in , , , ,

Semua 10 Unsur Dan Budaya Malaysia Yang Dibawa Masuk Dalam No Straight Roads

Malaysia sememangnya mempunyai ramai insan yang terlibat dalam industri pembangunan video game, sama ada yang mencipta nama di luar negara atau melebarkan sayapnya dari dalam negara ini. Antara yang sering meniti di bibir para peminat video game ialah Wan Hazmer Wan Abd Halim dan Daim Dziauddin.

Setelah bertahun menimba ilmu di bawah Square Enix, yang mana projek terakhir di Jepun adalah sebagai ketua pereka Final Fantasy XV, Wan Hazmer kembali ke tanah air untuk mencurah bakti dalam industri gaming tempatan. Bersama-sama dengan Daim Dziauddin, bekas artis konsep Street Fighter V, juga sepupunya, mereka telah mengasaskan Metronomik, sebuah studio pembangunan game tempatan yang berpangkalan di Kuala Lumpur.

Game pertama Metronomik — No Straight Roads. Sebagai sebuah game buatan Malaysia, pastinya Metronomik mempunyai misinya untuk memperkenalkan Malaysia ke mata dunia melalui elemen-elemen yang cukup sinonim dengan masyarakat Malaysia.

Malah, kalau korang masih ingat, Final Fantasy XV turut menampilkan makanan-makanan kegemaran rakyat Malaysia seperti roti canai, nasi ayam dan satay — terima kasih kepada Wan Hazmer.

10 Elemen Malaysia Yang Kami Temui Dalam No Straight Roads
Roti canai dalam Final Fantasy XV.

Maka, dalam artikel kali ini, JomGaming akan menyenaraikan semua elemen Malaysia yang kami temui dalam No Straight Roads.

1. Bahasa Malaysia

No Straight Roads: Boleh Beli or Boleh Blah!?

Sudah tentunya, unsur yang paling menyerlah dan yang pertama sekali kita temui ketika membuka game ini ialah pilihan teks dalam Bahasa Malaysia. No Straight Roads turut menampilkan Bahasa Malaysia sebagai salah satu bahasa teks, seperti yang telah kami laporkan sebelum ini. Apabila memilih Bahasa Malaysia, UI, tips dan tutorial serta sarikata akan disajikan dalam bahasa kebangsaan.

Walaupun sedikit kecewa apabila lakonan suara hanya disajikan dalam empat bahasa iaitu Inggeris, Perancis, Sepanyol dan Jepun — mungkin game Metronomik seterusnya akan menampilkan lakonan suara dalam bahasa kebangsaan? Sama-sama kita doakan.

2. Adoi, Opocot

Seperti kebiasaan game aksi, pastinya akan ada baris dialog yang dirakam untuk digunakan ketika karakter yang sedang dikawal terkena damage. Antara dialog yang diungkapkan Mayday dan Zuke untuk menzahirkan rasa sakit apabila musuh menyerang ialah “adoi” dan “opocot”.

3. Lah

Kami bermain No Straight Roads dari awal hingga tamat menggunakan lakonan suara berbahasa Inggeris. Seperti yang kami sebutkan dalam reviu, dialog yang disajikan dalam game ini adalah bersifat santai. Maka, ada sesetengah dialog dalam game ini yang menyelitkan perkataan “lah” di hujung ayat, sama seperti percakapan seharian kita masyarakat Malaysia.

4. Warung Makan

No Straight Roads: Boleh Beli or Boleh Blah!?

Antara bangunan terawal yang ditemui dalam game ini ialah sebuah kedai makan kecil yang sememangnya direka seperti warung-warung yang ada di Malaysia. Rekaan dalaman kedai, kerusi-kerusi plastik merah yang tiada tempat sandar itu, meja makan, serta payung — segalanya menampakkan warung-warung kecil tempatan yang dibawa masuk ke dalam No Straight Roads.

Malah, ketika bercakap dengan tuan kedai, karakter tersebut menyebutkan salah satu menu yang ada ialah “Roti Junction”.

5. Qwasas

No Straight Roads: Boleh Beli or Boleh Blah!?

Salah satu misi Bunk Bed Junction yang terdiri daripada Mayday dan Zuke ialah untuk menghidupkan tenaga elektrik di seluruh Vinyl City. Di bandar fiksyen ini, tenaga yang digunakan untuk menjana elektrik digelar “Qwasas”, iaitu “kuasa” yang dieja dengan lebih hipster.

6. Akusuka

No Straight Roads: Boleh Beli or Boleh Blah!?

Setiap bos musuh dalam No Straight Roads mempunyai daerahnya yang sendiri. Untuk Sayu, daerahnya diberi nama Akusuka. Ini memang terang-teranglah, aku suka. Malah, di daerah ini terdapat banyak tempat yang banyak diberi nama “suka” seperti Suka Pop Centre, Sukadenki, Akusuka 108, Akusuka Dome.

7. Kura-Kura

Karakter Sayu mempunyai banyak elemen Malaysia. Ketika Bunk Bed Junction ingin menyerang konsert Sayu, venue yang sedang digunakan Sayu untuk mengadakan konsert itu ialah Kura Kura Stream Hub. Ya, kura-kura.

8. LukisanArt

No Straight Roads: Boleh Beli or Boleh Blah!?

Ya, masih lagi tentang Sayu. Dalam game ini, karakter Sayu ini kononnya bukanlah manusia sebenar, tapi sebenarnya ikon muzik yang wataknya direka secara digital oleh empat anak muda iaitu Remi, Tila, Dodo dan Sofa.

Sayu mempunyai satu laman web yang diberi nama “LukisanArt”. Seperti tertera dengan jelas, mereka menggunakan “lukisan”, dan menurut Wiki Fandom, LukisanArt adalah rujukan secara langsung kepada laman DevianArt, sebuah laman sosial popular untuk para pelukis seluruh dunia memuatnaik hasil seni mereka.

9. Buaya

Semua 10 Unsur Dan Budaya Malaysia Yang Dibawa Masuk Dalam No Straight Roads

Ini mungkin kedengaran agak pelik tapi di dalam rumah bawah tanah mereka atau markas Bund Bed Junction, Zuke ada memelihara buaya, yang diberi nama Ellie-Gator. Ya, pelihara buaya di pembetung bawah tanah., tak ke aneh?

Kami merasakan ini adalah rujukan kepada berita pada tahun 2016 yang terlihat seekor buaya muncul di bawah jambatan di Melaka.

10. DK West

Ya, sengaja kami letakkan DK West di akhir artikel kerana karakter ini merupakan hasil karya dalam game ini yang paling banyak unsur dan budaya Malaysia.

Pertama sekali, sudah tentu nama karakter ini memiliki unsur Malaysia, dengan sedikit twist untuk tatapan pemain global. Kalau ada yang masih tak perasan, “DK” ialah “dikir” dan “West” pula ialah “barat” — maka “DK West” sebenarnya mengambil inspirasi daripada dikir barat, satu persembahan tradisional yang menggunakan dialek Kelantan.

Mungkin persembahan yang dilakukan oleh DK West tidaklah 100% dikir barat, namun kita boleh nampak yang ada inspirasi kuat daripadanya. Dikir barat adalah satu persembahan yang seakan berlawan-lawan pantun oleh Tukang Karut dan diikut sama oleh awak-awak yang ramai sebagai suara latar. Dalam No Straight Roads, DK West menggunakan persembahan rap, yang boleh dikatakan percakapan laju seperti dikir barat, serta diikuti oleh suara latar penyanyi lain dengan lagu dan muzik yang catchy.

No Straight Roads: Boleh Beli or Boleh Blah!?

Walau apa jua bahasa lakonan suara yang dipilih oleh pemain (4 bahasa lakonan suara yang disebut di atas), DK West akan tetap berbahasa Malaysia dengan percakapan pasar seperti orang-orang bandar. Ya, DK West ialah satu-satunya karakter dalam No Straight Roads yang berbahasa Malaysia sepenuhnya, walaupun ketika berbual dengan karakter lain yang berbahasa lain, DK West tetap akan menjawabnya dalam bahasa Malaysia.

Selain itu, rekaan karakter DK West juga dipenuhi dengan budaya Malaysia, khususnya Kelantan. Karakter ini memakai tanjak, ada inai di tangan, dan motif-motif wayang kulit.

No Straight Roads: Boleh Beli or Boleh Blah!?

DK West adalah sangat unik, bukan sahaja kerana rekaan karakternya, malah dari segi gameplay. DK West bukanlah bos yang diletakkan dalam jalan cerita utamanya. Sebaliknya, DK West adalah bos sampingan yang diberi pilihan sama ada ingin menghabiskan misi ini ataupun tidak, serta gameplay yang disajikan juga bukanlah aksi seperti melawan bos-bos lain, tetapi rhythm game sepenuhnya.

Dalam satu kenyataan (video di bawah), Wan Hazmer mengatakan yang gameplay rhythm sepenuhnya yang ditampilkan untuk karakter ini sahaja adalah misinya untuk memperkenalkan genre ini ke audiens yang lebih ramai kerana beliau sendiri penggemar genre rhythm.

Inilah unsur dan budaya Malaysia yang kami temui dalam No Straight Roads. Kalau ada elemen-elemen lain yang kami terlepas pandang, korang boleh sebutkannya di ruangan komen.

JomGaming ingin mengucapkan tahniah kepada Metronomik atas kejayaan cahaya mata mereka pertama ini kerana dalam masa sehari pelancaran sahaja, No Straight Roads sudah berjaya menjana keuntungan. Semoga kalian terus mara ke hadapan dalam industri video game, dan kami berharap agar game seterusnya daripada Metronomik akan memasukkan lebih banyak unsur dan budaya Malaysia.

Bagi sesiapa yang masih belum dapatkan No Straight Roads, pergi dapatkannya sekarang kerana pasti korang akan berbangga apabila bermain game tempatan yang meniti di bibir gamer seluruh dunia.

No Straight Roads kini boleh dimainkan di PC (Epic Games Store), PS4, Xbox One dan Switch.

No Straight Roads: Boleh Beli or Boleh Blah!?

Written by Faiz Tobeng

Abang Youtuber ini berpersonaliti jiwang di luar dan berjiwa pahlawan di online gaming. Casual gamers yang juga peminat tegar Battlefield series & PES.

Comments

JomKomen!

Loading…

0
Prince of Persia Remake Dilaporkan Akan Diumumkan Semasa Ubisoft Forward

Prince of Persia Remake Dilaporkan Akan Diumumkan Semasa Ubisoft Forward

Antara Bonus Pra-Tempah Cyberpunk 2077 - Korang Dapat 8 Lencana Berjahit Termasuk 7 Logo Gang

Cyberpunk 2077 Takkan Naikkan Harga Untuk Versi PS5 Dan Xbox Series X