Sejak azali kewujudan PlayStation, konfigurasi butang untuk controller terbahagi kepada dua — untuk set konsol di pasaran Asia, butang ‘O’ adalah butang ‘confirm’; manakala di pasaran Barat pula, butang ‘X’ adalah butang ‘confirm’.
Terkini, kita telah mengetahui bahawa Sony bakal menstandardkan di pasaran seluruh dunia untuk PS5. Untuk konsol generasi akan datang yang bakal dilancarkan pada bulan hadapan itu, kesemua PS5 akan menggunakan butang ‘X’ sebagai butang ‘confirm’ dan butang ‘O’ sebagai butang ‘cancel/back’.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh wakil Sony kepada AV Watch (via Siliconera), mereka telah mengesahkan pertukaran konfigurasi butang secara universal ini.
“Tujuan pertukaran ini adalah untuk mengelakkan situasi di mana butang ‘confirm’ berbeza antara sistem menu dan dalam game,” kata Sony.
Sejak PS1 lagi, Sony menggunakan butang ‘O’ untuk ‘confirm’ di Jepun kerana mengikut jejak trend Nintendo yang dari awalnya menggunakan butang kanan, iaitu butang ‘A’, untuk pengesahan.
Namun, apabila dilancarkan ke pasaran Barat, masyarakat di sana sering menandakan ‘X’ sebagai sesuatu untuk penandaan yang sudah selesai — berbeza dengan masyarakat Jepun (dan kebanyakan masyarakat Asia) menggunakan tanda ‘X’ sesuatu yang salah. Maka sebab itu Sony menukarkan butang ‘X’ sebagai sesuatu untuk meneruskan perjalanan di pasaran Barat.
Selepas lebih daripada 25 tahun, nampaknya pemain di Jepun dan Asia perlu membiasakan sesuatu yang baharu dengan PS5.
Apa pandangan korang? Kongsikannya di ruangan komen.
Comments
Loading…