in , ,

Ratchet and Clank: Rift Apart: Boleh Beli or Boleh Blah!?

Peminat PlayStation semestinya tidak asing lagi dengan siri game Ratchet and Clank, sebuah siri yang menjadi salah satu ikon game untuk konsol tersebut.

Siri Ratchet and Clank yang pertama telah dilancarkan pada tahun 2002 sebagai salah satu game eksklusif untuk PlayStation 2. Semenjak itu, siri ini tidak pernah terlepas untuk dilancarkan secara eksklusif bagi setiap generasi konsol PlayStation.

Kini, pada tahun 2021 Ratchet and Clank kembali lagi dengan siri yang baharu, Ratchet and Clank: Rift Apart. Game ini dibangunkan oleh Insomniac Games, studio yang terkenal dengan siri game Spider-Man, Ratchet and Clank: Rift Apart telah menarik perhatian umum apabila teaser gameplay game ini dipertontonkan secara umum ketika pelancaran PlayStation 5 pada pertengahan tahun 2020. Ratchet and Clank: Rift Apart akan dilancarkan secara rasmi pada 11 Jun 2021 sebagai game eksklusif bagi konsol PlayStation 5.

Ayuh kita teruskan review.

Apa yang berlaku sebenarnya?

Makluman penting untuk semua pembaca, Ratchet and Clank: Rift Apart bukanlah sequel kepada game reboot Ratchet and Clank yang telah dilancarkan pada tahun 2016. Insomniac Games telah mengesahkan bahawa siri kali ini merupakan sequel kepada siri Rachet and Clank: Into the Nexus yang dilancarkan pada tahun 2013 untuk PlayStation 3.

Selepas sekian lama menghilangkan diri, Dr. Nefarious kembali menyerang Ratchet dan Clank di Megalopolis dan membuat huru-hara di bandar tersebut dengan menggunakan senjata Dimensionator, sebuah senjata yang mampu membawa ke dimensi dan alur masa yang lain. Namun, senjata tersebut telah mengalami kerosakan dan menyebabkan ketidakstablian dimensi di seluruh galaksi.

Dalam ketidakstabilan tersebut, Ratchet dan Clank bertemu Rivet, seorang (ke seekor?) Lombax yang sama seperti Ratchet yang turut terkesan di dalam dimensi beliau akibat ketidakstabilan itu. Rachet and Rivet harus berganding bahu bagi memulihkan senjata tersebut dan menyelamatkan dimensi mereka daripada ancaman Dr. Nefarious dan musuh yang lain.

Lebih luas, padat & hidup

Pada awal kemasukan anda di dalam game ini anda akan disajikan dengan keluasan bandar Megalopolis dan sekitarnya. Bukan itu sahaja, watak-watak sampingan yang ada di kawasan sekitar juga hidup dan tidak pasif. Anda akan berasa seolah-olah berada di bandar yang hidup bersama penduduk-penduduk sekitar.

Kekacauan ketika bandar tersebut diserang juga memainkan peranan penting dalam menaikkan adrenalin pemain untuk sentiasa bergerak dan melawan musuh. Penduduk yang berlari dalam suasana haru biru akan membuatkan pemain sedikit panik dalam mencari musuh untuk ditembak. Pengalaman mengembara di setiap planet juga sangat berbeza jika dibandingkan dengan reboot game ini pada tahun 2016.

Sebagai contoh pengembaraan di Nefarious City memberikan pengalaman yang mirip seperti di Night City dalam game Cyberpunk 2077, bandar yang hidup di waktu malam dihiasi lampu neon di pelosok bangunan dan padat dengan penduduk robot yang merayau-rayau. Keluasan map juga turut ditambah dan lebih banyak kawasan boleh diteroka di setiap planet yang dilawati.

Gameplay meriah dengan pembaharuan

Jika siri sebelum ini anda akan bermain sebagai Ratchet, namun pada siri kali ini anda akan bermain secara bertukar-tukar antara watak Ratchet dan Rivet untuk hampir keseluruhan game.

Walaupun anda bertukar-tukar watak untuk pengembaraan di setiap planet, anda tidak perlu risau kerana perbezaan watak Ratchet dan Rivet ini hanyalah jantina mereka. Segala pergerakan dan animasi mereka sama sahaja bahkan kedua-dua watak ini juga berkongsi senjata yang sama sepanjang game.

Selain watak Ratchet dan Rivet, untuk sebahagian kecil game ini anda juga akan bermain sebagai Clank untuk misi menyelesaikan masalah secara teka-teki dan tambahan watak Glitch, seekor labah-labah bersaiz mikro yang anda akan gunakan untuk memusnahkan virus di dalam mesin-mesin yang telah dijangkiti.

Walaupun masih mengekalkan sebahagian elemen gameplay yang lama, terdapat juga penambahbaikan sangat ketara yang akan membuatkan anda semakin teruja untuk bermain game ini. Dengan pilihan senjata yang lebih banyak, anda boleh menukar lebih banyak senjata daripada satu senjata ke senjata lain ketika bertempur dengan musuh.

Kebanyakan senjata dalam sekuel kali ini merupakan senjata yang baharu dan mempunyai keunikannya tersendiri. Senjata seperti Topiary Sprinkler yang mampu mengubah musuh menjadi tumbuhan hijau dan kaku untuk beberapa saat serta Negatron Collider yang mampu memancarkan beam ke arah musuh seperti anda membuat serangan kamehameha!

Setiap senjata pasti memberikan pemain pengalaman yang baharu dan memuaskan. Gameplay yang sangat straightforward membuatkan game ini senang difahami untuk semua lapisan masyarakat yang sudah akil baligh. Jika anda seorang yang rumit dan sukakan kerumitan, ini mungkin bukan game yang sesuai untuk anda.

Sepanjang anda bermain game ini, anda akan menerokai satu demi satu elemen gameplay yang baharu. Fungsi seperti wall-run, menaiki siput laju bernama Speetle serta bergayut seperti Spiderman untuk pergi ke dimensi lain antara fungsi baharu yang akan menambah keterujaan anda.

Fungsi photo mode juga merupakan salah satu fitur baharu yang ditambah di dalam sekuel kali ini.

Pengembaraan di setiap planet juga bukan hanya untuk menyelesaikan objektif utama semata-mata, seperti siri sebelum ini anda juga boleh unlock item rahsia dengan menyelesaikan objektif sampingan yang dijumpai di dalam setiap planet.

Selain itu, anda bukan sahaja boleh menaik taraf senjata yang anda beli malah anda juga boleh mengubah suai armor yang anda pakai! Walau bagaimanapun armor tersebut perlu anda cari terlebih dahulu di planet-planet yang anda lawati sama ada dengan melakukan objektif sampingan atau anda meneroka sendiri planet tersebut untuk mencari armor rahsia.

Ini baru betul-betul next gen!

Sepertimana yang kita tahu, Ratchet and Clank: Rift Apart akan dilancarkan secara eksklusif untuk Playstation 5. Oleh itu, sudah pasti game ini akan menggunakan sepenuhnya kelebihan teknologi next-gen yang sudah dipateri di dalam konsol PlayStation 5.

Penulis merasakan antara perkara yang membuatkan game ini sangat menonjol adalah persembahan grafik yang sangat memukau. Mode grafik yang dipilih ketika penulis bermain game ini ialah Fidelity mode yang memfokuskan lebih kepada persembahan grafik dengan kelebihan teknologi Ray-Tracing. Walaupun mode ini akan mengunci gameplay anda kepada 30fps sahaja, namun persembahan grafik yang ditonjolkan boleh membuatkan anda lupa terhadap frame rate yang dihadkan.

Mengambil kata-kata dari penulis Jordan Middler di BBC The Social, ianya seperti bermain filem animasi Pixar.

Model animasi dan persekitaran di dalam game ini sangat hidup dan menakjubkan. Teknologi ray-tracing memainkan peranan yang penting dalam memberikan perincian yang memukau.

Contoh gambar di atas ini telah ditangkap menggunakan photo mode dalam game, anda boleh nilai sendiri betapa cantiknya model grafik yang dipaparkan dalam game ini. Selain Fidelity mode, game ini juga hadir dengan dua lagi mode iaitu Performance mode dan Performance RT mode. Di dalam performance mode anda akan bermain di dalam resolusi 4k dengan 60fps namun persembahan grafik dalam mod ini akan diterhadkan tanpa kelebihan ray-tracing. Untuk mode Performance RT pula anda akan bermain dalam 60fps bersama kelebihan grafik sama seperti mode Fidelity namun dari segi resolusi ianya diterhadkan kepada resolusi yang lebih rendah, sama seperti game Spiderman: Miles Morales yang hadir dengan mode yang sama juga.

Selain elemen grafik, kelajuan custom SSD daripada PlayStation 5 juga memberi kelainan yang ketara dalam perjalanan game ini. Penulis boleh jamin tiada langsung loading screen sepanjang game ini. Paling penulis kagum adalah transisi antara babak cinematic ke gameplay sebenar yang sangat lancar. Tiada langsung tempoh menunggu untuk transisi antara babak cinematic ke gameplay, seolah-olah semua babak menggunakan in game engine juga.

Siri kali ini juga mengetengahkan fungsi Haptic Feedback dan Adaptive Trigger daripada controller DualSense yang memberikan satu sensasi baharu kepada gameplay terutamanya ketika menggunakan senjata. Fungsi Adaptive Trigger di controller DualSense memainkan peranan penting dalam memberi satu tekanan di butang L2 ketika menembak menggunakan senjata. Tekanan ini berbeza mengikut senjata yang anda gunakan. Namun penulis yakin ada juga dalam kalangan pemain tidak gemar dengan fungsi ini kerana sedikit mengganggu ketika pertempuran dengan musuh.

Cubaan untuk menyentuh hati

Siri Ratchet and Clank semestinya terkenal dengan unsur humor sepanjang game namun jalan cerita kali ini penulis lihat lebih kepada untuk menyentuh jiwa berbanding siri sebelumnya.

Penulis merasakan ini bukanlah satu isu yang besar tetapi lebih bersifat abstrak kepada individu yang bermain game ini. Penulis juga berpendapat bahawa penulisan jalan cerita seperti ini akan membuat sebuah game itu lebih menarik dan bersifat dinamik. Seperti game-game yang mempunyai story mode yang bagus, ianya sedikit sebanyak akan memberi kesan dan menjadikan pengalaman bermain sesuatu game itu lebih bermakna.

Kata-kata petikan yang dilontarkan daripada watak-watak ini juga secara tidak langsung dapat memberikan sedikit motivasi kepada pemain di dunia nyata. Bukan nak cakap game ni terlalu menyentuh hati, tetapi cubaan tersebut menghidupkan sedikit sebanyak jalan cerita game ini.

Sedikit glitch

Setiap game tidak akan pernah terlepas dengan glitch terutama pada awal pelancaran. Terdapat beberapa glitch yang penulis rasa dapat merencatkan pengalaman pemain ketika bermain game ini.

Glitch ini kebiasaannya berlaku ketika penulis ingin bertukar senjata akan tetapi fungsinya tidak responsif dan penulis masih menggunakan senjata yang sama. Kadangkala berlaku juga glitch di mana penulis tersangkut di tengah-tengah misi yang sepatutnya masuk ke babak yang lain menyebabkan penulis terpaksa mengulang semula checkpoint. Penulis berharap pihak pembangun dapat mengenal pasti semua glitch ini dan membaiki semua ini di dalam patch hari pertama pelancaran.

Keputusan – Boleh beli or Boleh Blah?

Tanpa sebarang keraguan, Ratchet and Clank: Rift Apart berjaya memberikan satu nafas baharu kepada francais game ini dengan penambahbaikan yang ketara berbanding siri Ratchet and Clank yang sebelumnya.

Gabungan grafik yang mengagumkan serta gameplay yang mengasyikkan dapat meletakkan francais ini di landasan yang betul untuk siri yang akan datang. Pelancaran game Ratchet and Clank: Rift Apart ini juga berjaya memberikan satu gambaran tentang kemampuan PlayStation 5 yang mampu menjadikan pengalaman bermain lebih lancar dan pantas.

Jika anda seorang pemilik PlayStation 5, maka jangan lepaskan peluang anda untuk mencuba game ini. Walaupun terdapat beberapa glitch di dalam game ini tetapi penulis yakin pihak pembangun akan membaiki masalah ini dalam masa terdekat ini dengan updated patch yang dijangka hadir pada hari pertama pelancaran.

Jadi persoalannya, boleh beli atau boleh blah? Penulis tiada masalah bermain game genre ini yang menerapkan elemen karakter fiksyen haiwan yang comel sebagai watak utama. Jika anda seorang yang santai dan pencinta haiwan seperti penulis maka anda boleh beli game ini. Jika anda seorang yang meminati game yang lebih ganas, mencabar otak, punk, kasar dan suka menendang haiwan comel di hadapan surau berdekatan anda, maka game ini boleh blah untuk anda beli.

+ Grafik persis animasi Pixar.
+ Gameplay yang straightforward tetapi mengasyikkan.
+ Pilihan senjata yang banyak dan unik.
+ Loading antara babak yang pantas.
+ UI yang memudahkan.

– Glitch yang merencatkan pengalaman bermain

Written by Kamil Geekz

Maznah ke tu?

Casual gamer yang selalu berpakaian smart casual.

Comments

JomKomen!

Loading…

0

Bukan ‘Quarantine’ Atau ‘Parasite’, Judul Rasmi Kini Adalah Rainbow Six Extraction, Gameplay Pertama Minggu Ini

Saksikan Teaser Pertama Rainbow Six Extraction – Sesuatu Misteri Telah Merebak