in ,

Roller Champions – Gameplay Sukan Menyegarkan, Tapi Isu Teknikal Merencatkan Pengalaman

Sebuah game sukan kompetitif percuma, memfokuskan kepada multiplayer 3-lawan-3, serta mempunyai visual warna yang vibrant. Roller Champions kelihatan seperti memiliki rencah yang cukup untuk mengikut jejak langkah Rocket League.

Namun, untuk mencipta kejayaan sepertimana yang dapat dilakukan oleh Rocket League, ia tidak semudah itu. Roller Champions berada di landasan yang betul untuk pergi ke arah itu, tetapi pelancaran yang sedikit goyah tidak boleh dipandang remeh.

Penulis telah mencuba Roller Champions untuk beberapa jam, dan ini pendapat penulis tentang game terbaharu daripada Ubisoft ini, setakat ini.

Sukan Apa Sebenarnya?

Roller Champions mengambil inspirasi daripada sukan sebenar yang dipanggil Roller Derby. Namun, apa yang membezakannya adalah Roller Champions telah menambah bola dan jaringan sebagai gameplay yang lebih seronok untuk dijadikan sebuah video game.

Dalam satu-satu perlawanan Roller Champions, dua pasukan yang terdiri daripada 3 pemain akan bertembung dalam satu gelanggang bulatan yang berbentuk seakan trek berbasikal.

Walaupun ada dua pasukan sedang berentap, namun hanya ada satu lubang gol untuk dijaringkan. Apabila pasukan A mendapat bola, gol itu hanya terbuka untuk jaringan apabila pasukan A berjaya membuat satu pusingan lengkap di dalam gelanggang tersebut.

Sudah tentu, pasukan B tidak akan membenarkan (dan cuba merampas bola) pasukan A membuat pusingan lengkap serta membuat jaringan. Maka dalam kehangatan perlawanan itu, kedua-dua pasukan bergocoh — melanggar, membentes, menumbuk, merampas — untuk mencapai objektif masing-masing. Setiap kali bola dirampas oleh pasukan lawan, berapa pun pusingan yang telah dicapai, akan diset semula kepada kosong.

Gameplay bertambah menarik apabila lebih banyak pusingan yang dilengkapkan, lebih banyak mata yang akan diperoleh sekiranya berjaya dijaringkan. 1 pusingan = 1 mata, 2 pusingan = 3 mata, 3 pusingan = 5 mata.

Pasukan mana yang berjaya mengumpulkan 5 mata terlebih dulu akan dinobatkan sebagai pemenang.

Gameplay Sukan Menyegarkan

Walaupun kelihatan seperti sebuah game sukan yang membosankan — cuma berpusing-pusing di atas gelanggang bulatan dengan sebiji bola — Roller Champions sebenarnya menyajikan gameplay yang agak menghiburkan apabila kita mula memegang controller dan bermain.

Boleh dikatakan sudah agak sekian lama kita tidak mempunyai game sukan yang menyegarkan dengan gameplay dan peraturan yang original. Bahkan kalau kita fikirkan, Rocket League juga bukanlah sebuah game sukan yang terlalu original kerana ia hanya memasukkan elemen kereta ke dalam sukan bola sepak.

Dalam Roller Champions, melanggar dan membentes pihak lawan terasa amat memuaskan. Dalam beberapa jam yang sudah dihabiskan, penulis lebih gemar untuk menjadi pemain yang melindungi rakan sepasukan yang sedang mengawal bola berbanding mengawal bola itu sendiri. Penulis lebih suka untuk berpusing ke belakang dan menunggu pemain-pemain lawan untuk menjatuhkan mereka dan seterusnya memberi laluan yang mudah kepada rakan sepasukan menjaringkan gol.

Membaling bola ke dalam lubang gol juga bukanlah mudah. Ia tidak mempunyai aim assist yang begitu kuat yang memudahkan pemain untuk mensasarkan lubang tersebut. Tersasar dalam cubaan menjaringkan gol itu adalah perkara biasa, dan ia menambah keseronokan dan gelak ketawa apabila melihat diri sendiri gagal menjaringkan gol. Penulis rasakan menjaringkan gol dalam FIFA atau PES lebih mudah.

Dalam situasi melengkapkan pusingan untuk membuka pintu jaringan, ia membawakan elemen “risiko dan ganjaran”, di mana lebih banyak risiko yang diambil, lebih tinggi mata yang mampu diperoleh — itupun sekiranya ia berjaya dijaringkan. Keadaan ini memberikan lebih banyak taktikal dan perbincangan antara rakan sepasukan — sama ada untuk terus menjaringkan gol atau mengambil lebih risiko dengan membuat lebih banyak pusingan dengan harapan memperoleh lebih banyak mata.

Penulis tidak sabar untuk melihat perlawanan-perlawanan kompetitif di peringkat esports kerana penulis sudah dapat bayangkan bagaimana menggilanya pemain-pemain profesional akan melakukan gaya-gaya, gerakan-gerakan dan taktikal yang lebih di luar jangkaan.

Semuanya Kosmetik

Apabila bercakap soal game percuma (free-to-play), semestinya ia akan menampilkan pembelian dalam game (microtransactions). Namun jangan gusar, semuanya hanya bersifat kosmetik.

Secara asasnya, Roller Champions menggunakan model bisnes yang sama dengan kebanyakan game percuma di luar sana seperti Fortnite, Apex Legends dan Rocket League. Game ini menampilkan battle pass, yang digelar Roller Pass, serta item-item berasingan lain yang tidak akan memberikan sebarang kelebihan kepada gameplay.

Seperti yang penulis katakan tadi, Roller Champions berada di landasan yang betul untuk menjadi sebuah game percuma yang berjaya, salah satu sebabnya adalah disebabkan model bisnes yang hanya menjual kosmetik ini.

Isu Teknikal

Tidak dapat dinafikan, apa-apa game yang baru sahaja dilancarkan, tentunya mempunyai banyak isu yang timbul, terutamanya game online multiplayer. Namun, dalam sekian banyak penerbit, game-game Ubisoft sentiasa di ranking teratas dalam melancarkan game yang mempunyai terlalu banyak masalah teknikal.

Apatah lagi, isu yang timbul adalah sesuatu yang game breaking, yang menghalang terus penulis daripada bermain game tersebut.

Antara isu yang penulis, dan ramai lagi, alami adalah terlalu banyak crash. Game selalunya akan crash apabila hendak masuk ke dalam Quick Match. Penulis boleh jamin yang dalam 10 percubaan untuk masuk ke dalam Quick Match, 6 daripadanya akan crash.

Selain itu, terdapat juga glitch yang menghalang skuad kami yang sudah berkumpul di lobi daripada masuk ke dalam game baharu kerana error yang dipaparkan adalah “salah seorang daripada pemain masih berada dalam game”, sedangkan ketiga-tiga kami sudahpun berada di lobi. Situasi ini membuatkan aktiviti squad-up bersama rakan-rakan terencat. Seperti yang kita tahu, game-game berpasukan online seperti ini hanya akan lebih menghiburkan apabila bermain bersama rakan-rakan yang dikenali.

Jangan Bunuh Potensi

Satu harapan besar penulis kepada Ubisoft kali ini: tolonglah jangan bunuh potensi yang ada dalam Roller Champions.

Seperti yang penulis sebutkan, ia mempunyai gameplay sukan yang menyegarkan dan menyeronokkan, namun ia boleh dimatikan dengan beberapa isu teknikal yang seandainya lambat dibaiki, akan membuatkan para pemain terus hilang selera terhadap game ini.

Di samping itu, game ini juga boleh mati sekiranya Ubisoft lambat dalam mengeluarkan kemaskini dan kandungan baharu. Buat masa ini, hanya ada satu gelanggang. Walaupun gelanggangnya tetaplah sama bentuknya, penulis ingin melihat lebih banyak gelanggang dengan lebih banyak warna berbeza.

Penulis juga ingin melihat bagaimana game seumpama ini akan menawarkan mode-mode waktu terhad yang berlainan daripada gameplay asas.

+ Peraturan sukan menyegarkan
+ Gameplay menghiburkan
+ Item bersifat kosmetik

– Banyak isu teknikal
– Kekurangan kandungan

Roller Champions kini boleh dimainkan secara percuma di PC, PS4, PS5, Xbox One dan Xbox Series. Untuk Nintendo Switch pula, ia akan dilancarkan pada suatu tarikh yang masih belum diumumkan.

Written by Faiz Tobeng

Abang ini berpersonaliti jiwang di luar dan berjiwa pahlawan di online gaming. Casual gamers yang juga peminat tegar Battlefield series & PES (tapi sekarang dah berpaling tadah ke FIFA).

Comments

JomKomen!

Loading…

0

PS5 Pro, Xbox Series Baharu Akan Dilancarkan Pada 2023/2024, Menurut Syarikat TV Dari China

Sony Sahkan Siri TV Horizon Zero Dawn, Gran Turismo, God of War Dalam Pembikinan Oleh Netflix, Amazon