Walaupun Rockstar kini sedang memperkemas segala aspek yang ada dalam Red Dead Redemption 2 untuk PC, itu tidak menghalang mereka untuk terus memikirkan tentang satu lagi game yang menjana pendapatan yang cukup menguntungkan.

Bercakap kepada PCGamer, ketua bersama Rockstar North, Rob Nelson, memberitahu bahawa lebih banyak kandungan bakal tiba untuk bahagian online multiplayer dalam Grand Theft Auto 5.

“Pemain sepatutnya merasa yakin bahawa terdapat banyak lagi idea yang bakal tiba,” kata Nelson. “Enam tahun sudah berlalu dan kami baru sahaja mencatat rekod bilangan pemain dan kami sangat berterima kasih kepada semua yang sentiasa bersama kami selama ini.”

Beliau tidaklah menyatakan secara spesifik apakah kandungan yang bakal ditampilkan, namun apa yang beliau boleh katakan: “Kami akan cuba untuk mempersiap perancangan secara kasar sepanjang setahun, tapi kami mahu fleksibiliti untuk merespon kepada sebarang perubahan.”

Kenyataan ini mungkin membuat para peminat berbeza reaksi. Ada yang gembira kerana game kegemaran mereka, GTA Online akan terus mendapat sokongan dan kandungan baru daripada Rockstar.

Walau bagaimanapun, ada juga yang mahukan Rockstar mengeluarkan game GTA yang seterusnya. Sekiranya mereka masih lagi memberikan kandungan baru untuk GTA 5, bermakna mereka belum bersedia untuk memindahkan sepenuhnya tenaga kerja mereka untuk sebuah game baru.

Apa pandangan korang pula? Lebih baik memfokuskan kepada GTA 5 atau sudah tiba masanya sebuah game GTA yang baru dibangunkan?

JomKomen!