PUBG Corp. telah mengumumkan kemaskini terbaru yang akan menampilkan beberapa kandungan baru yang menarik.
Yang menjadi tarikan utama ialah pengenalan sebuah map baru, digelar Karakin. Map ini adalah jauh lebih kecil berbanding semua map yang pernah dibawakan ke dalam PUBG sebelum ini — atau lebih tepat, ia hanya 2×2, kira-kira separuh daripada saiz map paling kecil sebelum ini iaitu Sanhok.
Lebih menarik, Karakin tidak akan membenarkan kemasukan sehingga 100 pemain, sebaliknya hanya akan menampilkan maksimum 64 pemain. Maka, dengan map yang lebih kecil serta bilangan pemain yang berkurangan, ia akan membawakan satu gameplay baru yang seimbang dan lebih pantas.
Karakin juga akan menyajikan satu marabahaya yang baru, digelar Black Zones. Seakan Red Zones dalam map-map lain, Black Zones pada waktu tertentu akan meluncurkan beberapa misil secara rawak di bahagian-bahagian tertentu. Sekiranya ia menyasarkan kepada bangunan, bangunan tersebut akan musnah akibat terkena letupan atau sekurang-kurangnya terjejas teruk, seterusnya membawakan satu persekitaran yang baru ke dalam game.
Selain itu, PUBG juga akan memperkenalkan satu mechanics dan gajet terbaru: menggunakan Sticky Bomb untuk memecahkan dinding. Mechanics ini mungkin boleh kita samakan seperti apa yang ada dalam Rainbow Six Siege, di mana sesetengah dinding terpilih boleh dimusnahkan menggunakan Sticky Bomb yang akan mewujudkan satu pecahan lubang yang cukup besar di dinding/lantai/bumbung. Ia akan memberikan kelebihan kepada mana-mana skuad yang menyerang atau bertahan — bergantung kepada situasi dan taktik yang sedang digunapakai.
Pada ketika ini, Karakin hanya boleh dimainkan di PUBG Test Server. Ia akan dilancarkan ke server PC umum pada 22 Januari kelak, dan membawakannya ke platform konsol — PS4 dan Xbox One — pada suatu tarikh yang belum diumumkan lagi.
Comments
Loading…