Sejak The Last of Us diumumkan akan diadaptasi ke siri televisyen oleh HBO, ramai yang sudah tidak senang duduk. Ramai mula tertanya, bilakah produksi akan bermula, bilakah ia akan ditayangkan?
Siri TV itu tidak akan bergerak ke arah produksi secara skala penuh selagi Naughty Dog belum siap membangun dan melancarkan sekuel kepada game pertama, The Last of Us Part II.
Berita ini didedahkan oleh Craig Mazin melalui episod podcast terbaharunya (via IGN). Produksi tidak akan dapat dimulakan selagi penulis bersamanya dan pengarah kreatif game sekuel itu, Neil Druckmann belum bebas daripada tanggungjawabnya memperkemas The Last of Us Part II.
Mazin turut mendedahkan bahawa beliau dikenalkan dengan Druckmann melalui seorang teman, Shannon Woodward, iaitu pelakon untuk watak Elsie Hughes dalam siri TV Westworld, juga terbitan HBO. Woodward juga merupakan pelakon suara untuk Dina, watak terbaharu yang diperkenalkan dalam The Last of Us Part II.
Adaptasi game berlatarbelakangkan pasca-apokalips ini akan mendapat kerjasama antara Craig Mazin, penulis untuk siri mini Chernobyl di HBO, dan Neil Druckmann, orang penting dari Naughty Dog yang menjadi penulis utama untuk game asal The Last of Us serta sekuelnya yang akan dikeluarkan pada tahun ini.
Siri TV The Last of Us ini merupakan karya pertama daripada PlayStation Productions, sebuah kumpulan penerbitan filem dan TV di bawah Sony Interactive Entertainment.
JomBaca: Komposer Game The Last of Us Akan Turut Bikin Muzik Untuk Siri Di HBO
The Last of Us Part II akan dilancarkan pada 29 Mei 2020, eksklusif untuk PS4.
Comments
Loading…