Tahun lalu, Electronic Arts (EA) dilaporkan telah membatalkan sebuah lagi game Star Wars, iaitu satu game spin-off kepada siri Battlefront. Pembatalan yang terbaharu ini menjadikan EA telah membatalkan tiga game Star Wars sejak 2017.
Laporan ini hadir daripada Kotaku, yang mana menurut laman web itu, mereka telah diberitahu oleh enam orang staf dari dalam EA tentang hal ini. Kesemua sumber mereka ini tidak mahu dikenali kerana mereka tidak sepatutnya menyebutkan perkara ini kepada media.
Game terbaharu yang dibatalkan EA ini pernah menggunakan kod nama “Viking”. Ia dirancang untuk dilancarkan pada tahun 2020, bersama-sama dengan konsol generasi seterusnya. Walau bagaimanapun, disebabkan waktu pelancaran yang tidak realistik untuk disiapkan, mereka telah membatalkannya.
Menurut Kotaku lagi, “Viking” ini dikatakan sebagai sebuah game spin-off siri Battlefront yang membawakan elemen open-world. Projek ini merupakan kerjasama antara studio EA Vancouver yang berpangkalan di Kanada dan Criterion yang berpangkalan di England. Antara faktor game ini mengambil masa yang lama untuk dibangunkan ialah kerana kedua-dua studio ini terlalu jauh lokasinya, serta terlalu ramai “kepala” yang ingin mengetuainya.
Melihat game ini yang tidak mampu untuk disiapkan dalam masa setahun setengah, EA tidak berminat untuk melanjutkan tempoh pembangunan, maka, ia telah dibatalkan.
Namun, sumber mereka mengesahkan bahawa pada waktu ini, EA memiliki dua game Star Wars yang sedang aktif dalam pembangunan — iaitu sekuel kepada Jedi Fallen Order yang dibangunkan Respawn Entertainment, serta sebuah lagi projek lebih kecil yang lain daripada lain oleh EA Motive.
Terlalu banyak nampaknya game Star Wars diberikan (serta dibatalkan) oleh EA. Melalui kenyataan terbaharu Disney baru-baru ini, pastinya kita berharap agar Disney memberikan lesen untuk membangunkan game-game Star Wars kepada studio-studio lain pula selain EA.
Comments
Loading…