in , , , ,

Rainbow Six Extraction: Boleh Beli or Boleh Blah!?

Ketika di puncak popularitinya pada 2018, Ubisoft pernah membawakan satu mode waktu terhad percuma dalam Rainbow Six Siege yang digelar Operation Outbreak.

Sedikit berbeza dengan identiti Siege yang merupakan sebuah game memfokuskan kepada multiplayer pemain-lawan-pemain (PvP), Outbreak memperkenalkan mode baharu bertemakan co-op pemain-lawan-AI (PvE).

Bertitik tolak daripada mode waktu terhad yang hanya berlangsung selama sebulan itu, Ubisoft telah mengambil langkah lebih berani dengan membangunkan sebuah game penuh berasingan (standalone) yang menggunakan teras utama dari Operation Outbreak ini.

Apa yang penulis boleh katakan mengenai game yang asalnya berjudul Rainbow Six Quarantine — kemudian ditukar kepada Rainbow Six Extraction setelah wabak pandemik COVID-19 melanda dunia — ia sepatutnya hanya kekal sebagai sebuah mode waktu terhad sahaja dan tidak sesuai dijadikan sebuah game standalone.

Mengapa penulis mengatakan sebegitu? Jom ikuti reviu ini.

Parasit Tak Diundang

Extraction bukan sahaja mengambil inspirasi teras gameplay dari Operation Outbreak, malah kisah latar belakang (lore) yang digunakan juga merupakan cerita yang sama. Dalam kata lain, Extraction seolah-olah satu ‘sekuel’ kepada mode waktu terhad Outbreak itu.

Satu endemik telah berlaku di New Mexico. Ibu pejabat Rainbow telah menubuhkan sebuah pasukan khas, digelar REACT, untuk mengkaji apa yang berlaku, seterusnya mengawal dan menghapuskan segala ancaman yang muncul dari kawasan tersebut.

REACT disertai oleh pelbagai unit anti-pengganas (CTU) terbaik dari beberapa negara seluruh dunia, beradu tenaga bagi membendung marabahaya ini. Dijadikan cerita, parasit ini, yang kemudiannya dipanggil Archaen, telah merebak ke beberapa negeri lain di Amerika Syarikat.

Korang jangan salah faham pula. Kisah yang penulis sebutkan di atas hanya lore yang digunakan untuk menggerakkan gameplay-nya sahaja. Extraction bukanlah sebuah game yang memfokuskan kepada story.

Sistem MIA

Gameplay yang diterapkan dalam game ini amatlah ringkas. Para Operator (co-op 3 pemain) diarahkan untuk turun semula ke lokasi-lokasi tercetusnya parasit itu, yang mana tempat-tempat itu sudahpun berjaya dikuarantin.

Tugas para pemain adalah untuk mengkaji lebih terperinci mengenai Archaen, untuk lebih memahami dan seterusnya mengekangnya. Kaedah-kaedah kajian yang berbeza membawa kepada variasi objektif yang disediakan kepada para pemain.

Misalnya, ada misi yang diarahkan untuk mengambil sampel dari sarang-sarang Archaen, ada misi yang hanya memusnahkan sahaja sarang-sarang itu, ada misi yang kita perlu mengumpan sesetengah jenis zombi ini dan bawanya balik ke makmal dan banyak lagi.

Misi yang penulis paling gemar adalah misi Rescue iaitu menyelamatkan Operator yang telah terperangkap dalam kawasan berbahaya itu, dan misi ini terasa terhibur disebabkan sistem Missing-In-Action (MIA) yang diperkenalkan Ubisoft.

Setiap kali menjalankan satu-satu misi, pemain akan terdedah kepada risiko kehilangan Operator yang digunakan. Situasi ini boleh berlaku sekiranya ketika menjalankan misi tersebut, pemain mati di lokasi dan tidak berjaya kembali (Extract) ke pangkalan dengan selamat, sekaligus dicop sebagai MIA.

Sebagai contoh, sekiranya pemain menggunakan Pulse untuk misi kali ini, namun misi tersebut diakhiri dengan kegagalan, dan Pulse pun terperangkap di dalam tempat kuarantin itu. Pemain tidak akan dibenarkan untuk menggunakan Pulse dalam misi-misi seterusnya sehinggalah pemain itu sendiri (dan rakan-rakan) berjaya menyelamatkan (Rescue) dan membawa Pulse pulang.

Dalam kata lain, misi yang gagal itu tadi, pemain dan rakan-rakan perlu masuk semula ke tempat yang sama itu tadi dalam misi seterusnya menggunakan Operator yang lain selain Pulse (kerana Pulse kini terperangkap).

Misi menyelamatkan Operator juga merupakan misi dengan gameplay yang paling menarik dan paling memerlukan kerjasama yang jitu daripada setiap pemain. Apabila masuk semula ke tempat yang gagal itu tadi, Pulse (contoh tadi) yang terperangkap itu seumpama terikat di sebatang pokok mengerikan.

Seorang pemain perlu sentiasa menarik Pulse dari pokok itu dalam tempoh beberapa minit tanpa henti, dalam masa sama dua pemain lain cuba menghapuskan akar-akar keras di sekeliling yang mengikat Pulse itu, sambil perlu bertahan daripada zombi-zombi lain turut datang menyerang.

Sistem MIA ini amat baik kerana pertama, ia menambah naratif yang lebih masuk akal kepada lore Extraction itu sendiri. Iyalah, Operator yang gagal dan terperangkap perlu diselamatkan. Lebih logik.

Kedua pula, ia memberikan gameplay yang lebih menarik kerana para pemain perlu lebih berhati-hati untuk mengambil risiko membahayakan Operator mana yang mungkin akan dicop MIA. Strategi yang lebih bijak perlu difikirkan.

Waktu Rehat Untuk Pemain Siege

Penulis boleh sifatkan Extraction sebagai satu sesi atau waktu rehat untuk para pemain utama Siege yang tentunya sentiasa bermain pusingan-pusingan yang menegangkan dalam game multiplayer itu.

Dengan menggunakan Operator-Operator yang sama dari Siege (bukan semua, tapi sebahagian), Extraction boleh dikatakan sebagai satu game sampingan yang seumpama seseorang pekerja itu perlu pergi ke kursus latihan yang disediakan oleh majikan untuk memperluas pengetahuan.

Para pemain boleh membiasakan atau mencuba Operator-Operator yang jarang digunakan, dalam suasana yang tetap mencabar melawan ‘zombi-zombi’ itu, tetapi tidaklah terlalu memerah otak seperti melawan pemain lain dalam Siege yang amat mendebarkan.

Malah, penulis juga merasakan yang Extraction adalah satu game yang sesuai untuk para pemain yang tidak pernah bermain Siege, mungkin tertarik dengan mekanisme yang dibawakan ke dalam Operator-Operator dalam Siege, tetapi tidak gemarkan atau belum bersedia untuk bermain multiplayer PvP.

Tak Mampu Bertahan Lama

Di sebalik keseronokan yang penulis sebutkan di atas, penulis masih merasakan keputusan untuk menjadikan mode waktu terhad Outbreak kepada sebuah game penuh standalone Extraction adalah satu keputusan yang tidak meyakinkan.

Setelah bermain game ini dalam tempoh jam yang mencukupi, ya, ada satu atau dua detik yang membuatkan penulis terhibur, namun itu sajalah. Keseronokan itu hanya bertahan dalam 2 atau 3 minit saja.

Secara keseluruhan, Extraction sebenarnya membosankan. Setiap kali tamat satu-satu pusingan, penulis dan rakan-rakan akan berkata, “nak buat apa lagi lepas ni?”

Skop Kecil

Extraction merupakan sebuah game dengan skop dan cita-cita yang jauh lebih kecil berbanding kebanyakan game yang dibangunkan Ubisoft.

Apabila bercakap soal game dengan skop yang kecil, maka apa yang mereka boleh sajikan juga tidak banyak. Ya, ia mungkin telah mencapai objektifnya untuk membikin sebuah game co-op PvE, namun setakat itu sahajalah kandungan dan gameplay yang mereka boleh tampilkan.

Sebagai sebuah game co-op PvE, ia sepatutnya mempunyai banyak idea gameplay yang lebih luas dan bermacam rencah seperti kebanyakan game co-op lain yang ada di luar sana. Namun, disebabkan ia menggunakan asas senjata, Operator dan rekaan map yang sama dengan Siege, iaitu sebuah game yang asalnya direka untuk fokus kepada multiplayer, maka tidak banyak idea itu boleh dikembangkan dalam Extraction.

Dalam tempoh 5-10 jam pertama, mungkin para pemain akan melekat dengan game ini, namun penulis tidak temukan apa yang mampu membuatkan para pemain akan terus bertahan bermain game ini sehingga lebih daripada 10 jam.

Setiap misi itu sentiasa berulang-ulang (repetitive), walaupun bertukar-tukar lokasi. Ia hanya berubah map, namun cara bermainnya tetaplah serupa sahaja. Ya, ia ada mode-mode lain yang jauh lebih sukar, namun itu hanyalah satu variasi yang cuma menambah kesukarannya (difficulty) semata-mata.

Extraction seolah-olah sebuah game yang terikat dengan satu peraturan untuk tidak lari terlalu jauh daripada Siege, iaitu sebuah game multiplayer PvP, maka ia telah membataskan potensi Extraction sendiri sebagai sebuah game PvE. Sejujurnya, penulis masih ingat bagaimana Operation Outbreak dimainkan suatu ketika dulu, dan ianya jauh lebih menyeronokkan berbanding Extraction.

Game ini seumpama satu permainan selamat yang cuba dilakukan oleh Ubisoft. Penulis tidak berani mengatakan game ini adalah satu kegagalan, tetapi disebabkan isi-isi yang penulis sebutkan di atas, ia membantutkan game ini menjadi sebuah game yang sepatutnya lebih baik.

Seperti biasa, skrip yang sama diulang lagi oleh Ubisoft. Memperkenalkan sebuah game yang mempunyai potensi yang begitu besar, namun disempitkan dengan kekangan-kekangan yang tidak seharusnya berlaku.

Keputusan – BOLEH BELI or BOLEH BLAH!?

https://youtu.be/exqEFVLCMOE

Seandainya korang sebelum ini tertarik dengan Operator-Operator yang ada dalam Siege, namun tidak pernah berhasrat untuk bermain game itu kerana tidak gemar bermain online multiplayer PvP, maka Extraction adalah game yang BOLEH BELI untuk merasai sebahagian Operator itu dalam persekitaran PvE. Tambahan, game ini sesuai untuk bermain dengan rakan-rakan di platform lain kerana ia menyokong cross-play sepenuhnya antara PC dan konsol.

Kepada para pemain sedia ada Siege, sekiranya ingin lari daripada multiplayer Siege yang cukup menegangkan, maka bolehlah cuba Extraction yang sedikit santai. Tetapi, janganlah terlalu berharap yang game ini akan menyajikan satu pengalaman yang luar biasa.

Penulis masih merasakan untuk mendapatkan nikmat sebenar bermain Operator-Operator ini, pengalaman terbaik hanya boleh didapati melalui Siege. Kalau korang mahukan game yang mempunyai nilai pembelajaran dan kandungan yang lebih mendalam dan terperinci, game ini adalah BOLEH BLAH kerana dalam tempoh 5-10 jam permainan, korang sudah tidak akan tahu untuk buat apa lagi dalam game ini.

Rainbow Six Extraction boleh dimainkan di PC, PS5, PS4, Xbox Series dan Xbox One.

+ Lebih santai berbanding Siege
+ Sistem MIA
+ Cross-play penuh

– Kurang variasi misi
– Potensi PvE dibantutkan
– Keseluruhan gameplay bosan
– Kurang kandungan

– Terikat dengan asas-asas dari Siege
– Pengalaman terbaik masih lagi dalam Siege

Written by Faiz Tobeng

Abang ini berpersonaliti jiwang di luar dan berjiwa pahlawan di online gaming. Casual gamers yang juga peminat tegar Battlefield series & PES (tapi sekarang dah berpaling tadah ke FIFA).

Comments

JomKomen!

Loading…

0

Microsoft Tiada Niat Tarik Komuniti Game Activision Blizzard Dari PlayStation, Kata Box Xbox

Trailer Baru Horizon Forbidden West Memperkenalkan Carrie-Anne Moss, Angela Bassett