Sejak lebih sedekad yang lalu, Cristiano Ronaldo sentiasa menjadi antara pemain dengan rating tertinggi dalam siri game FIFA.
Setiap kali FIFA baharu keluar, kita akan tengok dulu siapa lebih tinggi rating — Ronaldo atau Lionel Messi.
Walau bagaimanapun, era itu mungkin sudah sampai ke penghujungnya. Dalam kemaskini terbaharu, EA Sports nampaknya telah menurunkan rating Ronaldo dalam FIFA 23 kepada 88 — turun dua mata berbanding 90 ketika game tersebut dilancarkan pada September lalu.
Tentunya penurunan ini tidak begitu mengejutkan memandangkan pemain legenda itu sudah berusia 37 tahun dan tidak lagi bermain di peringkat tertinggi bola sepak Eropah. Lebih-lebih lagi apabila beliau dan pasukan Portugal tidak menunjukkan prestasi yang memberangsangkan dalam Piala Dunia FIFA Qatar baru-baru ini.
Selepas dilepaskan oleh Manchester United, Ronaldo kini berkelana di sebuah kelab Arab Saudi, Al Nassr.
Sebagai perbandingan, Messi masih lagi mempunyai rating setinggi 91. Tentunya juga tidak mengejutkan memandangkan beliau baru sahaja memimpin pasukan Argentina menjuarai Piala Dunia, serta masih lagi bermain dengan salah satu pasukan terbesar Eropah, iaitu PSG.
Bagaimana pula agaknya rating mereka dalam game bola sepak EA Sports yang akan dilancarkan tahun ini? Bagi korang yang tidak tahu, game tersebut kelak akan digelar EA Sports FC kerana kerjasama antara EA dan FIFA telah tamat.
Comments
Loading…