Musim ketiga dalam Year 4 untuk Rainbow Six Siege, digelar Operation Ember Rise, bakal tiba tidak lama lagi. Terbaru, Ubisoft telah mendedahkan beberapa kandungan yang bakal dibawakan dalam kemaskini akan datang itu.

Dua Operator terbaru akan ditampilkan, iaitu Operator menyerang Amaru dari Peru, dan Operator bertahan Goyo dari Mexico.

Goyo mempunyai deployable shield yang apabila dilihat mungkin nampak seperti deployable shield biasa. Namun, shield ini ada kejutannya. Di belakang shield ini, terdapat bahan letupan. Apabila ada letupan berdekatan, atau ditembak oleh mana-mana pemain sama ada rakan sepasukan atau pihak lawan, shield ini akan menghasilkan letupan yang agak besar.

Kemudian, letupan itu akan mewujudkan kebakaran di sekitar yang bakal melambatkan pergerakan mana-mana pemain untuk menembusi. Cuba untuk melintasi api yang marak tersebut? Bersedia untuk terbakar!

Amaru mempunyai gajet grappling hook yang akan membuatkan pergerakan pemain ini cukup pantas. Melalui grappling hook ini, Amaru boleh ‘terbang’ masuk ke dalam mana-mana tingkap, bumbung serta lubang-lubang lantai (hatch). Namun, bergerak pantas tidak semestinya bijak. Perangkap-perangkap yang diletakkan di tingkap serta bunyi hook yang terlalu kuat membuat pergerakan Amaru juga membahayakan diri sendiri.

Korang boleh tonton video yang dikeluarkan Ubisoft di bawah untuk mengetahui lebih lanjut serta menyaksikan dua Operator terbaru ini beraksi.

Selain itu, musim baru ini turut akan membawakan map Kanal yang telah ditambahbaik. Beberapa rekaan map ini telah diubahsuai, seperti menambah satu lagi jambatan antara dua bangunan utama itu, bumbung yang direka semula supaya lebih berpihak kepada pasukan penyerang, serta mengurangkan bilangan tingkap yang ada.

Rainbow Six Siege boleh dimainkan di PC, PS4 dan Xbox One.

JomKomen!