Episod 5 – Turn Your Back
  • Episod 6 – Dear Friend
  • Episod 7 – Voleth Meir
  • Episod 8 – [BELUM DIDEDAHKAN]

DLC The Witcher 3

Satu lagi berita terbesar dalam WitcherCon yang julung kali diadakan ini adalah pengumuman oleh CD Projekt Red tentang DLC percuma yang akan ditambah ke dalam game The Witcher 3: Wild Hunt — kandungan tambahan yang berinspirasikan daripada dunia Witcher yang dicipta Netflix.

Mereka turut memperlihatkan cover art untuk versi generasi terkini yang akan dilancarkan untuk PS5, Xbox Series dan PC pada tahun ini. Namun tarikh tepat pelancaran masih belum didedahkan.

Jangan bimbang, DLC inspirasi daripada The Witcher Netflix itu bukan sahaja akan dilancarkan untuk konsol generasi terkini, tapi akan turut dilancarkan secara percuma ke semua platform sedia ada.

CDPR akan berkongsi lanjut tentang DLC ini dalam masa terdekat nanti.

The Witcher: Nightmare of the Wolf

Teaser trailer pertama filem anime yang akan ditayangkan di Netflix, The Witcher: Nightmare of the Wolf telah diperlihatkan, serta turut mengumumkan tarikh pelancarannya.

The Witcher: Nightmare of the Wolf akan mula distrim di Netflix pada 23 Ogos 2021.

The Witcher: Nightmare of the Wolf dilaporkan akan berdurasi selama 1 jam 21 minit.

Apa yang kita tahu setakat ini ialah ia merupakan prekuel kepada musim pertama live-action The Witcher di Netflix, yang membawakan Vesemir, mentor kepada Geralt, semasa muda sebagai hero.

Untuk filem anime ini, Netflix akan bekerjasama dengan studio terkenal dari Korea, Studio Mir — yang pernah mencipta The Legend of Korra dan Voltron: Legendary Defender.

Sinopsis yang sudah yang didedahkan ialah “Lama sebelum menjadi mentor kepada Geralt, Vesemir memulakan perjalanannya sendiri sebagai seorang Witcher selepas Deglan yang misteri menuntutnya melalui Law of Surprise.”

The Witcher Ronin

Sebuah komik berjudul The Witcher Ronin telah diumumkan, di mana ia akan membawa para peminat bersama Geralt ke dunia Jepun.

The Witcher Ronin merupakan sebuah siri penuh manga daripada CD Projekt Red, dan kempennya kini berada dalam fasa pra-pelancaran untuk pendanaan di Kickstarter. Siri ini akan menggunakan latar belakang Jepun purba, di mana Geralt akan menjejaki kisah mistik Lady of Snow Yuki Onna.

Manga ini merupakan sebuah kisah ‘Elseworld’, iaitu jalan cerita yang tiada kena mengena dengan Geralt dari game-gama terbitan CDPR. Penulisnya, Rafał Jaki ketika bercakap kepada IGN, menyatakan siri ini mengambil inspirasi daripada Superman Red Son and Batman Ninja di mana ia meletakkan satu-satu karakter ke dalam dunia yang serba baharu.

Sebagai permulaan, kempen Kickstarter ini akan menampilkan manga dengan 100 muka surat berwarna penuh; serta tiga buah kisah pendek yang setiap satunya mempunyai 15 muka surat, dari tiga artis undangan berbeza. CDPR mengatakan yang mereka tidak akan mengambil lebih 60 hari untuk membuka kempen ini sepenuhnya selepas pra-pelancaran yang bermula hari ini.

Edisi Baharu Buku

Semua ini tidak akan berlaku seperti mana hari ini sekiranya tanpa buku novel asal yang dikarang oleh Andrzej Sapkowski. WitcherCon turut mengumumkan bahawa buku pertama dalam siri The Witcher ini, ‘The Last Wish’ akan mendapat edisi baharu.

Edisi baharu ini adalah edisi kulit keras yang mempunyai illustrasi untuk setiap cerita dalam buku pertama itu yang akan dilancarkan pada Disember kelak.

Figura Geralt

Satu patung figura baharu juga telah diumumkan yang akan dipasarkan oleh Dark Horse. Apa yang menarik adalah ia merupakan figura berdasarkan Witcher dari Netflix yang dilakonkan oleh Henry Cavill.

Ia sudah boleh dipra-tempah pada harga USD49.99, dan akan dilancarkan pada Disember tahun ini.

Patung figura kedua pula adalah yang akan dibikin oleh iam8bit, kelihatan lebih seperti rekaan animasi Geralt.

Ketiga, patung figura yang dibikin oleh McFarlane Toys.

Apa pengumuman yang paling korang teruja dari acara WitcherCon yang julung kali diadakan ini? Kongsikannya di ruangan komen.

Written by Faiz Tobeng

Abang ini berpersonaliti jiwang di luar dan berjiwa pahlawan di online gaming. Casual gamers yang juga peminat tegar Battlefield series & PES (tapi sekarang dah berpaling tadah ke FIFA).

Comments

JomKomen!

Loading…

0

Trailer Baharu Sifu Paparkan Bagaimana Karakter Jadi Semakin Tua, Ditunda Ke 2022

Kylian Mbappe Kembali Sebagai Bintang Muka Depan FIFA 22, Trailer Pertama Pada 11 Julai