Pemain-pemain PES, inilah masanya untuk korang harumkan nama negara!

PES Malaysia telah mengumumkan pusingan kelayakan peringkat Malaysia untuk game PES 2018 bagi pertandingan demonstrasi esport Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang. Korang jangan tak tahu, ini merupakan pusingan kelayakan rasmi, diiktiraf Persatuan Esukan Malaysia (ESM) dan Majlis Sukan Negara, yang mana pemenang akan dikira sebagai wakil negara yang sah!

Pusingan kelayakan ini akan diadakan pada 26 Mei ini di Nagaming, Kuala Lumpur.

Acara PES 2018 dalam Sukan Asia 2018 ini agak menarik. Ia bakal menggunakan format berpasukan, iaitu setiap pasukan mempunyai dua pemain. Perlawanan akan berlangsung seolah-olah format Piala Thomas dalam sukan badminton, yang korang boleh lihat seperti di bawah:

  • Perlawanan 1: 1v1 (individu pemain pertama)
  • Perlawanan 2: 2v2 (co-op)
  • Perlawanan 3: 1v1 (individu pemain kedua)

Seperti kebiasaan, sekiranya dua perlawanan pertama dimenangi oleh satu pasukan, perlawanan ketiga tidak perlu dimainkan.

Apa yang lebih menarik adalah setiap pasukan perlu menggunakan kelab berlainan bagi setiap perlawanan serta hanya kelab berlesen dalam PES 2018 dibenarkan (senarai kelab yang dibenarkan akan diumumkan kemudian). Lebih menyukarkan, dalam satu-satu perlawanan, kedua-dua pasukan tidak boleh menggunakan kelab yang sama. Sekiranya terdapat pemilihan kelab yang sama, lambungan syilling (coin-toss) akan dilakukan.

Pastinya acara ini bakal menyaksikan pelbagai taktik dan strategi yang digunakan. Iyalah, hanya kelab berlesen dibenarkan, tidak boleh menggunakan kelab yang sama dalam setiap perlawanan serta tidak boleh menggunakan kelab yang sama dengan pihak lawan. Jadi, pemilihan kelab untuk setiap perlawanan itu adalah penting!

Satu pasukan juara bakal dinobatkan pada hujung minggu ini. Pasukan ini akan mewakili Malaysia dan perlu melalui pusingan kelayakan di peringkat Asia Tenggara secara online terlebih dahulu. Sukan Asia 2018 hanya menyediakan dua slot bagi PES 2018 untuk rantau Asia Tenggara (tidak termasuk tuan rumah Indonesia).

Nak tahu lebih lanjut tentang pusingan kelayakan peringkat Malaysia untuk acara PES 2018 ini, korang boleh baca lagi di sini, atau hubungi terus PES Malaysia.

Kalau korang dah bersedia, boleh terus daftar nama pasukan korang di sini.

PES 2018 merupakan salah satu daripada enam game yang akan menjadi pertandingan demonstrasi esport di Sukan Asia 2018. Buat masa ini, kontinjen Malaysia hanya mengumumkan satu sahaja penglibatan, iaitu PES 2018.

JomBaca: Sukan Asia 2018 Dah Dekat – Apa Perancangan Kerajaan Baru Untuk Esports?

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.