in , , , ,

Ruined King: A League Of Legends Story: Boleh Beli or Boleh Blah!?

Percepatkan pusingan untuk serangan kecil atau korbankan beberapa pusingan untuk serangan besar? Pilihan di tangan pemain.

Ruined King: A League of Legends Story merupakan sebuah game turn-based role playing yang dihasilkan oleh Airship Syndicate dan diterbitkan oleh Riot Games dan Riot Forge. Dilancarkan untuk platform PlayStation 4, Xbox One, Nintendo Switch dan PC.

Plot

Ruined King: A League of Legends Story mengisahkan tentang sebuah bandar yang dipenuhi dengan para lanun iaitu Bilgewater yang terletak dalam wilayah Shadow Isles. Wilayah itu dahulunya pernah diserang oleh kuasa jahat bernama Black Mist yang telah meragut banyak nyawa.

Namun, Sarah Fortune bersama dengan konco-koncoya berjaya mematahkan serangan Black Mist ke arah kegagalan. Selepas beberapa tahun, Black Mist kembali mengganas dan Sarah Fortune ditugaskan kembali untuk mencari dalang yang membawa kembali kuasa jahat tersebut.

Bagi mereka yang asing dengan dunia lore League of Legends, mereka mungkin akan mengambil masa untuk mengenali dunia Bilgewater dan karakter-karakter yang terlibat. Pada awal permainan, game ini akan memperkenalkan setiap watak atau champions yang ada yang mungkin akan menjadi asing kepada pemain baharu.

Namun, apabila cerita mula bergerak dengan lebih jauh. Interaksi antara setiap karakter dapat membantu pemain untuk mengenali mereka serta dunia mereka. Secara keseluruhan, jalan ceritanya menarik tapi permulaannya perlahan namun kembali mendapatkan rentaknya pada pertengahan dan penghujung.

Gameplay

Game ini berada dalam kategori turn-based role playing di mana ia menggabungkan pertempuran strategi dan eksplorasi. Pemain boleh menjelajah ke kawasan-kawasan di Bilgewater untuk mencari chests, mencari nota, interaksi dengan NPC, memancing dan menjual atau membeli barang. Terdapat juga side quests dan bounty hunter yang menawarkan item berharga kepada pemain.

Pemain boleh membawa 3 karakter atau champions dalam satu parti. Setiap karakter mempunyai peranan dan skill masing-masing seperti Braum boleh memberikan perisai kepada pasukan, Yasuo bertindak sebagai damage dealer dan illaoi sebagai healer. Terdapat beberapa lagi karakter yang akan turut menyertai pemain.

Apabila berada dalam mode pertempuran, sistem turn-based akan dimulakan dengan serangan mengikut pusingan karakter-karakter tertentu. Pemain boleh lancarkan serangan biasa, tingkatkan pertahanan atau guna skill tertentu yang memerlukan kos Mana. Setiap skill mempunyai kos Mana yang berbeza dan pemain boleh dapatkan semula Mana dengan lakukan serangan biasa.

Namun, apa yang membuatkan Ruined King: A League of Legends Story menarik ialah sistem lanes. Sekiranya pemain menggunakan skill khas, pemain diberi pilihan sama ada untuk lancarkan serangan rendah untuk pusingan lebih awal atau lambatkan beberapa pusingan dengan membenarkan musuh menyerang dulu untuk lancarkan serangan lebih besar.

Sistem lanes terbahagi kepada tiga iaitu speed lane, balance lane dan power lane. Speed lane membolehkan pemain lakukan serangan lebih awal tapi kekuatan serangan dikurangkan. Balance lane adalah pusingan normal kepada skill pemain. Manakala power lane pula akan membolehkan pemain lancarkan serangan lebih kuat tapi mengorbankan beberapa pusingan.

Sistem lanes ini juga boleh digunakan oleh pihak musuh. Pada bahagian lane itu juga pemain boleh melihat karakter-karakter mana yang akan lakukan serangan seterusnya. Jadi pemain boleh merancang strategi untuk menggunakan antara ketiga-tiga lane tersebut.

Untuk merancakkan lagi permainan, sistem Wildcard dibawa masuk untuk membantu pemain dan musuh. Wildcard menyediakan buff seperti peningkatan serangan, pertahanan, perisai dan lain-lain. Pemain dan musuh boleh dapatkan Wildcard apabila pusingan pemain berada tepat dalam kotak yang ditandakan pada lanes. Ini memerlukan pemain untuk menggunakan skill dan lanes tertentu supaya pemain boleh dapatkan buff tersebut.

Berlawanan dengan Wildcard pula ialah Hazard di mana pemain perlu elakkan daripada berada dalam kotak pusingan lanes tersebut. Special Hazard pula pemain dilarang menggunakan lane tertentu atau terima serangan yang berat dari musuh.

Selain skill yang disediakan, terdapat juga meter ultimate yang membolehkan pemain lancarkan serangan terkuat ke atas musuh. Animasi khas akan dimainkan masa ultimate diaktifkan. Terdapat sekurang-kurangnya tiga ultimate berlainan.

Pemain boleh kuatkan lagi setiap karakter dengan menukar kelengkapan lama dengan item yang lebih bagus, tingkatkan skill dan tingkatkan sistem runes. Setiap sistem upgrade boleh diubahsuai mengikut style pemain.

Masalah yang penulis dapat lihat pada game ini adalah pada navigasinya. Ketiadaan mini map semasa eksplorasi dan pemain perlu menekan butang map utama setiap masa adalah agak menyusahkan. Juga tiada perbezaan antara teks objektif main quest dan side quest. Adalah lebih baik jika main quest dan side quest ditandakan dengan warna berbeza supaya senang untuk pemain jejak quest mana yang belum diselesaikan.

Satu lagi masalah kecil apabila penulis mahu pergi ke karakter menu yang mempunyai segala informasi mengenai kelengkapan, runes dan skill karakter. Namun, menu tersebut terus membawa ke system menu dan penulis perlu menekan butang ESC dua kali sebelum boleh pergi ke karakter menu. Diharap pembangun boleh betulkan masalah ini.

Grafik

Setiap kawasan yang ada dalam Bilgewater semuanya mempunyai kelainan dari segi landskap, warna dan konsep binaannya. Kawasan pelabuhan merupakan salah satu kawasan kegemaran penulis kerana warna pada setiap permukaan bangunan memang cantik. Cut scenes dalam game ini juga kadangkala menggunakan 3D atau 2D. Namun kedua-duanya membawa konsep visual yang menarik untuk ditonton.

Keputusan – BOLEH BELI or BOLEH BLAH!?

Secara keseluruhan, Ruined King: A League of Legends Story merupakan sebuah game yang mesti dimainkan jika korang peminat turn-based dan RPG. Ia menawarkan sistem kombat turn-based dengan sedikit kelainan iaitu sistem Lanes. Dan jika korang peminat League of Legends, pasti korang tidak mahu lepaskan peluang melihat karakter-karakter kegemaran korang beraksi dalam game ini.

+ Kombat turn-based yang mempunyai sistem Lanes yang menarik
+ Walaupun permulaan agak perlahan. Namun jalan cerita masih tetap menarik
+ Grafik dan cut scenes yang cantik

– Tiada mini map menyukarkan navigasi
– Teks objektif main quest dan side quest yang hampir sama dan tiada perbezaan dari segi warna

Written by Danial DaxZuher

Seorang penulis yang suka bermain game menembak, membaca novel aksi, mendengar lagu OST video games dan movies serta mencipta cerita pendek.

Comments

JomKomen!

Loading…

0

CD Projekt Red Tak Berminat Untuk Diambil-Alih Oleh Mana-Mana Syarikat Gergasi

Game Percuma PlayStation Plus Disember 2021 – Godfall, Mortal Shell, LEGO DC Super-Villains, Judge Eyes