Red Dead Redemption 2 bukan sebuah game yang calang-calang.
Kedatangannya sudah ditunggu-tunggu sejak sekian lama, dan tidak boleh disangkal lagi yang ia merupakan antara game AAA yang paling dinantikan pada tahun ini.
Bagi korang yang kurang arif dengan game ini, Red Dead Redemption 2 (RDR2) ialah sebuah game bertemakan zaman koboi di Amerika Utara, bergenrekan action-adventure open-world yang dibangunkan oleh Rockstar Games. Game ini merupakan prekuel kepada Red Dead Redemption pertama (RDR1) yang dikeluarkan pada tahun 2010 untuk PS3 dan Xbox 360.
Game Ini Tentang Apa?
RDR2 menggunakan latar waktu pada tahun 1899, iaitu kira-kira 11 tahun sebelum kejadian RDR1. Game ini berkisar tentang geng penjenayah (outlaw) yang sama dalam RDR1, iaitu geng yang diketuai oleh Dutch Van der Linde, yang mana ketika RDR1, geng ini sudahpun berpecah. Senang cerita, RDR2 menceritakan bagaimana dan mengapa geng Van der Linde memasuki jalan kejatuhannya.
Walaupun ia mengisahkan tentang perjalanan cerita yang berkait, tetapi kita tidak bermain sebagai John Marston (hero RDR1), sebaliknya kita bermain sebagai Arthur Morgan yang wataknya dicipta khas untuk RDR2. Di sebalik kita bermain sebagai karakter “baru” ini, boleh dikatakan kebanyakan ahli-ahli dalam geng tersebut adalah orang yang kita jumpa dalam RDR1. Malah, John Marston juga menjadi watak sampingan yang penting dalam RDR2, dan kita akan mengikuti perkembangan watak John Marston serba sedikit semasa muda.

Kisah Yang Cukup Mendalam
Penulis tidak mahu memulakan ulasan game ini tanpa menyebutkan tentang kisah (story) yang dibawakan melalui game ini. Percaya atau tidak, kisah yang dibawakan kali ini oleh Rockstar ke dalam RDR2 ialah kisah yang memberikan kesan paling mendalam dalam mana-mana game yang pernah penulis mainkan.
Agak sukar untuk penulis menyatakan hakikat ini, namun RDR2, secara peribadi, telah berjaya memotong kisah yang ada dalam The Last of Us (TLOU) sebagai game single-player story kegemaran penulis. Sejak Naughty Dog lancarkan TLOU pada tahun 2013, TLOU menjadi game yang bertakhta nombor satu dalam hati penulis — tetapi tidak lagi selepas penulis habiskan story dalam RDR2.
Penceritaan yang disajikan dalam RDR2 sangat, sangat menyentuh perasaan. Ia mengetengahkan pelbagai elemen kehidupan yang cukup kompleks — persahabatan, kekeluargaan, pengkhianatan, keinsafan, menolong yang lain tanpa mengharapkan balasan — dan yang paling utamanya, mengajar kita tentang sifat manusiawi dalam dunia yang penuh dengan kejahatan.
Sejujurnya, penamat (ending) yang disimpulkan dalam game ini benar-benar memberikan para pemain satu perasaan dan pengalaman yang sukar digambarkan. Pada akhir story, ia telah membuat penulis terdiam dan tercengang buat beberapa ketika kerana apa yang telah disajikan adalah satu karya terbaik yang tidak pernah dialami penulis sebelum ini. Penulis terpaksa menutup terus PS4 selepas jalan cerita utamanya tamat, dan tidak sanggup untuk meneruskan epilognya pada hari yang sama kerana penulis memerlukan masa untuk menghadam apa yang telah terjadi. Begitu mendalam penamatnya.
Perlu Bermain RDR1 Ataupun Tidak?
RDR2 mempunyai enam Chapter, yang mana keenam-enam ini ialah jalan cerita utamanya. Kemudian, selepas tamatnya Chapter 6, ia diteruskan dengan 2 bahagian Epilog yang mana setiap Epilog ini menawarkan playtime yang sama panjangnya dengan Chapter-Chapter sebelum itu.
Setelah jalan cerita utamanya tamat (penghabisan Chapter 6), ia tidak terhenti di situ sahaja. Rockstar telah berjaya menyambungkan kisah yang ada antara RDR2 dengan RDR1 dengan begitu baik dalam 2 Epilog di akhir game ini.
Semestinya, bermain RDR1 terlebih dahulu sebelum memulakan RDR2 adalah langkah terbaik. Walau bagaimanapun, pada pandangan penulis, jalan cerita RDR2 boleh dinikmati tanpa bermain RDR1 terlebih dahulu kerana kekuatan penceritaan dalam game ini sendiri sudah cukup mantap untuk membuatkan para pemain melekat dalam dunianya yang penuh berliku.
Kepada pemain yang memulakan RDR2 tanpa mengetahui apa yang telah berlaku dalam RDR1, pastinya selepas menamatkan RDR2, korang akan terus mencari untuk mengetahui apa yang terjadi seterusnya dalam kisah ini. Sama ada korang main RDR1 di PS3/Xbox 360 atau layan sahaja video rumusan (summary/recap) di Youtube, ini tidak penting, kerana apa yang pasti korang pasti akan ingin mengetahui apa yang terjadi selepas kejadian RDR2.
Perkembangan Watak
Jalan cerita RDR2 ditulis dengan sangat baik, ia termasuklah bagaimana perkembangan watak itu ditulis. Ia bukan sahaja dapat dilihat dalam protagonis Arthur Morgan sahaja, malah diperlihatkan dengan cukup baik melalui watak-watak lain seperti Dutch Van Der Linde, John Marston dan Sadie Adler.
Penulis dapat lihat dengan jelas dan mampu berbekas dalam hati. Penulis dapat melihat bagaimana watak-watak ini sungguh berbeza semasa kita mulakan game ini berbanding bagaimana mereka berperwatakan ketika penamatnya — berubah dari seorang yang lemah kepada seorang yang kuat, baik kepada jahat, penakut kepada pejuang, setia kepada mengkhianati dan banyak lagi. Kadang-kala, kita terasa lebih “terpikat” dengan watak-watak sokongan ini berbanding protagonis, terutamanya apa yang Rockstar telah hidupkan melalui watak Sadie Adler.

Sinematografi & Lagu
Sinematografi dan lagu dalam RDR2 adalah umpama isi dan kuku yang membuatkan game ini menyampaikan sebuah jalan cerita yang mampu membuat kita meremang, menggigil dan seterusnya menitiskan air mata. Setiap sudut sinematik yang dipaparkan dalam game ini, lebih-lebih lagi apabila sudah menjangkau ke penamatnya, ditambah dengan lagu yang sangat “kena” dengan situasi — penulis kehabisan kata-kata untuk menggambarkan perasaan itu. Satu perasaan yang tidak pernah penulis rasakan dalam mana-mana game yang pernah dimainkan dalam hidup.
Lagu yang paling memberikan impak paling mendalam ialah lagu yang berjudul “May I? Stand Unshaken” yang dipersembahkan oleh D’Angelo. Seingat penulis, lagu ini muncul dalam RDR2 sebanyak 2 kali. Kali pertama ia kedengaran, ia membuatkan penulis meremang bulu roma. Kali kedua pula, ia membuatkan tangan menggeletar sehingga sukar untuk menekan butang-butang controller apabila ingin meneruskan permainan.
https://www.youtube.com/watch?v=obJuKmMjFG4
Unsur Realisme
Satu perkataan untuk gambarkan gameplay dalam RDR2? Ia sudah tentu — Realistik. Realisme yang dibawakan ke dalam RDR2 adalah sangat mengagumkan. Penulis berani katakan yang perincian dalam open-world yang ada dalam game ini adalah yang paling realistik pernah dipersembahkan dalam mana-mana game.
Setiap apa yang kita nampak dan buat dalam game ini, kita pasti akan katakan, “OMG realistiknya game ini”. Jika nak disenaraikan dalam review ini semua ciri yang realistiknya dalam game ini, sememangnya sampai esok pun tak habis, tapi penulis cubalah sebutkan beberapa daripadanya.
Kita perlu menjaga Arthur Morgan seperti dalam dunia sebenar. Kita perlu makan dan tidur. Jika tidak, Health Core akan berkurangan, membuatkan kita akan senang mati sekiranya menunggang kuda, bertumbuk atau menembak. Jika makan pun, tidak boleh terlalu banyak, kalau tidak, Arthur akan menjadi “overweight”, seterusnya pemain akan mudah kehabisan stamina.
Di samping itu, setiap pakaian yang digayakan itu perlu sesuai dengan kawasan persekitaran. Misalnya, kita tidak boleh gunakan pakaian yang nipis-nipis apabila mengembara ke kawasan bersalji. Kalau degil juga untuk melakukannya, maka pemain akan cepat mati.
Sayangkan Kuda
Pada zaman koboi, semestinya kuda memainkan peranan penting sebagai pengangkutan utama. Gameplay antara pemain dan kuda yang Rockstar telah bawakan sememangnya cukup baik.
Gameplay kuda yang dibawakan sengaja dicipta untuk menerapkan perasaan sayang terhadap kuda kita. Sama ada kita beli ataupun dapatkan kuda dari mana-mana lokasi, ia memerlukan keringat yang tinggi daripada pemain. Sekiranya membeli kuda, kuda yang baik semestinya mahal harganya, manakala kuda liar yang baik pula, pastinya sukar untuk dicari dan dijinakkan. Kemudian, kuda kita ini mempunyai mekanisme yang digelar Bonding — kita perlu selalu menenangkannya, memberinya makan, serta membersihkannya — semua penjagaan ini akan mempengaruhi keupayaan (stats) kuda itu, sama ada sihat ataupun tidak, kuat ataupun lemah.
Lebih menarik apabila kuda ini juga memiliki customization-nya tersendiri. Kita boleh ubah rambutnya, ekornya, memilih pelananya (saddle) dan lain-lain. Dan semestinya kita boleh menamakan kuda kita untuk menaikkan lagi rasa sense of belonging terhadapnya.
Mekanisme Bonding ini telah membuatkan penulis sayangkan kuda jagaan penulis ini — satu perasaan sayang antara pemain dan haiwan yang tidak pernah penulis bayangkan mampu dicipta dalam sesebuah video game.
Memburu & Crafting
Selain gameplay-gameplay bertemakan koboi seperti menembak dan menunggang kuda, satu lagi gameplay utama dalam RDR2 ialah memburu (hunting) dan crafting. RDR2 menampilkan lebih daripada 100 spesies haiwan yang boleh diburu dalam dunia terbukanya sangat, sangat luas.
Sebahagian haiwan terpilih ini boleh digunakan untuk crafting pelbagai aksesori, antaranya seperti pakaian, beg galas (satchel), dan pelana kuda. Kepada korang yang sukakan sebuah gameplay yang memerlukan grinding yang tinggi, memburu haiwan-haiwan Legendary, dan crafting pelbagai jenis aksesori; penulis berani janjikan yang korang akan hanyut dalam kenikmatan ini.
Korang gemarkan gameplay seperti ini pasti akan terperangkap di Chapter-Chapter awal dan tidak meneruskan misi-misi utama kerana sibuk memburu. Percayalah.
Side Mission Mengagumkan
Satu lagi elemen yang benar-benar mengagumkan penulis ialah bagaimana uniknya setiap mission yang ada dalam game ini. Menyajikan gameplay yang unik untuk setiap mission utamanya (story) mungkin tidaklah begitu mengejutkan, namun setiap side-mission juga adalah unik dan tidak berulang (repetitive).
Kebanyakan side-mission akan memiliki jalan cerita tersendiri, terasing daripada jalan cerita utamanya. Ia akan memperlihatkan sisi-sisi Arthur Morgan yang lain — aktiviti-aktiviti yang dilakukan Arthur di belakang rakan-rakannya dalam geng yang tidak diketahui mereka. Ada kisah yang lucu, tegang, berilmu dan semestinya ada juga kisah romantis. Jadi, kalau nak tahu sisi romantis Arthur, perlulah mainkan side-mission. Ehem.
Spoiler: Segagah-gagah Arthur pun, apabila termakan pujuk rayu seseorang yang bernama wanita, dia tetap tewas.
Apa Yang Kurang?
Di sebalik ia merupakan sebuah game yang mantap, pastinya ia tidak lari daripada beberapa kekurangan. Pertama sekali, cover system, terutamanya ketika aksi menembak, terasa kurang lancar. Banyak situasi di mana penulis ingin berlindung di satu kotak/batu itu, ia pergi ke arah kotak yang lain — membuatkan penulis terdedah kepada sudut yang lebih berbahaya.
Keduanya, apabila ingin loot musuh-musuh yang berjaya dihapuskan, ia juga kurang lancar, lebih-lebih lagi apabila beberapa mayat musuh itu bertindan. Ingin loot musuh ini, musuh itu pula yang dia loot.
Selain itu, weapon cycling juga kurang menyenangkan. Ia sesuka hati menukar posisi senjata yang diletakkan oleh penulis sebelum itu. Makna kata, sebagai contoh, penulis sudah letakkan senjata A di slot 1, kemudian masuk ke mission lain, senjata A itu tiba-tiba tertukar ke slot 2, dan slot 1 diletakkan dengan senjata B. Ia menjadi bersepah.
Kesimpulan – BOLEH BELI or BOLEH BLAH!?
Red Dead Redemption 2 merupakan sebuah game yang serba lengkap. Kisahnya cukup mendalam, gameplaynya sangat mantap, side mission-nya tidak repetitif, open-world-nya yang “hidup”, endgame-nya tidak membosankan, lagu dan sinematiknya yang indah — tidak pernah penulis mainkan sebuah game yang sesempurna ini.
Penulis mulakan RDR2 dengan harapan ia bakal menjadi Game of the Year (GOTY) untuk tahun 2018 ini, namun ternyata penulis silap. RDR2 bukanlah GOTY, tetapi game story-driven terbaik yang pernah penulis main setakat ini dalam hidup. Ia sememangnya sebuah game BOLEH BELI untuk semua.
Sukar untuk gambarkan mengapa ada pemain yang rasa game ini tidak berbaloi untuk dimainkan. Mungkin sekiranya korang tidak gemarkan latar belakang koboi, mahukan kenderaan, senjata dan suasana yang moden seperti dalam GTA, tidak suka jalan cerita yang terlalu panjang, dan mahukan sebuah game yang lebih ringkas, game ini BOLEH BLAH.
+ Jalan cerita yang memberikan kesan sangat mendalam
+ Penamat menyentuh perasaan
+ Perkembangan watak yang memikat
+ Sinematografi & lagu yang indah
+ Menyambung kisah antara RDR2 dan RDR1 dengan baik
+ Pelbagai unsur realisme
+ Gameplay memburu/crafting yang teliti
+ Open-world yang “hidup”
+ Bonding antara pemain dan kuda
+ Side-mission yang unik
– Cover system kurang lancar
– Looting kurang lancar
– Weapon cycling yang bersepah
Comments
Loading…