Sony sudah mengesahkan sebelum ini bahawa PS5 bukan sahaja boleh mainkan game PS4, malah akan boleh main online multiplayer bersama pemain di PS4. Malah ada juga ura-ura yang mengatakan bukan sahaja game PS4, malah game PS3, PS2 dan PS1 juga akan boleh dimainkan di PS5.
Terbaru, satu lagi laporan telah muncul yang positif memihak ke arah pengguna. Controller DualShock 4 dari PS4 dilaporkan akan boleh digunakan untuk PS5. Senang kata, PS5 nanti boleh menggunakan controller baru yang datang bersama konsol itu kelak, atau boleh juga menggunakan DualShock 4.
Laporan ini datang dari RespawnFirst, yang mana mereka mengatakan bahawa beberapa sumber mereka telah mengesahkan perkara ini.
Kalau kita ingat, dev kit PS5 yang tersebar awal bulan lalu, kita dapat lihat konsol itu dicucukan dengan DualShock 4. Dan sumber RespawnFirst juga mengesahkan lagi bahawa bukan sahaja dev kit, malah DualShock 4 akan tetap boleh dimainkan di konsol pasaran PS5 nanti.
https://twitter.com/Alcoholikaust/status/1200796076535623681?s=20
Apatah lagi, keupayaan menggunakan DualShock 4 di PS5 ini lebih tidak mengejutkan apabila lakaran paten controller untuk PS5 boleh dikatakan sangat seiras dengan controller PS4.
Sekiranya laporan ini adalah sahih, semestinya ia merupakan satu berita baik untuk semua pemain. Kita tidak perlu membeli controller PS5 tambahan untuk bermain game local multiplayer kerana boleh saja menggunakan DualShock 4 dari PS4.
Apa-apa pun, seperti biasa, jangan terlalu mengharap selagi fungsi ini belum disahkan secara rasmi oleh Sony.
Comments
Loading…