Kami telah laporkan sebelum ini bahawa PlayStation Asia telah mendedahkan berita ini lebih awal.

Kini, Sony secara rasmi telah mengumumkan bahawa PS4 bakal menghentikan sokongan fungsi integrasi dengan Facebook bermula dari semalam, iaitu 7 Oktober 2019.

Apa yang bakal terjadi terhadap penamatan fungsi ini? Para pemain PS4 tidak lagi boleh berkongsikan media seperti screenshots, video dan info Trophy yang diperolehi secara terus ke platform Facebook. Namun jangan risau kerana penamatan ini hanya untuk Facebook — para pemain masih lagi boleh berkongsi media-media ini secara terus ke Youtube dan Twitter.

Selain itu, penamatan ini turut menghentikan fungsi integrasi lain dengan Facebook seperti menambah rakan melalui akaun Facebook dan mengimport profile picture dari Facebook.

Disebabkan tiada lagi fungsi import profile picture dari Facebook, Sony menggalakkan pemain untuk memilih profile picture yang ada dalam PS4, yang boleh dipilih melalui [Settings] > [Account Management] > [Account Information] > [Profile] > [Profile Picture]. Malah, pemain juga boleh muatnaik gambar dari peranti mobile melalui PlayStation App.

Sony walau bagaimanapun tidak menyatakan apakah alasan mereka di sebalik penamatan fungsi ini secara mengejut. Mengapakah agaknya?

JomKomen!