Tahun ini, genaplah lima tahun P.T dikeluarkan — iaitu “Playable Teaser” untuk game Silent Hill yang pada ketika itu sedang dibangunkan oleh pasukan yang diketuai Hideo Kojima dan Guillermo Del Toro.

P.T. diakui ramai pemain sebagai game seram paling menakutkan pernah dihasilkan. Setelah berjalan-jalan di dalam rumah yang cukup menyeramkan, berulang-alik serta keluar masuk dari satu ke bilik ke satu bilik, kita dikejutkan dengan hantu yang diberi nama Lisa pada akhir demo tersebut. Jumpscare ini telah berjaya membuatkan ramai pemain, termasuk penulis sendiri, tercampak controller kerana terkejut.

Kita pun tahu apa jadi selepas itu, iaitu ia telahpun ditarik balik dari PlayStation Store setelah Konami mengumumkan pembatalan game tersebut. Berita itu cukup menyedihkan.

Walau bagaimanapun, lima tahun selepas pengenalan demo tersebut, para peminat masih lagi melakukan datamining terhadap game ini, dan terbaru, satu rahsia yang cukup menyeramkan telah berjaya dibongkar.

Seorang dataminer, Lance McDonald, telah menemui bahawa selama ini, Lisa sebenarnya sentiasa berada di belakang para pemain. Kalau korang masih ingat bermain demo ini, suara seorang wanita sering kedengaran di belakang pemain, malah kadang-kala ternampak bayang-bayang aneh di dinding, namun apabila toleh ke belakang (pandangan first-person), tiada apa yang kelihatan. Maka, kita hanya menganggap ia hanyalah suara yang bermain dalam minda sahaja.

Dataminer tersebut telah melakukan mod terhadap P.T. yang mana ia boleh memusingkan kamera tanpa membuatkan karakter pemain itu menoleh secara fizikal ke belakang. Maka ternampaklah kita semua bahawa Lisa sememangnya benar-benar berada di belakang pemain — sentiasa membisikkan sesuatu ke telinga.

Korang boleh saksikannya sendiri di bawah:

Mengetahui pembongkaran ini membuatkan kita bertambah kecewa kerana demo sahaja sudah mampu mewujudkan satu keseraman yang luar biasa walaupun sudah lima tahun dikeluarkan — bayangkan sekiranya Konami tidak membatalkan game ini. Tahap seram yang macam mana mampu disajikan? Satu persoalan yang takkan terjawab.

JomKomen!