The Witcher: Nightmare of the Wolf merupakan sebuah prekuel yang baik kepada musim pertama The Witcher terbitan Netflix. Pertukaran dari siri aksi-nyata kepada filem anime juga merupakan satu langkah yang bijak.
Setelah tayangan musim pertama siri aksi-nyata The Witcher yang mencetuskan fenomena global, Netflix telah mendapat petunjuk bahawa mereka harus menggunakan segala sumber yang mereka ada untuk mengangkat francais Witcher ke satu tahap yang luar biasa.
Langkah ini dapat dilihat dengan bermacam kandungan dan promosi rentas media yang dilakukan, antaranya: acara WitcherCon hasil kerjasama dengan CD Projekt Red, musim kedua The Witcher, siri spin-off Blood Origin, dan tentunya filem anime The Witcher: Nightmare of the Wolf.
Apa Ceritanya?

The Witcher: Nightmare of the Wolf mengisahkan Vesemir, iaitu guru kepada Geralt dalam musim pertama The Witcher. Dalam siri aksi-nyata itu, Vesemir (Kim Bodnia) masih belum memunculkan diri lagi, yang mana karakter ini hanya akan mula ditampilkan dalam musim kedua kelak.
Dalam kata lain, The Witcher: Nightmare of the Wolf merupakan persediaan kepada para penonton untuk mengenali siapakah sebenarnya guru kepada Geralt itu, yang mana dalam musim kedua nanti sudah pun berusia dan menjadi ‘wise old man’.
Dalam filem anime ini, kita dapat saksikan Vesemir dalam dua usia iaitu semasa zaman kanak-kanak di kampung, dan satu lagi pada zaman keemasannya ketika menjadi seorang Witcher.
Vesemir dibesarkan dalam keluarga yang susah di persekitaran desa. Beliau memiliki seorang teman baik bernama Illyana. Dalam usaha untuk keluar dari kemiskinan, Vesemir telah mengambil jalan tekad untuk lari dari keluarganya dan pergi ke Kaer Morhen untuk mengejar impiannya menjadi seorang Witcher.
Pada zaman dewasanya pula, kita dipaparkan dengan bagaimana kejam dan buruknya karier sebagai seorang Witcher ini. Beberapa insiden tidak diingini telah membuatkan dirinya terkait semula dengan zaman kanak-kanaknya.
Tak Kenal Maka Tak Cinta

Seperti yang penulis katakan, The Witcher: Nightmare of the Wolf merupakan persediaan kepada para penonton untuk mengenali Vesemir dalam filem yang berdurasi 100 minit.
Walaupun dipaparkan dalam filem yang ringkas, tapi ianya secukup rasa untuk memperkenalkan watak ini. Kita dapat mengenali bagaimanakah kehidupannya ketika kecil, apakah motivasi yang memacu Vesemir untuk keluar dari kampungnya dan menyertai satu kumpulan yang sering dipandang serong oleh semua makhluk di dunia itu.
Kita dapat mengetahui siapakah insan-insan penting dalam hidup Vesemir. Apakah kesilapan, penyesalan dan trauma kehidupan watak ini dalam menelusuri jalan yang penuh berliku. Kita juga dapat saksikan detik-detik kejatuhan tempat Witcher berkumpul dan berlatih, Kaer Morhen.
Sememangnya sebuah prekuel yang bermakna untuk Netflix mengembangkan lagu universe The Witcher.
Langkah Bijak

Keputusan Netflix menerbitkan filem prekuel ini dalam bentuk anime juga penulis rasakan sebagai satu langkah yang bijak.
Para penonton disajikan dengan aksi pertempuran, percikan darah serta kemunculan raksasa besar dan berwajah buruk yang ‘bertaraf anime’. Elemen-elemen anime ini, sekiranya ingin diterjemahkan ke dalam bentuk aksi-nyata boleh dikatakan lebih sukar dan memerlukan kos yang lebih tinggi.
Tidak Seperti Diharapkan

Satu unsur yang mungkin tidak mencapai seperti apa yang penulis harapkan adalah pertarungan pedangnya.
Pada pandangan penulis, aksi Vesemir (dan Witcher lain) bertarung dengan Mage (ahli sihir) dan raksasa-raksasa lain sememangnya menyajikan aksi yang amat baik. Namun, aksi pertarungan pedang secara spesifiknya tidak seperti yang penulis mahukan dan jangkakan.
Penulis faham bahawa kebanyakan pertarungan dalam filem ini adalah melibatkan Witcher vs Mage/raksasa, maka tidak banyak pertarungan pedang lawan pedang. Tidak banyak, tapi ada.
Apabila adanya pertarungan pedang antara Witcher, penulis merasakan ianya tidak puas. Ianya terlalu sekejap dan koreografinya juga tidak menarik.
Mungkin penulis meletakkan harapan terlalu tinggi memandangkan musim pertama aksi-nyata The Witcher menyajikan pertarungan pedang oleh Geralt yang cukup mengagumkan.
Kesimpulan

Kepada peminat setia francais The Witcher, tidak kiralah sama ada siri televisyen, video game, mahupun novelnya, The Witcher: Nightmare of the Wolf merupakan sebuah filem anime yang mesti ditonton.
Ia menandakan satu pencapaian yang membanggakan kepada francais ini. Filem anime yang pertama, dan ia pula memaparkan kehidupan dan aksi Vesemir semasa di zaman kemuncaknya.
Dan penulis yakin, ini bukan karya terakhir The Witcher dalam bentuk anime. Netflix tentunya akan menerbitkan lebih banyak anime, sama ada bersiri atau filem lagi.
Pastikan juga korang tunggu sehingga ke babak terakhir filem ini kerana ada sedikit teaser yang akan membuatkan korang tersenyum.
The Witcher: Nightmare of the Wolf kini boleh ditonton di Netflix.
Comments
Loading…