in , ,

Returnal: Boleh Beli or Boleh Blah!?

Dibangunkan oleh studio Housemarque dan diterbitkan oleh Sony Interactive Entertainment, Returnal merupakan salah satu game eksklusif konsol Playstation 5 yang terawal diterbitkan.

Returnal telah dilancarkan secara rasmi pada 30 April yang lalu. Apa yang boleh disampaikan pada awal penulisan ialah game ini bukanlah game yang biasa dan cliché seperti game lain yang berkongsi genre yang sama.

Apa yang unik sangat game Returnal ini? Kenapa penulis seperti tertekan dan hilang pedoman selepas bermain game ini? Mari kita bedah Returnal.

Jangan cakap kami tak warning.

Belum masuk game lagi anda akan diingatkan bahawa tiada fungsi “save” atau “autosave checkpoint” dalam game ini. Apa yang berlaku jika anda mati di tengah permainan? Ya, seperti peringatan di atas, anda akan dihidupkan semula di checkpoint yang pertama di mana hampir semua progress anda akan hilang.

Situasi yang sama juga akan berlaku jika anda mematikan konsol anda sama ada secara sengaja atau tidak sengaja. Senang cerita, konsol anda perlu sentiasa dikekalkan sahaja dalam keadaan “rest mode”. Anda juga disarankan untuk mematikan fungsi “auto-update”. Dahsyat, bukan?

Pusing-pusing sampai abang Jamil mampus!

Seperti mana kapsyen di atas, memang itu yang akan berlaku ketika anda bermain Returnal. Returnal merupakan game genre survival third-person shooter yang berlatarkan tema masa hadapan sains fiksyen.

Anda akan bermain sebagai Selene Vassos, seorang angkasawan wanita Amerika yang terhempas bersama kapal angkasa beliau di sebuah planet mahluk asing, Astropos. Selene terperangkap di dalam gelung masa di mana setiap kali anda mati ketika merungkaikan misteri di planet tersebut, anda akan dihidupkan semula pada permulaan game ini.

Anda pasti akan mengalami pelbagai kesukaran apabila bermain game ini. Seperti penulis, sudah bermain selama berjam-jam tetapi hanya disebabkan jatuh gaung, penulis terpaksa bermula dari awal kembali. DARI AWAL! SANGAT TERTEKAN! Bukan itu sahaja, penulis juga kehilangan senjata dan item yang dimiliki sebelum ini!

“Ah senang je, dah tau dah selok belok map lepas ni” Oh tidak, tidak seperti yang anda sangkakan. Returnal mempunyai enam lapisan peta atau dalam game ini dipanggil Biome. Anda perlu menghabiskan setiap satu Biome untuk pergi ke Biome seterusnya.

Setiap kali anda mati, kitaran game akan berubah dan selok belok Biome juga akan berubah. Anda tidak akan jumpa Biome yang sama selepas setiap kitaran kematian. Setiap kebangkitan membawa kepada pengalaman yang baru. Secara ringkasnya, struktur Biome akan berubah dan segala gerbang yang anda lalui sebelumnya berada di tempat yang berbeza.

Gerbang binasa musuh celaka.

Kebolehan musuh di dalam game ini akan meningkat setiap kali anda berjaya pergi ke tahap dan Biome yang baru. Lebih mencabar lagi musuh yang muncul adalah secara rambang dan mempunyai tahap kesukaran yang berbeza.

Musuh paling liat boleh muncul di awal perjalanan Biome anda secara rawak atau sebaliknya. Penulis berpendapat, musuh yang muncul bukanlah musuh yang sukar untuk dibunuh, tetapi disebabkan musuh ini boleh muncul dalam kumpulan yang banyak dalam satu-satu masa agak mencabar kebolehan untuk melenyapkan kesemuanya.

Pertempuran boss di Returnal juga boleh menjadi satu pengalaman yang mencabar dan memuaskan dalam masa yang sama. Hal ini kerana, setiap Biome mempunyai boss yang tersendiri yang perlu anda tewaskan untuk mendapatkan akses ke Biome seterusnya.

Pengalaman bertempur dengan boss di setiap Biome merupakan satu pengalaman yang sangat mencabar tetapi dapat memberikan rasa kelegaan dan kepuasan yang hakiki apabila anda berjaya menewaskan setiap satu boss tersebut.   

Seterusnya, anda juga akan disajikan dengan gerbang-gerbang dengan simbol yang berbeza di setiap Biome. Setiap gerbang tersebut akan membawa anda kepada musuh, halangan serta ganjaran yang berbeza. Gerbang utama merupakan gerbang yang perlu anda ikut untuk sampai pada objektif utama. Jika anda inginkan cabaran dan ganjaran, anda boleh masuk ke dalam gerbang gerbang lain yang mempunyai simbol yang berbeza.

Namun ada risikonya, dengan memasuki gerbang-gerbang ini anda akan berhadapan dengan pelbagai tekanan dan juga cabaran! Bayangkan, apabila anda terkunci di dalam satu gerbang, pelbagai musuh yang berbeza akan muncul di setiap penjuru dan menyerang anda pada waktu yang sama. Anda hanya boleh keluar dengan membunuh musuh-musuh tersebut terlebih dahulu. Jika tidak berhati-hati anda boleh kehilangan nyawa yang banyak di dalam gerbang tersebut.

Mekanisme pertempuran yang memberi kepuasan.

Walaupun pemain akan berasa tertekan apabila terperangkap di dalam gelung masa, penulis merasakan bahawa mekanisme pertempuran dalam game ini sangat memuaskan dan menjadi salah satu elemen yang menarik.

Penggunaan senjatanya sangat responsif dan mudah untuk dikawal kerana semua senjata mempunyai kelebihan dan kekurangan yang seimbang. Tiada senjata yang terhebat di dalam game ini, kehebatan senjata bergantung pada tahap kecekapan anda sepanjang permainan. Anda hanya perlu memilih senjata yang selesa untuk digunakan sepanjang permainan.

Penulis juga ada kalanya pening hendak memilih senjata yang mana. Selain itu, perkara paling menarik tentang senjata di dalam game ini ialah anda tidak perlu mencari peluru! Semuanya tidak terhad. Semakin meningkat tahap kecekapan anda, semakin tinggi peluang terjumpa senjata yang selari dengan tahap kecekapan anda. Jadi, jika anda inginkan senjata yang lebih baik, anda perlu meningkatkan kecekapan anda dengan membunuh seberapa banyak musuh anda jumpa.

Akan tetapi, penulis berasa sedikit ralat kerana anda hanya boleh membawa satu sahaja senjata utama pada satu-satu masa. Jika anda terjumpa senjata lain, anda perlu berfikir sama ada senjata tersebut sesuai atau perlu digunakan untuk meneruskan misi anda.

Jadilah pengguna yang bijak dan sayangi nyawa anda.

Selain senjata, item lain juga memainkan peranan penting dalam membantu menyelesaikan misi. Antara item penting yang anda perlu tahu ialah consumable, artifact, suit artifact dan parasite.

Anda tidak boleh memiliki semua item tersebut dalam satu masa, anda perlu memilih item yang memberikan kesan dan membantu sepanjang misi. Sebagai contoh, item parasite akan memberikan anda banyak kelebihan akan tetapi dalam masa yang sama anda juga akan menerima kesan negatif apabila menggunakannya. Oleh itu, setiap parasite harus diperhalusi sebelum anda memilih untuk menggunakannya.

Item tersebut boleh diperoleh secara langsung atau boleh ditebus menggunakan obolite yang anda kumpulkan. Ini sedikit sebanyak mencabar pendirian serta daya fikiran setiap pemain untuk memilih item yang sesuai dengan keperluan mereka.

Pengurusan nyawa atau dalam istilah game ini “integrity” perlu dijaga sehabis baik. Hal ini kerana, sepanjang perjalanan anda untuk menyelesaikan misi, penulis pasti  anda akan mengalami kesukaran untuk mencari penawar, silphium yang membantu memulihkan nyawa.

Ini merupakan salah satu cabaran yang perlu pemain hadapi dan semuanya bergantung kepada kecekapan dan kepantasan pemain dalam mengelak serangan musuh yang memberi kesan kepada nyawa mereka. Item pemulih di dalam permainan ini agak terhad dan bergantung kepada nasib pemain. Perlu diingatkan walaupun anda berjaya menundukkan boss di dalam satu Biome, nyawa yang tinggal akan dibawa terus ke Biome seterusnya. Tiada pemulihan semula berlaku antara waktu tersebut.

Sedikit tips daripada penulis, kumpul seberapa banyak obolite dan gunakan Fabrication Pod untuk memulihkan nyawa anda. Kemudian, tebus Large Silphium Vial sebagai consumable. Anda juga boleh menebus Astronaut Figurine, ia berfungsi sebagai peluang kedua kepada anda jika anda terkandas di tengah permainan.

Mengambil manfaat Dualsense.

Returnal juga memanfaatkan fungsi Dualsense dengan baik sekali. Pergerakan motor Dualsense dapat dirasai di tangan anda secara menyeluruh, bahkan rintik hujan juga seperti terkena pada jari jemari anda.

Di samping itu, jika anda biasa bermain shooting game di konsol, anda sedia maklum bahawa butang L2 kebiasaannya berfungsi sebagai zoom scope yang membantu untuk membuat tembakan. Namun, di dalam Returnal, memanfaatkan ciri Adaptive Triggers, butang L2 bukan sahaja berfungsi untuk membuat zoom, malah anda juga boleh mengaktifkan mode menembak yang lain.

Anda akan memperoleh dua fungsi yang berbeza untuk butang L2. Jika anda ingin zoom secara biasa, anda hanya perlu tekan secara ringan. Tetapi jika anda ingin mengaktifkan mode tembakan yang lain, anda boleh tekan butang L2 secara menyeluruh.

Anda boleh lihat video di bawah untuk lebih memahami bagaimana Returnal memanfaatkan fungsi Adaptive Triggers.

Persembahan grafik yang mantap.

Seperti yang kita tahu Returnal merupakan game ekslusif untuk konsol PS5 dan laporan-laporan lain juga mengatakan bahawa Returnal menggunakan sepenuhnya teknologi grafik PS5 yang terkini. Laporan ini juga disokong dengan pengalaman penulis sendiri.

Tiada langsung lag sepanjang permainan dan lebih menakjubkan Returnal juga boleh mencapai resolusi 4K bersama kadar bingkai 60fps sepanjang permainan. Returnal juga dikatakan disokong dengan teknologi ray-tracing tetapi buat masa ini penulis tidak nampak sebarang kesan ray-tracing di dalam permainan, mungkin hanya sekadar gembar-gembur daripada pihak pembangun.

Walau bagaimanapun, grafik yang ditonjolkan sudah cukup memberikan gambaran betapa hebatnya teknologi konsol generasi masa hadapan ini.

Keputusan – BOLEH BELI or BOLEH BLAH!?

Secara jujur, penulis bukanlah peminat besar game yang membawa single-player story mode ini tetapi game Returnal berjaya memberikan penulis perspektif yang berbeza terhadap game genre ini.

Pembangun game ini telah menjalankan tugas yang baik bagi memberikan pemain pengalaman baharu dalam menghadapi game yang melibatkan time loop ini. Pertempuran yang mencabar, semangat mengumpul item yang berbeza serta penggunaan senjata yang sangat responsif merupakan antara elemen yang membuatkan game ini sangat menarik.

Walau bagaimanapun, Returnal merupakan game survival yang memerlukan komitmen pemain untuk berada terus di hadapan konsol untuk jangka masa yang lama. Penulis ada kalanya terpaksa berhenti bermain seketika kerana terlalu kecewa dan penat untuk mengulang semula permainan dari awal.

Selain itu, komitmen yang diberikan memaksa diri anda untuk tidak bermain permainan lain kerana segala progress anda akan hilang serta merta jika anda bertukar ke game lain. Penulis merasakan pembangun perlu memberikan peluang kepada pemain untuk bertukar ke game lain tanpa memberikan kesan kepada perjalanan game Returnal mereka.

+ Keterujaan dan cabaran meneroka setiap gerbang dan biome untuk menaik taraf senjata, item dan tahap kecekapan.
+ Grafik generasi masa hadapan yang menonjol.
+ Pengalaman Dualsense yang menyeluruh.
+ Mekanisme senjata yang sangat responsif.
+ Kepuasan menumbangkan musuh-musuh terutama boss.

– Komitmen untuk kekal bermain dan tidak boleh bertukar ke game lain.
– Pengulangan ke level awal yang memenatkan jika mati di tengah jalan.
– Tiada fungsi save
– Kecewa
– Marah
– Sedih
– Putus asa

Written by Kamil Geekz

Maznah ke tu?

Casual gamer yang selalu berpakaian smart casual.

Comments

JomKomen!

Loading…

0

Tencent Umumkan Game Mobile Eksplorasi Planet/Angkasa Macam No Man’s Sky

Saiz Fail Subnautica Di PS5 Dikecilkan 70% Daripada Versi PS4 Disebabkan Teknologi SSD