Seumpama terkena sumpahan yang tak dapat dinyahkan, produksi filem Uncharted ditangguhkan sekali lagi.
Setelah lebih daripada sedekad tergendala, bertukar pelakon utama, bertukar pengarah sebanyak tujuh kali — penggambaran filem adaptasi video game Sony ini sepatutnya dimulakan pada April ini.
Walau bagaimanapun, ia terpaksa ditangguhkan lagi bagi membendung penularan wabak COVID-19, lapor Variety, yang pada ketika ini telah diisytiharkan sebagai pandemik, menjangkiti seluruh dunia. Sebelum ini, Sony dilaporkan memberhentikan sementara segala kerja pra-produksi selama enam minggu.
Buat masa ini, tiada sebarang info bilakah Sony akan memacakkan kamera dan memulakan penggambaran. Malah, tiada juga butiran sama ada mereka akan menganjakkan lagi tarikh tayangan yang pada ketika ini dijadualkan pada 5 Mac 2021.
Filem Uncharted ini akan diarahkan oleh Ruben Fleischer. Antara arahan yang mengangkat nama Fleischer ialah filem Zombieland dan Venom. Ia akan dibintangi oleh Tom Holland sebagai Nathan Drake dan Mark Wahlberg sebagai Sully, selain turut ada Antonio Banderas, Sophia Ali dan Tati Gabrielle.
Semestinya penangguhan produksi ini tidaklah mengejutkan memandangkan kesemua aktiviti luaran di seluruh dunia telah diperlahankan, termasuklah produksi perfileman dan siri televisyen di Hollywood. Antara produksi terbaharu yang menundakan produksi mereka ialah The Witcher terbitan Netflix yang pada ketika itu sedang menjalani penggambaran untuk musim kedua.
Comments
Loading…