It’s all about the money.
Antara topik hangat yang berlegar sekitar industri gaming dalam seminggu dua ini ialah tentang ketidakmahuan Sony untuk membenarkan pemain PS4 cross-play dalam Fortnite dengan pemain di platform pesaingnya, Xbox One dan Nintendo Switch.
Pelbagai pihak telah memberikan komen mereka tersendiri tentang isu ini, termasuk jugalah bekas CEO Sony Online Entertainment, John Smedley. Kata beliau, punca utama mengapa Sony melakukan tindakan ini adalah kerana duit.
Smedley menjelaskan, “Semasa saya di Sony, sebab yang dinyatakan dalam perbicangan dalaman kami adalah kerana duit. Mereka tidak suka seseorang membeli sesuatu di Xbox dan gunakannya di PlayStation. Semudah itu. Alasan yang bodoh, tetapi itulah dia.”
Smedley melontarkan kenyataan beliau ini melalui akaun Twitternya, dan apa yang menarik adalah tweet tersebut telahpun dipadamkan.
Wakil Sony sebelum ini telah memberikan komen terhadap kontroversi ini dengan menyatakan, “Dengan 79 juta PS4 telah terjual di seluruh dunia dan lebih daripada 80 juta pengguna bulanan dalam PlayStation Network, kami telah bina satu komuniti gamers yang besar yang boleh bermain bersama dalam Fortnite dan semua game online. “