Menu
in , , , , ,

Reviu eFootball 2022 – Detik Paling Hitam Sebagai Seorang Peminat Winning Eleven, PES

Sejak penulis mengenal apa itu ‘game’, sejak hari itulah penulis mengenal game bola sepak keluaran Konami — dari Winning Eleven kepada Pro Evolution Soccer (PES).

Dalam erti kata lain, penulis sudah bermain PES sejak kecil, menempuhi zaman kanak-kanak dan membesar bersama PES. Namun, apa yang Konami lakukan terhadap game bola sepak mereka tahun ini telah membunuh segala kenangan dan tradisi jenama PES itu sendiri.

Apa yang Konami telah lakukan sebenarnya? Okey biar penulis tarik nafas yang panjang kerana terlalu banyak perkara bodoh yang dilakukan.

Konami telah membuang dan menukar judul game bola sepak mereka kepada ‘eFootball’ sepenuhnya selepas tahun lalu masih lagi menggunakan judul ‘eFootball PES’; mengubah model bisnes dari sebuah game berbayar AAA sejak azali kepada game percuma (free-to-play) dengan sokongan berterusan (live service); menukar teras gameplay ke arah lebih memfokuskan kepada platform mobile (walaupun Konami sentiasa menafikannya).

Malapetaka

Game bola sepak merupakan satu genre yang masih belum (atau pembangun saja tidak mahu) menemui cara bisnes yang terbaik untuk membikin sebuah game free-to-play. Ini berbeza dengan genre game shooter, apabila banyak game shooter percuma di luar sana yang berjaya dari aspek bisnes, dalam masa sama tidak begitu kejam kepada para pemain — semuanya disebabkan bisnes game-game shooter itu yang hanya menjual item yang bersifat kosmetik.

Ini bukanlah apa yang berlaku kepada game-game bola sepak. Lihatlah apa yang EA Sports lakukan terhadap siri game FIFA mereka. Walaupun sudah membayar game AAA dengan harga yang mahal, peminat mode Ultimate Team perlu mengeluarkan lebih banyak wang sebenar untuk membina skuad yang lebih mantap. Pay-to-win.

Itulah yang ditakuti oleh para peminat setia PES apabila Konami mengumumkan game bola sepak mereka akan beralih ke model bisnes percuma sepenuhnya. Apabila mereka tidak lagi menjana pendapatan melalui jualan game seperti sebelum ini, mereka akan lebih kejam dalam mendokong unsur pay-to-win dalam mode Creative Team (dulu myClub, mode sama macam FUT) kerana itu satu-satunya sumber pendapatan mereka.

Ya, Konami ada mengatakan yang mode Master League bakal ada pada masa akan datang, yang dijual sebagai DLC secara berasingan, tapi ia bukan lagi fokus utama mereka.

Pelancaran Yang Memalukan

Tapi apa yang penulis nyatakan di atas itu, korang tidak perlu risau pun kerana Creative Team ke, Master League ke, atau apa-apa mode lain — semuanya belum lagi dilancarkan dalam versi yang sudah boleh dimainkan sekarang. Ya, betul.

Jadi, apa saja kandungan yang ada dalam versi pelancaran ini, yang sebelum ini Konami kata kononnya hanyalah sebuah demo?

Entah. Itu reaksi yang penulis boleh berikan. 3 jam bermain eFootball 2022, penulis tidak pasti apa sebenarnya yang Konami cuba sampaikan.

Ia ada satu mode yang dipanggil Event, mode di mana pemain pilih satu kelab, bertemu (matchmaking) dengan pemain lain, kemudian buat beberapa objektif, dan penulis seterusnya tidak tahu nak buat apa. Selain itu, ada pula satu lagi mode yang dipanggil Match, iaitu mode offline untuk kita bermain secara lokal.

Bahkan mode untuk invite rakan lain untuk berentap bersama (Online Friendlies) juga tidak ada. Yang ada hanya perlawanan online melalui matchmaking yang penulis pun tidak pasti apa tujuannya.

Apa yang membingungkan penulis adalah mode Event itu ada banyak kelab yang boleh dipilih — hampir sama bilangannya seperti game-game PES sebelum ini. Tetapi untuk mode Match, kita hanya diberi 9 pasukan sahaja.

Kenapa sekat perlawanan offline kepada 9 pasukan sahaja sedangkan ia masih dalam game yang sama? Tak faham.

Bengang Lagi Bingung

Ini penulis belum masuk lagi mengenai aspek paling penting dalam sesebuah game bola sepak: gameplay di atas padang.

Di sebalik kebangangan yang Konami lakukan ini, kesilapan terbesarnya adalah apabila menukar jenama, beralih model bisnes dalam masa sama menukar enjin pembangunan.

Ini bukanlah kali pertama Konami menukar enjin. Kali terakhir Konami menukar enjin untuk PES adalah semasa PES 2014.

Penulis bukanlah seorang yang mahir dalam bab teknikal pembangunan game. Apa yang penulis faham, pertukaran enjin adalah sesuatu yang perlu untuk mendapatkan teknologi-teknologi yang lebih moden.

Tapi apa yang penulis tidak faham, mengapa setiap kali Konami menukar enjin game bola sepak mereka, Konami akan sajikan gameplay yang tidak siap. Apa yang terjadi kepada PES 2014 dahulu, berulang lagi, malah lebih teruk dalam eFootball 2022. Tak pernah belajar dari kesilapan.

Tak tahulah siapa punya idea yang meluluskan untuk menukar jenama, mengubah model bisnes dan beralih ke enjin pembangunan baharu — semuanya dalam tahun yang sama.

Keras, Ketat, Kelam-Kabut

Apa yang teruk sangat dengan gameplay eFootball 2022?

Gameplay secara keseluruhannya terasa keras, ketat dan kelam-kabut. Gerakan menggelecek terasa berat, membuat hantaran terasa tidak responsif.

eFootball 2022 memperkenalkan Physical Play, satu ciri yang sememangnya terang lagi bersuluh meniru FIFA, membawakan permainan fizikal yang lebih keras dengan menekan butang L2 (butang pun sama dengan FIFA). Namun ianya serba tak jadi.

Physical Play ini terasa seperti terlalu over-powered (OP) di mana setiap kali menggunakannya pasti akan berjaya melanggar pemain lawan dengan ganas, walaupun si pelanggar itu hanyalah pemain yang ratingnya jauh lebih rendah. Bila dah terlalu OP, selalulah pula pengadil akan meniup wisel kerana terlalu kasar.

Senang cerita pengalamannya seperti mencuba game yang masih belum siap.

Itu belum sebutkan lagi bagaimana terlalu banyak framerate yang jatuh, sama ada ketika gameplay mahupun cutscenes, walaupun bermain di PS5.

Detik Hitam Dalam Sejarah

Seperti yang telah kami laporkan sebelum ini, Tidak sampai 24 jam dilancarkan, eFootball 2022 menjadi game paling rendah rating dalam sejarah di Steam, berdasarkan reviu yang diberikan oleh para peminat.

Pada hemat penulis, rating paling rendah ini sememangnya layak. Tidak perlulah penulis sebutkan kerana kita dapat lihat sendiri melalui perkongsian ramai peminat di media sosial mengenai bermacam bug dan glitch yang ditemui dalam tempoh tidak sampai sehari ia dilancarkan.

Masih Lagi Nafikan?

Selepas pelancarannya, penulis ingin lihat apa lagi Konami nak bersilat untuk menafikan bahawa eFootball 2022 merupakan sebuah game yang memfokuskan kepada platform mobile.

Masuk sahaja ke dalam game ini, perkara pertama yang dilihat adalah paparan menu dan antaramuka (UI) yang lebih mesra untuk pengguna mobile. Korang lihatlah sendiri dalam screenshot di bawah. Butang besar ‘Next’ di sebelah kiri bersaiz besar itu tentunya untuk memudahkan jari menekan di skrin.

Kemudian, masuk pula ke dalam Game Plan sebelum memulakan perlawanan. Segala-galanya dipermudah dan diringkaskan untuk pengalaman mobile.

Paling mengecewakan, cuma ada pilihan Formasi dan satu jenis taktik untuk sepasukan. Tiada lagi arahan individu yang boleh dikhaskan untuk setiap pemain. Identiti PES yang sebelum ini cukup terkenal sebagai sebuah game bola sepak yang amat teliti dalam mencorak taktikal sesebuah pasukan — dibuang begitu sahaja.

Duel Camera

Satu lagi ciri baharu yang ditampilkan dalam eFootball 2022 ini adalah Duel Camera. Bagi penulis, ciri ini sekali imbas nampak cool, tapi sebenarnya ia satu sudut pandang kamera yang sia-sia.

Duel Camera ini akan membuatkan kamera zum dengan lebih dekat apabila seorang pemain kelihatan seperti hendak menggelecek seorang pemain lawan. Maka, kamera akan lebih mendekat ke arah dua pemain itu, kononnya ingin membangkitkan satu pengalaman yang lebih bersifat peribadi.

Sudut pandang kamera ini bolehlah dikatakan menarik untuk kita TONTON, namun menyusahkan pemain yang sedang BERMAIN sebenarnya. Hal ini kerana tidak semua pemain yang semakin mendekat dengan pemain lawan itu benar-benar ingin menggelecek. Kadang-kala ia hanya menghampiri untuk memancing atau menarik pemain lawan sedikit ke hadapan agar ruang di belakangnya dapat dibuka.

Ada sesetengah situasi, penulis tiada hasrat pun untuk menggelecek, tapi lebih kepada ingin membuat hantaran jauh. Namun apabila kamera telah zum dengan lebih dekat, maka niat penulis itu terbantut dek kamera yang telah menutup pandangan penulis yang ingin menyampaikan bola kepada pemain yang di seberang sana itu.

Permainan Berterusan

Di sebalik sekian banyak ciri baharu yang penulis kecewa, sebenarnya ada satu ciri baharu yang benar-benar asli, bagus dan belum pernah diperkenalkan dalam mana-mana game bola sepak sebelum ini.

Ciri tersebut ialah permainan yang berterusan apabila situasi lontaran ke dalam (throw-in) dan sepakan gol (goal kick). Sebelum ini, kita hanya pernah disajikan dengan Quick Restart semasa mendapat sepakan percuma (free kick).

Maksudnya, apabila berlakunya throw-in atau goal kick, tiada cutscene yang akan mengembalikan setiap pemain itu ke posisi masing-masing.

Sebaliknya, apabila goal kick misalnya, penjaga gol akan terus mengutip bola itu di tepi/belakang gawang, terus meletakkan bola di dalam kotak 6-ela, dan bersedia untuk melakukan tendangan tanpa sebarang skrin loading. Sekiranya goal kick terjadi selepas tendangan sudut (corner kick), bek pertahanan yang naik perlu cepat turun ke bawah semula sebelum pemain lawan melakukan serangan balas pantas (counter attack).

Kesimpulan

Penulis umpamakan eFootball 2022 ini ibarat kita datang ke rumah seseorang, tuan rumahnya menjemput kita minum, tetapi cawan yang dihidangkan itu kosong.

Itulah apa yang Konami lakukan sebenarnya dengan pelancaran game bola sepak terbaharu mereka ini. Ya, ia tentunya sebuah game percuma, tapi walaupun percuma, takkan nak hidangkan para peminat setia ini yang telah bertahun menyokong tegar francais ini dengan sebuah game yang sesampah ini.

Penulis tidak tahu bagaimana Konami akan mampu untuk menyelamatkan game ini. Sejujurnya eFootball 2022 telahpun mati dibunuh oleh Konami, walaupun belum sempat ia dilancarkan lagi. Dan apabila ia dilancarkan, mayat eFootball 2022 pula disiat-siat tanpa rasa hormat.

Kecewa. Penulis benar-benar kecewa dengan eFootball 2022.

Selamat tinggal PES. Terima kasih atas segala memori yang telah dipahat bersama suatu ketika dulu.

Written by Faiz Tobeng

Abang ini berpersonaliti jiwang di luar dan berjiwa pahlawan di online gaming. Casual gamers yang juga peminat tegar Battlefield series & PES (tapi sekarang dah berpaling tadah ke FIFA).

Leave a Reply

Exit mobile version