Respawn Entertainment telah mengeluarkan kenyataan terbaru tentang apakah yang berlaku di sebalik tabir studio pembangunan itu.

Beberapa poin penting telah dinyatakan. Pertama, Respawn mendedahkan bahawa mereka akan kekal dengan perancangan mereka untuk mengeluarkan kemaskini dan kandungan baru untuk Apex Legends mengikut musim-musim yang telah ditetapkan.

Atau dalam kata lain, Respawn tidak mahu mempercepatkan kandungan baru yang dikeluarkan, secara mingguan misalnya, dan tetap dengan pendirian mereka walaupun ada yang mengkritik bahawa Apex Legends terlalu perlahan dalam mengeluarkan kemaskini baru.

Kenyataan ini semestinya kelihatan seperti jawapan balas kepada laporan beberapa hari lalu bahawa staf di Epic Games telah ditekan teruk oleh syarikat tersebut kerana ingin sentiasa mengeluarkan kandungan baru untuk Fortnite pada setiap minggu. Polygon melaporkan bahawa staf Epic Games terpaksa bekerja 70 jam seminggu untuk mengejar segala kerja yang telah ditugaskan.

Selain itu, kenyataan terbaru Respawn ini turut berkongsikan tentang apakah perancangan mereka tentang game-game yang sedang dan bakal dibangunkan oleh mereka.

Respawn mengumumkan bahawa pasukan mereka kini terbahagi kepada dua, iaitu kumpulan yang menyokong Apex Legends, serta kumpulan yang sedang membangunkan Star Wars: Jedi Fallen Order. Maka, bagi menyokong penuh Apex Legends, mereka akan menangguh game akan datang untuk Titanfall.

Mereka tidak menukar apa-apa sumber dari kumpulan Apex Legends, serta tiada penarikan staf dari kumpulan Star Wars: Jedi Fallen Order untuk membangunkan game baru. Jadi, kepada mereka yang menantikan game Titanfall yang seterusnya, harap bersabarlah ya.

Ketulusan Respawn dalam mendedahkan apakah yang berlaku dalam studio mereka pada waktu ini seharusnya dipuji. Langkah mereka untuk tidak menekan para pekerja dengan membebankan dengan terlalu banyak tugasan juga harus diberikan kredit yang secukupnya.

JomKomen!