in , , , , , , ,

Rasmi: EA Akan Guna ‘EA Sports FC’ Bermula Tahun Depan, ‘FIFA’ Terakhir Tahun Ini

EA akhirnya telah mengumumkan nama baharu rasmi yang bakal mereka gunakan untuk francais game bola sepak mereka, dan seperti banyak dilaporkan sebelum ini, nama tersebut ialah ‘EA Sports FC’.

Juga seperti yang ramai jangkakan, penggunaan nama baharu ini hanya akan bermula dalam game bola sepak keluaran EA Sports pada tahun hadapan. Untuk tahun ini, buat kali terakhir sejak hampir 30 tahun, EA akan menggunakan nama ‘FIFA’.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, EA ingin memastikan yang perubahan ini hanya terletak kepada judulnya sahaja. EA menekankan yang game EA Sports FC yang akan dilancarkan pada tahun hadapan akan menampilkan lebih 300 lesen yang merangkumi lebih 19,000 pemain, lebih 700 pasukan, lebih 100 stadium dan 30 liga termasuklah Premier League, LaLiga, Bundesliga, Serie A, MLS dan banyak lagi.

Tentunya, mode-mode utama seperti Ultimate Team, Pro Clubs, Career Mode dan lain-lain akan terus dikekalkan.

“Platform bebas baharu ini akan membawakan peluang yang menyegarkan — untuk berinovasi, mencipta dan berkembang,” kata Cam Weber, EVP, Group GM EA SPORTS & Racing. “Ini lebih daripada sebuah pertukaran simbol — sebagai EA Sports, kami komited untuk memastikan EA Sports FC adalah satu simbol perubahan.”

Dalam kenyataan ini, EA turut melampirkan sekali kenyataan daripada lesen-lesen utama yang akan terus menghiasi EA Sports FC pada tahun hadapan iaitu Premier League, LaLiga, Bundesliga, UEFA, CONMEBOL, dan NIKE.

Ya, NIKE juga merupakan antara jenama dan lesen yang turut disebut-sebut sebelum ini. CEO EA, Andrew Wilson sebelum ini pernah berkata yang disebabkan EA menjalin kerjasama dengan Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), yang mempunyai rakan kongsi Adidas, EA tidak dapat menjalin kerjasama bersama NIKE. Nampaknya, impian EA akhirnya telah tercapai.

EA menyatakan yang butiran lebih lanjut tentang EA Sports FC akan mereka kongsikan dalam bulan-bulan mendatang.

Di sebalik bermacam janji yang mereka taburkan untuk pelan besar EA Sports FC pada tahun hadapan, EA turut memastikan yang mereka tidak akan menganaktirikan jenama game FIFA terakhir yang bakal mereka keluarkan pada tahun ini.

EA menggambarkan game FIFA pada tahun ini merupakan “paling meluas” yang mereka akan bawakan. EA berjanji untuk menyajikan FIFA terbaik pada tahun ini, dengan lebih banyak fungsi, game mode, kandungan Piala Dunia, kelab-kelab, liga-liga dan para pemain berbanding mana-mana FIFA yang pernah dikeluarkan sebelum ini.

Walau bagaimanapun, EA belum lagi mengesahkan yang game bola sepak mereka pada tahun ini akan digelar ‘FIFA 23’. Mungkinkah akan ada satu nama istimewa yang akan digunapakai untuk tahun terakhir kerjasama antara EA dan FIFA ini?

Written by Faiz Tobeng

Abang ini berpersonaliti jiwang di luar dan berjiwa pahlawan di online gaming. Casual gamers yang juga peminat tegar Battlefield series & PES (tapi sekarang dah berpaling tadah ke FIFA).

Comments

JomKomen!

Loading…

0

[VIDEO] Saksikan Red Dead Redemption, The Last of Us Dibikin Semula Dalam Unreal Engine 5

FIFA Akan Lancarkan Game Bola Sepak Sendiri Untuk Menyaingi EA Sports FC, Dibangunkan Studio Lain